Rabu, 5 Disember 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kate hamil anak kembar?

Posted: 04 Dec 2012 09:48 AM PST

LONDON: Putera William dan isterinya, Catherine, bakal menimang cahaya mata, sekali gus melanjutkan senarai pewaris takhta dalam sistem monarki Britain.

Pengumuman rasmi mengenai kehamilan Catherine lebih dikenali sebagai Kate itu dibuat pejabat William semalam.


"Duke dan Duchess of Cambridge (gelaran untuk William dan Catherine) berbesar hati mengumumkan bahawa Duchess of Cambridge kini hamil," katanya.

Kenyataan itu juga menyebut, Ratu Elizabeth dan keluarga diraja begitu gembira dengan kehamilan berkenaan.


Sementara itu, laporan mendakwa, Kate kini dirawat di hospital kerana menghadapi masalah muntah-muntah dan loya akut.


Gejala itu kadang-kadang membayangkan seseorang wanita mengandung anak kembar. William dan Kate berkahwin pada April tahun lalu dan sebahagian majalah gosip di Amerika Syarikat (AS) melaporkan, pasangan terbabit mungkin hamil ketika itu.

Penulis biografi Kate, Claudia Joseph, berkata sebenarnya pengesahan kehamilan itu memang ditunggu-tunggu ramai.


"Ia hanya menunggu masa untuk diumumkan," katanya. Sementara itu, jurucakap pasangan terbabit berkata, Kate berehat di Hospital King Edward VII di tengah London kerana mengalami Hyperemesis Gravidaru yang menyebabkan dia mengalami masalah muntah-muntah yang kronik.

Gejala itu juga memaksa Kate mengambil ubat serta khasiat tambahan.


Laman sesawang Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain menyatakan, keadaan seperti dialami Kate itu memang lazim dialami seseorang wanita di peringkat awal kehamilan.


Bagaimanapun, kata laman sesawang itu, ia tidak membahayakan kandungan.


Perunding sakit puan di Universiti Bristol. Prof Tim Draycott, berkata keadaan dialami itu mungkin menandakan pasangan William dan Kate bakal menimang anak kembar. "Hyperemesis lebih sering dialami ibu yang mengandung anak kembar," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05



Budak cedera Blackberry meletup

Posted: 04 Dec 2012 09:46 AM PST

LONDON: Seorang budak lelaki terpaksa menanggung parut pada kaki seumur hidup apabila telefon Blackberry baru milik abangnya meletup ketika dia tidur.

Kian McCreath, 11, menjerit kesakitan di awal pagi apabila kepingan plastik cair dari telefon itu melekat pada kakinya.


Katil McCreath juga terbakar akibat letupan itu. Budak sekolah dari Coventry itu berkata, dia berlari keluar dari bilik tidur sambil menjerit sekuat hati kerana terkejut serta sakit.

"Nasib baik ibu saya cepat sedar dan segera memadamkan api di katil," katanya. Ibu McCreath, Sarah, 39, berkata dia terjaga kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin apabila terdengar jeritan anaknya. Budak itu kemudian dikejarkan ke Hospital Universiti Coventry dan dirawat kerana kesan melecur pada kedua-dua kakinya. Blackberry itu kepunyaan abang McCreath, Mason, 13, dan baru saja dicabut dari pengecasnya sejurus sebelum meletup.


Sementara itu, jurucakap pengeluar Blackberry berkata, kes itu diberi perhatian serius.


"Kami menjadikan siasatan insiden itu sebagai keutamaan," katanya. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/05



Tiada ulasan:

Catat Ulasan