Kosmo Online - Dunia |
Posted: Israel ancam tingkat serangan
GENTING GAZA - Pihak Israel mengancam untuk meningkatkan serangan ke atas Gaza, biarpun usaha gencatan senjata giat dijalankan bagi menghentikan serangan yang memasuki hari kelima semalam. Bedilan tentera Israel telah meragut enam lagi nyawa yang terdiri daripada tiga orang kanak-kanak dan seorang bayi berusia 18 bulan. Angka korban terbaharu itu kini menjadikan jumlah rakyat Palestin yang terkorban meningkat kepada 52 orang. Serangan udara yang dilakukan turut menggegarkan dua pusat media di bandar ini menyebabkan sekurang-kurangnya lapan orang wartawan cedera dan salah seorang kehilangan kaki, kata jurucakap kesihatan, Ashraf al-Qudra kepada agensi berita AFP. Sementara stesen televisyen Rusia, RT memberitahu pejabatnya di Genting Gaza musnah dalam serangan yang dilakukan semalam. Namun semua kakitangannya selamat. SEKUMPULAN lelaki Palestin menunaikan sembahyang jenazah ke atas mayat Iyad Abu Khoussa yang berusia setahun setengah di sebuah masjid di kem pelarian Bureij, Genting Gaza semalam. Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Luar Britain, William Hague memberi amaran, tindakan Israel menceroboh Genting Gaza akan menyebabkan simpati dan sokongan masyarakat antarabangsa terhadap Israel hilang. Hague memberitahu stesen televisyen Sky News, korban orang awam akan meningkat jika serangan darat dilakukan dan ia hanya memanjangkan tempoh konflik. Komen beliau hadir selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pasukan tentera daratnya bersedia untuk menggempur Genting Gaza bagi menentang pejuang Hamas. Di Tel Aviv, bunyi siren terus kedengaran bagi memberi amaran kepada pejalan kaki dan pemandu kereta supaya mendapatkan perlindungan daripada serangan yang dilakukan oleh pejuang Hamas. Tujuh buah roket telah dilancarkan ke arah Tel Aviv sejak Khamis lalu. Tiga daripadanya meletup di laut, tiga lagi dipintas oleh sistem perisai Iron Dome dan satu lagi mengenai kawasan lapang. - Agensi | |
Posted: Dua terbunuh kereta api dibomSEKUMPULAN pegawai polis memeriksa gerabak kereta api yang musnah akibat letupan bom buatan sendiri pemberontak di sebuah stesen kereta api di daerah Reu-so, Narathiwat semalam. PATTANI - Kumpulan pemberontak disyaki meletupkan bom buatan sendiri, mengakibatkan sebuah kereta api tergelincir dan membunuh dua orang pengawal kereta api di selatan Thailand, beberapa jam sebelum Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama melawat negara tersebut. Serangan pada Ahad berlaku di daerah Rue So, wilayah Narathiwat dan menyebabkan gangguan perkhidmatan kereta api di tiga wilayah selatan yang bergolak itu. Jurucakap polis, Dulyaman Yaena berkata beberapa pemberontak berbalas tembakan dengan pengawal kereta api sebelum melarikan diri. Dua pengawal kereta api maut akibat letupan, sementara 15 mangsa yang cedera dimasukkan ke hospital. Lebih 5,000 orang terbunuh sejak pemberontakan meletus di wilayah selatan Thailand pada 2004. Insiden tersebut merupakan serangan kedua pada hujung minggu ketibaan Obama ke Thailand. Obama turut dijadual melawat Myanmar dan Kemboja. - Agensi | |
Mumia anjing ditemui di Mexico Posted: Mumia anjing ditemui di MexicoRANGKA mumia anjing ini dipercayai yang pertama ditemui di Mexico. BANDAR MEXICO - Rangka seekor mumia anjing yang dipercayai berusia kira-kira 1,000 tahun ditemui di Cueva de la Candelaria, Coahuila pada 12 November lalu di sini, lapor sebuah akhbar semalam. Mumia tersebut merupakan satu-satunya artifak seumpamanya yang ditemui di sini. Ia dijangka menjalani beberapa kajian seperti radiografi dan analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA) oleh Institut Antropologi dan Sejarah Kebangsaan Mexico (INAH) untuk dipulihkan. Seorang pakar arkeologi INAH, Isaac Aquino Toledo berkata, ia merupakan salah satu daripada beberapa spesimen mumia anjing yang ditemui di dunia. Mumia anjing biasanya ditemui di Mesir dan Peru. Spesimen itu akan disimpan bersama-sama dengan 2,500 bahan arkeologi lain yang ditemui pada tahun 1953. Penemuan itu menguatkan lagi pendapat bahawa anjing ditanam bersama-sama tuannya dalam pengebumian orang nomad di rantau ini. Beberapa objek lain yang ditemui bersama anjing mumia tersebut ialah tekstil, anyaman rotan, kayu, artifak tulang serta 200 rangka tulang manusia. - Reuters |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan