Selasa, 30 Oktober 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Jaktogo kot serba guna ekonomik

Posted: 29 Oct 2012 09:55 AM PDT

LONDON: Seorang jurutera menemui cara terbaik membawa barang yang banyak menaiki pesawat tanpa perlu mengeluarkan belanja tambahan untuk bagasi.

John Power berkata, rekaannya itu dikenali sebagai Jaktogo kot berharga 56 (RM270) yang boleh menjadi beg pakaian. Produk itu pada asasnya adalah sehelai kot tetapi boleh ditukar menjadi beg supaya pemakainya boleh membawa lebih banyak barang ketika menaiki pesawat.


Kata Power, 57, kot itu mampu diisi pelbagai barang sehingga 10 kilogram sebagai bagasi tangan.

"Ia sesuai digunakan untuk penerbangan bajet rendah," katanya. Menurut Power, Jaktogo juga dilengkapi banyak poket untuk diisi peranti terkini seperti iPad dan kamera, selain keperluan pengembara seperti buku, pakaian dan tuala.


"Jika di tempat bercuaca panas, Jaktogo boleh digunakan sebagai pakaian tanpa lengan," katanya. Sesuai dengan dirinya yang sering pergi ke merata tempat, Power mendapat idea mencipta Jaktogo kerana bosan dengan pelbagai bayaran dikenakan syarikat penerbangan tambang murah. Ryanair, misalnya, mengenakan caj antara 15 hingga 50 (RM75 hingga RM250) bagi setiap beg dengan berat maksimum 15 kilogram yang ingin dimuatkan dalam kargo.


Caj itu meningkat sehingga 130 (RM650) jika beg itu tidak didaftarkan sebelum penumpang tiba di lapangan terbang.

Syarikat penerbangan itu membenarkan penumpang membawa bagasi tangan seberat 10 kilogram dan hanya satu dibenarkan dibawa bagi setiap penumpang. Sesiapa yang ingin membawa bagasi tangan lebih daripada satu, mereka dikenakan caj tambahan 50 (RM250) Power - kini menetap di Antwerp, Belgium berkata, sejak syarikat penerbangan tambang murah mengenakan pelbagai syarat, dia mula mencari jalan menjimatkan masa menunggu bagasi di lapangan terbang. "Saya sering nampak penumpang terkandas di lapangan terbang hanya kerana sedikit lebihan berat bagasi atau mereka dipaksa mendaftarkan barangan mereka untuk dimuatkan dalam kargo kerana bagasi tangan melebihi had dibenarkan," katanya. Kata Power, keadaan itu sangat tidak adil.


"Justeru, saya mencari jalan mengatasinya tanpa kelihatan bebal," katanya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/30


Venus siap setahun selepas penciptanya meninggal

Posted: 29 Oct 2012 09:53 AM PDT

LONDON: Kapal mewah yang direka Steve Jobs akhirnya siap dibina di sebuah limbungan di Belanda, setahun selepas pengasas Apple Inc itu meninggal dunia.

Kapal mewah sepanjang 79 meter itu dilengkapi pelbagai peranti berteknologi tinggi dan diberi nama Venus, sempena nama dewa Rom purba. Menggunakan aluminium ringan, kapal mewah itu mempunyai deretan tingkap setinggi tiga meter, manakala di dalamnya dipasang sebanyak tujuh komputer iMac bersaiz 27 inci setiap satu.


Kapal mewah itu adalah satu daripada projek kegemaran Jobs ketika dia sakit akibat kanser dan tidak sempat melihat Venus disiapkan apabila meninggal dunia pada 5 Oktober tahun lalu. Sebelum ini, Jobs berkata, ada kemungkinan dia tidak sempat melihat Venus disiapkan dan terpaksa membiarkan isterinya, Laurene Powell, memantau perkembangannya.

"Tapi saya perlu terus mencuba kerana jika tidak, ia menandakan saya bakal mati," katanya. Kapal mewah itu akan dipamerkan secara rasmi di pelabuhan Aalsmeer, Belanda, dengan dihadiri ahli keluarga Jobs. Semua kru yang menyiapkan Venus diberi hadiah iPod bertulis penghargaan daripada keluarga Jobs: "Terima kasih atas kerja keras dan kemahiran anda daripada keluarga Jobs." - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/30


Tiada ulasan:

Catat Ulasan