Isnin, 24 Disember 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Kempen usir pengacara CNN dilancar

Posted: 24 Dec 2012 07:37 AM PST

Washington: Penyokong hak miliki senjata Amerika Syarikat melancarkan kempen mengusir pengacara rancangan temu bual Cable News Network (CNN), Piers Morgan kerana mengecam hak berkenaan.

Selepas dua hari petisyen mengusir itu dilancarkan, 28,500 orang sudah menandatanganinya, melepasi angka 25,000 yang diperlukan untuk diberi ulasan oleh Rumah Putih.

Morgan yang juga bekas pengarang akhbar tabloid Britain, dianggap melancarkan kempen peribadi supaya peraturan memiliki senjata api diperketatkan selepas pembunuhan 20 kanak-kanak di Connecticut, 14 Disember lalu.

Selasa lalu, Morgan mewawancara pengarah eksekutif 'Gun Owners of America,' Larry Pratt, dan kelihatan marah apabila Pratt mencadangkan lebih banyak senjata adalah penyelesaiannya.

"Kamu memang bodoh, bukan begitu?" kata Morgan ketika perbualan mereka agak panas.

"Kamu tiada hujah baik langsung. Kamu tidak peduli mengenai kadar mangsa bunuh senjata di Amerika."

Selepas temu bual itu, seorang wartawan Texas mengirim petisyen ke laman web Rumah Putih menuduh Morgan 'melakukan serangan' terhadap Perlembagaan Amerika dengan menyasarkan fasal Pindaan Ke-2.
Ramai penduduk Amerika memahami secara umum peruntukan itu yang merujuk kepada 'hak memiliki senjata.'

Morgan menegaskan, Amerika boleh mengharamkan senapang ala tentera dan senjata berat tanpa mencabul hak rakyatnya selain tidak mempertikai Pindaan ke-2.

Dibayangi keganasan "Mereka lancar kempen untuk mengusir saya kerana menyerang hak Pindaan ke-2? Tidakkah pandangan saya dilindungi oleh Pindaan Pertama? " katanya di Twitter, merujuk kepada peruntukan mengenai kebebasan berucap.

Ada juga di kalangan penduduk Amerika yang menyokong warga Britain itu. Lee Cox dari Arizona menulis: "Saya warga Amerika dan setuju 100 peratus dengan Morgan.

Jika dia pulang ke Britain, perlukah saya ikut sama?"

Amerika dibayangi keganasan senjata sejak tiga dekad lalu membabitkan 62 kejadian menembak sejak 1982, kebanyakannya membabitkan senjata yang dibeli penyerang secara sah.
AFP

Jadikan Taliban parti politik

Posted: 24 Dec 2012 07:35 AM PST

Kabul: Pakistan memberi kerjasama kepada Afghanistan untuk memulihkan keamanan di negara jirannya itu dengan memujuk pergerakan Taliban menjadi parti politik.

Pembabitan Pakistan adalah penting dalam usaha Afghanistan dan Amerika Syarikat mempromosi keamanan di Afghanistan menjelang pengunduran askar NATO pada akhir 2014.

Mereka beritahu bersetuju dengan pelan kami mengubah Taliban daripada satu entiti tentera kepada entiti politik bagi membolehkannya mengambil bahagian dalam proses politik Afghanistan dan mendapat berkuasa secara aman seperti mana parti politik lain, kata pegawai Kabul.

Pandangan pegawai itu dianggap optimis kerana Pakistan sudah lama dituduh menyokong pergerakan berkenaan tetapi kini sedia menyokong usaha mencapai perdamaian yang masih di peringkat awal.

Syak wasangka di antara Afghanistan dan Pakistan sudah lama menyekat usaha menangani jalan menamatkan ancaman militan.

Pergerakan Taliban berkata, mereka diwakili pemimpin kanan dalam rundingan dengan Pakistan dan Afghanistan termasuk Shahabuddin Delawar yang berpejabat di Qatar.

Sehingga kini, pihak berkuasa Taliban dan Afghanistan tidak ada hubungan secara langsung.
Kenyataan pegawai itu berkata, Afghanistan bahawa Pakistan, yang sekian lama dituduh menyokong kumpulan pemberontak Afghanistan, kini bersedia berusaha ke arah mewujudkan penyatuan, yang masih di peringkat awal dan terdedah kepada perpecahan.

Kami amat optimis. Kami percaya mereka benar-benar ikhlas dalam perbincangan dengan kami, kata pegawai kanan kerajaan.

Pakistan sudah lama mahu menyekat pengaruh jirannya, India di Afghanistan dan dipercayai menyokong pergerakan itu dalam senyap.

Secara jujur, bagi kami, kebanyakan pihak di Pakistan sudah membuat kesimpulan bahawa masa semakin singkat.

Ini bukan lagi soal ketidakstabilan atau kurangnya keselamatan di Afghanistan tetapi juga di Pakistan, kata pegawai itu lagi.
REUTERS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan