Rabu, 29 Ogos 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Israel persalah Corrie

Posted: 28 Aug 2012 02:47 PM PDT

Askar pandu jentolak tak bersalah gelek aktivis AS: Hakim

Baitulmaqdis: Mahkamah Israel kelmarin memutuskan anggota tentera negara itu tidak bersalah ketika menolak saman ibu bapa seorang aktivis Amerika Syarikat yang digelek jentolak hingga mati pada 2003 ketika cuba menghalang kediaman Palestin dirobohkan di Semenanjung Gaza.

Tak nampak Corrie
Pemandu jentolak berkata, dia tidak nampak aktivis pro-Palestin dari Amerika, Rachel Corrie, 23, ketika melakukan operasi pemusnahan rumah penduduk Arab.

Menjelaskan keputusan mahkamah, Hakim Oded Gershon berkata, Corrie meletakkan dirinya dalam keadaan bahaya dan menyifatkan kematiannya disebabkan kemalangan berpunca daripada diri sendiri.

Beliau berkata, tentera melakukan siasatan menyeluruh, dan menolak permohonan keluarga Corrie mendapat pampasan dan kos perundangan secara simbolik AS$1 (RM3).

Peguam kecam mahkamah
Ibu bapa Corrie, Craig dan Cindy Corrie, tidak berkata apa selepas keputusan dikeluarkan, tetapi peguam mereka, Hussein Abu Hussein, mengecam mahkamah dengan menyifatkan keputusan itu menyalahkan mangsa atas kejadian yang berlaku.

"Keputusan mahkamah tidak memeranjatkan, tetapi ini satu lagi contoh apa jua yang dilakukan (pihak berkuasa Israel) lebih utama daripada memutuskan keadilan dan siapa yang bertanggungjawab.

"Rachel Corrie terbunuh dalam tunjuk perasaan tidak ganas mempertahankan pemusnahan rumah dan ketidakadilan di Gaza, dan hari ini, mahkamah memberikan kelulusan kepada amalan tidak sah itu yang gagal melindungi kehidupan penduduk awam," katanya.

Kematian satu kemalangan

Tentera Israel menyifatkan kematian Corrie pada Mac 2003 sebagai kemalangan, tetapi ibu bapa Corrie tidak berpuas hati dengan siasatan tentera dan memfailkan saman sivil dua tahun kemudian.

Pemusnahan rumah sebahagian daripada kempen tidak berjaya bagi menghalang ratusan tembakan dan serangan mortar terhadap tentera Israel. - AP

Fakta nombor: 17,000 rumah penduduk Gaza dirobohkan sejak 2000 hingga 2004

Askar Amerika bakar al-Quran dihukum

Posted: 28 Aug 2012 02:34 PM PDT

Anggota kencing mayat militan Taliban turut didenda

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat mengenakan tindakan disiplin terhadap enam askarnya yang merakam video memaparkan aksi anggota Marin kencing mayat militan Taliban dan membakar al-Quran, dua kejadian yang mencetuskan kemarahan di Afghanistan awal tahun ini.

Hukuman itu mungkin termasuk notis membidas mereka atas kesalahan itu, diturunkan pangkat atau gaji dirampas. Namun, tidak dapat dipastikan adakah ia memenuhi tuntutan Afghanistan yang mahukan keadilan.
100 al-Quran dibakar

Presiden Afghanistan, Hamid Karzai, sebelum ini menganggap tindakan anggota Marin dalam video itu tidak berperikemanusiaan dan menggesa diadakan perbicaraan umum ke atas tentera yang membakar al-Quran.

Siasatan terperinci tentera menunjukkan 100 al-Quran dan teks agama daripada perpustakaan di pusat tahanan dibakar pada 20 Februari.

Siasatan juga mendapati amaran daripada penduduk Afghanistan, termasuk seorang tentera Afghanistan, tidak dilayan dan kejadian disifatkan sebahagian punca askar Afghanistan dan Amerika saling tidak mempercayai.
"Namun, saya menolak kenyataan mereka yang terbabit tidak menghormati al-Quran atau memfitnah Islam," kata pegawai penyiasat, Brigadier Jeneral Bryan Watson.

Persoalan mengenai rasa tidak percaya antara tentera Amerika dan Afghanistan semakin menjadi tumpuan disebabkan serangan membabitkan orang dalam, apabila askar tempatan dipercayai menyerang sekutu antarabangsa mereka.

Tak yakin pada AS

Keadaan itu mengurangkan keyakinan terhadap strategi Amerika bergantung kepada usaha melatih tentera Afghanistan untuk mengambil alih tugas menjaga keamanan, ada kalanya membabitkan hanya beberapa askar yang keluar bersama tentera Afghanistan meronda lokasi terpencil.

Kebanyakan tentera Amerika dijangka meninggalkan Afghanistan menjelang 2014.
Kejadian membakar al-Quran menyebabkan rusuhan beberapa hari dan askar Amerika diserang selepas pekerja tempatan menemui helaian kitab suci yang terbakar dalam sampah di pangkalan Bagram, utara Kabul.

Sekurang-kurangnya 30 maut dalam keganasan di seluruh Afghanistan selepas kejadian itu manakala dua pegawai tentera Amerika ditembak mati. - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan