Isnin, 17 Disember 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Jacintha salahkan DJ, hospital

Posted: 16 Dec 2012 12:57 PM PST

LONDON: Jururawat yang membunuh diri selepas diperdaya dua hos radio, didakwa meninggalkan nota dan menyalahkan pemanggil dari Australia itu atas kematiannya. Menurut sumber yang rapat dengan keluarga Jacintha Saldanha, mangsa meninggalkan tiga nota sebelum menggantung dirinya.

Kata sumber itu, Jacintha menulis surat ringkas menyatakan rasa marahnya kepada dua penyampai radio Australia itu dan menyalahkan mereka atas tindakannya membunuh diri. Dalam surat lain, katanya, Jacintha, 46, mengkritik kakitangan hospital tempatnya bekerja.


"Jacintha menyebut dua nama untuk dipersalahkan," katanya. Jacintha ditemui mati dengan lehernya dijerut skaf di kediaman kakitangan Hospital King Edward VII di London, beberapa hari selepas dia menyedari diperdaya penyampai radio.

Dalam kejadian itu, dua penyampai terbabit, Mel Greig dan Michael Christian - menyamar sebagai Ratu Elizabeth dan Putera Charles untuk mendapatkan maklumat mengenai Kate Middleton.


Duchess of Cambridge itu ditempatkan di hospital berkenaan selepas mengalami masalah kesihatan akibat hamil. Difahamkan, seorang daripada penyampai radio itu menghubungi semula hospital berkenaan dan bercakap dengan Jacintha sambil mengaku menyamar sebelum itu.


Penyampai terbabit turut memaklumkan panggilan berkenaan akan disiarkan di stesen mereka. Pengakuan itu menyebabkan Jacintha "keliru dan gelisah." Kedua-dua penyampai radio itu meminta maaf atas tindakan mereka selepas Jacintha membunuh diri. Sementara itu, Hospital King Edward VII mendakwa, tiada mana-mana kakitangannya menyalahkan Jacintha kerana diperdaya. Malah, kata jurucakap hospital itu, mereka menyokong Jacintha.

Namun, hospital berkenaan percaya, ada antara rakan sekerja Jacintha memarahinya melalui e-mel.


Apabila rakan keluarga Jacintha itu ditanya sama ada mangsa dimarahi rakan sekerja kanannya, dia berkata: "Anda rasa bagaimana?" - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17



Derita budak alami ketumbuhan 4kg di muka bakal berakhir

Posted: 16 Dec 2012 09:15 AM PST

KAMPALA: Seorang budak perempuan akan menjalani pembedahan membuang ketumbuhan sebesar bola sepak di muka sebelum ia mungkin meragut nyawanya.

Ketumbuhan itu mula kelihatan apabila Trinny Amuhirwe berusia empat setengah tahun dan pernah menjalani dua pembedahan di Uganda.


Namun, nasib belum menyebelahi Trinny, 8, apabila ketumbuhan tulang berkenaan berlaku semula selepas dibuang.

Ketika ini, ketumbuhan itu seberat kira-kira dua kilogram.


Akibatnya, satu daripada mata Trinny buta, manakala giginya tertolak dari tempat asal. Pembedahan kali ketiga Trinny akan dijalankan di Hospital Cromwell di London.


Doktor pakar di situ akan cuba membuang semua ketumbuhan berkenaan menggunakan teknologi terkini sebelum menstruktur semula muka Trinny.

Pembedahan dijangka berlangsung selama 15 jam. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17



Tiada ulasan:

Catat Ulasan