Sabtu, 29 September 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Nakoula kena tahan

Posted: 28 Sep 2012 04:27 PM PDT

Los Angeles: Penerbit filem anti-Islam yang mencetuskan bantahan jalanan di seluruh dunia Islam ditahan di California atas dakwaan melanggar perintah pemerhatian dan seorang hakim persekutuan mengarahkan beliau dipenjarakan tanpa jaminan.

Nakoula Basseley Nakoula, 55, ditahan di sebuah lokasi yang tidak didedahkan pihak berkuasa Amerika Syarikat dan dibawa ke mahkamah di Los Angeles dengan masih lagi mengenakan pakaian biasa tetapi bergari dan dirantai di pinggang.

Nakoula disiasat pegawai untuk menentukan sama ada beliau melanggar peraturan pembebasan pada 2011 dari sebuah penjara di sini atas kesalahan menipu bank ketika menerbitkan filem, walaupun pihak berkuasa berkata mereka tidak menyiasat filem terbabit.
"Mahkamah sudah hilang kepercayaan terhadap defendan kali ini," kata Hakim Majistret Amerika Syarikat, Suzanne Segal yang menolak permohonan jaminan Nakoula pada perbicaraan di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat.

Video beliau selama 13 minit difilemkan di California dan disiarkan di internet di bawah beberapa tajuk termasuk "Innocence of Muslims." Ia menghina Nabi Muhammad termasuk melakukan seks songsang.

Klip berkenaan mencetuskan rusuhan anti Amerika Syarikat di Mesir, Libya dan berpuluh negara Islam lain sejak dua minggu lalu.

Keganasan berkenaan juga adalah berkebetulan dengan satu serangan di kemudahan diplomatik Amerika Syarikat di Benghazi yang membunuh empat rakyatnya termasuk duta Amerika Syarikat ke Libya.
Mengikut peraturan pembebasan Nakoula dari penjara, beliau dilarang mengakses internet atau menggunakan nama lain tanpa permintaan pegawai pemerhati, kata rekod mahkamah. Beliau kini berhadapan dengan lapan dakwaan melanggar perintah pemerhatian.

Ketika menolak permohonan jaminan, Segal menyifatkan beliau sebagai risiko penerbangan dan berkata pengeluar filem Coptic Christian yang tinggal di Cerritos, Los Angeles terbabit dalam gaya penipuan yang berterusan, termasuk menggunakan beberapa nama lain.

Nakoula tidak kelihatan di mata umum sejak dua minggu lalu berikutan kemarahan orang ramai terhadap filem itu. Minggu lalu, Menteri Keretapi Pakistan, Ghulam Ahmad Bilour menawarkan sejumlah $100,000 kepada sesiapa yang membunuh pembuat video terbabit.

Pejabat perdana menteri Pakistan bagaimanapun enggan mengulas mengenai kenyataan itu.

Seorang peguam Nakoula melahirkan kebimbangan di mahkamah mengenai keselamatan anak guamnya dan meminta perbicaraan diadakan secara tertutup kepada media. Reuters

19 maut pesawat terhempas

Posted: 28 Sep 2012 04:25 PM PDT

Kathmandu: Sembilan belas penumpang terbunuh apabila sebuah pesawat penumpang Sita Air terhempas sejurus berlepas di ibu negara Nepal akibat terlanggar seekor burung semalam, kata pegawai.

"Sebaik saja selepas berlepas, pengawal lalu lintas udara mendapati pesawat membuat pusingan luar biasa. Apabila dihubungi pengawal juruterbang memberitahu kapal terbang itu terlanggar seekor burung," kata pengurus Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Ratish Chandra Lal Suman kepada pemberita.

"Sejurus kemudian, pesawat itu terhempas. Semua mayat dihantar ke hospital untuk bedah siasat," katanya.
Polis berkata semua 19, tujuh daripadanya warga Britain manakala lima lagi rakat China terbunuh dalam kemalangan di pinggir Kathmandu itu.

Pesawat dua enjin, Dornier Fairdchild 228 itu, terbang ke bandar Lukla, pintu masuk utama untuk ke Gunung Everest.

Sementara itu Associated Press melaporkan saksi berkata mereka melihat kapal terbang terbabit terbakar sebelum terhempas.

"Pesawat kelihatan sudah terbakar sebelum terhempas," kata Harimaya Tamang, yang tinggal berhampiran tempat kemalangan.
Pesawat melambung

Tamang bekata beliau pada mulanya menyangka juruterbang cuba membuat pendaratan kecemasan kerana terbakar dan kawasan sungai mempunyai ruang terbuka untuk mendarat.

"Pesawat mencecah tanah, melambung sekali tetapi tidak pecah. Kapal terbang itu sudah terbakar, penduduk tempatan bergegas dengan baldi dan cuba untuk memadamkan api tetapi keadaan terlalu panas dan orang ramai tidak dapat menghampirinya," katanya.

Rakaman video telefon bimbit menunjukkan bahagian depan pesawat terbakar apabila ia mencecah tanah. Api merebak dengan cepat ke bahagian belakang tetapi pesawat itu kelihatan masih utuh sebelum terbakar berhampiran Sungai Manohara di pinggir barat daya Kathmandu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan