Khamis, 25 Oktober 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Cubaan tipu pengundi Amerika mula dikesan

Posted: 24 Oct 2012 04:09 PM PDT

Penduduk diberitahu boleh undi menerusi panggilan telefon

Washington: Semakin dekat pilihan raya presiden Amerika Syarikat, cubaan menipu pengundi sudah dikesan.

Ia apabila pengundi di Florida, Virginia dan Indiana, diberitahu mereka tidak perlu keluar ke pusat pengundian pada hari mengundi kerana boleh melakukannya menerusi telefon.

Di Ohio dan Wisconsin, papan tanda di kawasan penduduk berpendapatan rendah dan minoriti memaparkan gambar banduan dan memberi amaran penipuan undi adalah jenayah.

Ugut pengundi

Kumpulan hak asasi menyifatkan amaran itu sebagai mengugut pengundi minoriti.

Di seluruh negara, ada orang seperti David dan Charles Koch, hartawan yang membantu membiayai kumpulan konservatif Americans for Prosperity - menggesa pekerja mereka mengundi calon Republikan, Mitt Romney.

Dua minggu sebelum apa yang bakal menjadi antara pilihan raya presiden paling sengit dalam sejarah Amerika, usaha untuk mengelirukan, mengugut atau menekan pengundi semakin menjadi sebahagian landskap kekal politik.
Penganalisis berkata, taktik yang selalunya berlaku beberapa hari sebelum pilihan raya sudah pun bermula.

"Kami lihat peningkatan dalam taktik memperdaya dan mengugut bertujuan menghalang pengundi daripada mengundi," kata Eric Marshall.

Marshall adalah ahli Jawatankuasa Peguam bagi Hak Sivil Mengikut Undang-Undang, yang menguruskan badan pemilik talian telefon 1-866-OUR-VOTE yang mengutip maklumat mengenai dakwaan mengugut pengundi.

Parti Demokrat lebih lantang bersuara mengenai perkara itu.

Mereka turut merujuk kumpulan yang dikaitkan dengan pergerakan Tea Party yang melatih berpuluh ribu orang untuk memerhati pusat undi pada 6 November depan untuk mengesan penipuan undi.

Pelan kontroversi itu dikritik sebagai cubaan melambatkan atau tidak menggalakkan undian.

Republikan mula bersuara

Namun, Parti Republikan juga bersuara, memberi tumpuan kepada lapan atau lebih negeri yang belum memutuskan untuk menyokong Romney atau Presiden Barack Obama.
Malah, kedua-dua calon mendakwa mereka bakal menang dalam undian kali ini.

Dengan persaingan cuma tinggal 13 hari, selepas tiga perbahasan paling menarik dalam sejarah, Obama percaya beliau adalah pemenang.

Namun, keyakinan juga memuncak dalam kem Romney selepas beberapa bulan ketinggalan, beliau dilihat mampu memasuki Rumah Putih.

"Perbahasan ini merancakkan kempen," kata Romney di Nevada kelmarin, mengisytiharkan usaha Obama semakin tergelincir.

Penyokong diceriakan

Penyokong kembali diceriakan dengan kehebatan presiden dalam dua debat terakhir, selepas kelihatan tidak bersedia dalam perdebatan pertama.
"Kami yakin menang. Kami percaya memenangi persaingan ini dan mendahului di negeri penting," kata pembantu kanan politik Obama, David Axelrod. - Reuters/AFP

Sengketa Buddha, Rohingya merebak

Posted: 24 Oct 2012 04:08 PM PDT

Perintah berkurung diisytihar di dua bandar Myanmar

Yangon: Pergaduhan antara penduduk Buddha dan Rohingya merebak ke dua bandar lagi di barat Myanmar menyebabkan pihak berkuasa mengisytiharkan perintah berkurung.

Jurucakap negeri Rakhine, Myo Thant, berkata dua penduduk bergaduh di bandar Kyaukphyu and Myebon di selatan dan timur ibu negeri Rakhine, Sittwe.

Myo Thant berkata, rumah terus dibakar semalam dan pasukan keselamatan cuba memadamkan api di kawasan kejadian.
Ketegangan terbaru di barat Myanmar bermula Ahad lalu di utara Sittwe di daerah Minbyar dan Mrauk-U. Kerajaan berkata, sehingga ini tiga maut dan lebih 1,000 rumah dibakar.

Sengketa penduduk Buddha dan Muslim Rohingya sejak Jun lalu mengakibatkan lebih 80 orang maut.

Pelajar tunjuk perasaan
Sejak Ahad lalu, 1,039 rumah sudah dibakar manakala pihak lain menyatakan angka korban pergaduhan lebih tinggi.

Sementara itu, beratus-ratus penuntut universiti berkumpul semalam dalam tunjuk perasaan menentang penduduk Muslim Rohingya di kawasan yang menjadi pusat ketegangan di barat Myanmar, kata pemimpin bantahan itu.

Lebih 800 penuntut menyertai perhimpunan mendesak ditamatkan 'belajar dengan pengganas Benggali' dan memindahkan perkampungan Islam itu di jalan menuju ke universiti, kata pemimpin bantahan penuntut, Wai Yan.

Jurucakap kerajaan negeri Rakhine, Hla Thein, berkata perintah berkurung sudah diisytiharkan di bandar Minbya dan Mrauk Oo mulai Isnin lalu.

Ada pihak lain di dua bandar itu melaporkan anggota polis bersenjata berkawal di bandar itu.

"Bagaimanapun, saya tidak fikir keadaan kembali normal di perkampungan di pinggir Mrauk Oo," kata seorang pesara guru, Mya Thein. - AFP/Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan