Kosmo Online - Dunia |
- Masjid bersejarah Syria terbakar di Aleppo
- Jet pejuang tentera Indonesia terhempas
- Waris Raja Richard III tunggu keputusan ujian DNA
Masjid bersejarah Syria terbakar di Aleppo Posted: Masjid bersejarah Syria terbakar di Aleppo
ALEPPO - Pertempuran yang berlaku antara tentera Syria dengan para penentang Presiden Bashar Al-Assad telah memusnahkan Masjid Ummayad yang didirikan pada abad ke-13, kata seorang koresponden agensi berita AFP kelmarin. Kebakaran akibat pertempuran memusnahkan permaidani antik dan perabot kayu yang digunakan untuk menghiasi masjid berkenaan pada Sabtu lalu. Tiga helai rambut dan sebatang gigi Nabi Muhammad SAW yang terdapat di dalam masjid tersebut telah dicuri. Bashar dilaporkan mengarahkan pembentukan sebuah panel untuk memantau kerja-kerja pemuliharaan masjid tersebut, lapor agensi berita SANA. Menurut seorang wartawan AFP, pihak tentera menguasai sepenuhnya kawalan di masjid tersebut. Bagaimanapun, katanya, para penentang berada di sekitar masjid berkenaan. Para penentang turut menembak mati seorang jurutera, Mohammed Marwan Jarada yang mengiringi satu jawatankuasa pakar ke masjid tersebut untuk menyaksikan kerosakan kelmarin. Kehadiran para penentang di sekitar Masjid Ummayad menyebabkan sukar untuk memindahkan jurutera tersebut yang cedera di kaki. Sementara itu, jet-jet tentera Syria melakukan serangan udara di bandar Idlib dan Aleppo, utara negara tersebut. Bagaimanapun, para aktivis yang menyokong para penentang berkata, serangan tersebut adalah yang paling buruk sejak minggu lalu. Dalam perkembangan yang sama, Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Lakhdar Brahimi mendesak supaya gencatan senjata diadakan bagi menghormati ketibaan Hari Raya Aidiladha. Brahimi turut meminta supaya pihak berkuasa Iran membantu memastikan gencatan tersebut berjaya dilakukan. Lebih 30,000 orang terbunuh ekoran pertempuran yang berlaku antara kumpulan penentang dengan tentera Syria sejak Mac tahun lalu. Para penentang itu mahu menggulingkan Bashar yang didakwa gagal melakukan pembaharuan politik dan kebebasan bersuara. - Agensi | ||
Jet pejuang tentera Indonesia terhempas Posted: Jet pejuang tentera Indonesia terhempas
JAKARTA – Tentera Udara Indonesia semalam menggantung operasi 32 buah jet pejuang Hawk 200, lapor agensi berita Xinhua. Ketua tentera udara negara itu, Imam Sufaat berkata, keputusan itu dibuat selepas salah sebuah jet tersebut terhempas di Pekanbaru, wilayah Riau. Jet itu terhempas pada pukul 9.30 pagi waktu tempatan semalam semasa satu latihan ketenteraan. Bagaimanapun, juruterbang jet tersebut berjaya menyelamatkan diri dengan menggunakan kerusi anjal. Tiada laporan mengenai kecederaan dan kematian akibat kejadian tersebut. Menurut Imam, penggantungan itu merupakan prosedur biasa jika terdapat sebuah jet yang terhempas sehingga siasatan tentang punca nahas selesai dilakukan oleh sebuah pasukan penyiasat. Jet tersebut terhempas di kampung di Kampar dekat sebuah pangkalan tentera udara di Pekanbaru. Imam berkata, jet tersebut dibeli dari Britain. Jet-jet tersebut ditempatkan di pangkalan tentera di Pontianak, Kalimantan Barat dan Pekanbaru. "Kami menerima jet-jet itu dari Britain pada 1994," kata Imam. – Agensi | ||
Waris Raja Richard III tunggu keputusan ujian DNA Posted: Waris Raja Richard III tunggu keputusan ujian DNA
LONDON - Sekumpulan ahli arkeologi kini menunggu dengan penuh debaran hasil keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang akan menentukan sama ada rangka tulang yang ditemui di dalam lubang di sebuah tempat meletak kereta di Leicester milik bekas pemerintah England, Raja Richard III. Baginda mangkat pada 1485 semasa menyertai pertempuran menentang tentera Henry Tudor yang kemudian menggantikannya sebagai Raja Henry VII. Generasi ke-17 anak saudara raja berkenaan, Michael Ibsen, 55, turut menunggu dengan penuh debaran keputusan tersebut kerana dia terlibat dalam ujian itu. Ibsen yang dilahirkan di Kanada dan berpindah ke London 27 tahun lalu berkata, kekecewaan pastinya akan berlaku jika keputusan ujian tersebut tidak sepadan. Beliau yang kini bekerja sebagai tukang kayu berharap jika identiti tulang itu sah milik Raja Richard, ia akan membantu memulihkan reputasi baginda. Sebelum ini, raja itu pernah digambarkan oleh dramatis terkenal, mendiang William Shakespeare sebagai seorang yang suka dengan kuasa dan pernah membunuh dua anak saudaranya bagi membolehkan baginda menjadi pemerintah. Pendedahan tentang penemuan rangka tulang itu disiarkan media pada September lalu. Beberapa saintis menyatakan bahawa rangka tulang itu mempunyai kesan kecederaan di tengkorak dan tulang belakang. Keputusan ujian DNA itu akan diketahui pada Disember depan. Rangka tulang tersebut ditemui oleh pasukan arkeologi Universiti Leicester. Beberapa pakar sebelum ini berpendapat bahawa mayat raja tersebut dikebumikan di sebuah gereja di Leicester selepas baginda terbunuh dalam pertempuran itu. Bagaimanapun, terdapat cerita yang disebarkan pada abad ke-17 bahawa makam raja tersebut digali dan rangka tulangnya dibuang ke sungai. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan