Sabtu, 22 September 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Penunjuk perasaan, polis bertempur

Posted: 21 Sep 2012 03:17 PM PDT

Islamabad: Penunjuk perasaan bertempur dengan polis di Peshawar semalam ketika kemarahan berhubung penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW semakin memuncak di sebalik desakan pemimpin politik dan agama di seluruh dunia Islam supaya bantahan secara aman diadakan.

Misi diplomat Barat di seluruh dunia Islam mengetatkan kawalan keselamatan dengan sebahagiannya menutup operasi berikutan jangkaan bantahan besar-besaran akan diadakan selepas solat Jumaat.

Filem anti-Islam yang dihasilkan di Amerika Syarikat menimbulkan kemarahan umat Islam dan membawa kepada bantahan selama beberapa hari di seluruh dunia Islam, manakala kartun mempersendakan Nabi Muhammad SAW yang disiarkan dalam majalah Perancis Rabu lalu dijangka menyemarakkan kemarahan.
Pegawai perundangan tertinggi Islam Mesir kelmarin berkata umat Islam sepatutnya mengikut contoh Nabi Muhammad SAW yang bertenang berdepan penghinaan terhadap baginda tanpa membalas dendam.

Bagaimanapun, desakan itu kelihatan tidak akan menenangkan kemarahan.

"Serangan terhadap Nabi Muhammad SAW adalah serangan ke atas 1.5 bilion umat Islam. Ini sesuatu yang tidak boleh diterima," kata Perdana Menteri Pakistan, Raja Pervez Ashraf, dalam ucapan yang kepada ahli politik dan pemimpin agama.

Isytihar Jumaat Hari Kasih sayang Nabi Muhammad SAW
Pakistan mengisytiharkan Jumaat sebagai Hari Kasih Sayang kepada Nabi Muhammad SAW.

Penunjuk perasaan membanjiri jalan raya di Peshawar, pekan lama terletak di jalan raya utama menuju Afghanistan dan membakar panggung wayang serta bertempur dengan polis pencegah rusuhan yang cuba menyuraikan mereka.

Sekurang-kurangnya lima penunjuk perasaan cedera, kata doktor di hospital utama bandar raya itu.

Di Islamabad, kira-kira 1,000 penunjuk perasaan yang membaling batu bertempur dengan polis ketika cuba menuju ke kedutaan Amerika kelmarin dan kerajaan menyekat perkhidmatan telefon bimbit di lebih 12 bandar raya sebagai langkah keselamatan menjelang bantahan semalam. - Reuters

Lima maut letupan bom

Posted: 21 Sep 2012 03:10 PM PDT

Sai Buri: Sekurang-kurangnya lima terbunuh dan lebih 40 cedera selepas sebutir bom kereta meletup di sebuah pasar yang penuh sesak di wilayah selatan Thailand yang dilanda pemberontakan, kata pihak berkuasa semalam.

"Sehingga kini lima orang termasuk seorang renjer separa tentera dan empat orang awam terbunuh," kata seorang pegawai hospital daerah Sai Buri kepada AFP sambil menambah bahawa 14 daripada mereka yang cedera dalam keadaan serius.

Angka kematian
Polis tempatan mengesahkan angka kematian berkenaan dan berkata seramai 37 cedera termasuk 25 daripada mereka orang awam.

Hospital terpaksa berhadapan dengan jumlah cedera yang ramai dengan merujuk kebanyakan mangsa yang cedera parah ke hospital wilayah dan menggesa derma darah segera bagi membantu mangsa yang cedera, kata seorang wartawan AFP yang berada di tempat kejadian.

Selepas solat Jumaat

Letupan Bom berkenaan yang berlaku selepas solat Jumaat di wilayah dengan majoriti penduduk beragama Islam berlaku sebaik saja selepas tembakan dilepaskan ke arah kedai di bandar terbabit, di mana seorang jurucakap tentera berkata adalah menyasarkan supaya pasukan keselamatan bergegas ke tempat kejadian.
"Militan pertama melepaskan tembakan ke arah sebuah kedai emas dan kedai membaiki motosikal untuk menarik perhatian pihak polis dan keselamatan ke tempat kejadian sebelum mereka meletupkan bom," kata Kolonel Pramote Prom-in.

Pemberontakan yang menggesa untuk mendapatkan kuasa autonomi melanda selatan Thailand yang bersempadan dengan Malaysia sejak 2004, meragut lebih 5,300 nyawa penduduk Islam dan Buddha dalam serangan bom dan senjata yang berlaku hampir setiap hari. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan