Sabtu, 23 Jun 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Taliban serbu hotel, 18 terbunuh

Posted:

Taliban serbu hotel, 18 terbunuh

PEMANDANGAN perkarangan Hotel Spozhmai di pinggir Kabul selepas serangan kumpulan Taliban berakhir semalam.


KABUL - Sekumpulan empat orang militan Taliban bersenjata api dan pelancar roket menyerang sebuah hotel tepi tasik di sini dan menjadikan berpuluh-puluh orang termasuk wanita serta kanak-kanak sebagai tebusan.

Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dalam serangan nekad tersebut.

Pemerintah mengambil masa 12 jam untuk mengisytiharkan serangan ke atas Hotel Spozhmai yang berakhir dengan kesemua empat militan itu dibunuh.

Terdahulu, pasukan keselamatan berjaya membebaskan sejumlah tebusan di hotel sama.

Komander Amerika Syarikat (AS) yang mengetuai pasukan tentera Perjanjian Pertubuhan Atlantik Utara (NATO) di Afghanistan berkata, rangkaian Haqqani yang merupakan cabang kumpulan Taliban, bertanggungjawab melancarkan serangan ganas ala komando itu.

Rangkaian Haqqani dipercayai mempunyai hubungan dengan pergerakan Al-Qaaeda.

Kejadian yang bermula malam kelmarin itu merupakan serangan terbaharu ke atas hotel dan beberapa kepentingan pemerintah serta Barat di sini.

Spozhmai menjadi lokasi tumpuan golongan elit di sini dengan hotel berkenaan dipenuhi pengunjung termasuk sejumlah keluarga kelmarin, menjelang cuti hujung minggu pada keesokan harinya di Afghanistan.

Kumpulan militan tersebut menyerbu masuk ketika para pengunjung berkumpul untuk makan malam di hotel berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kabul, Mohammad Zahir berkata, sekurang-kurangnya seorang militan meletupkan jaket berisi bom yang dipakainya.

Seorang saksi, Sharifullah, 30, memberitahu, dia pergi ke hotel berkenaan untuk makan malam dengan seorang rakan.

"Saya melihat tiga lelaki bersenjata memasuki kawasan di mana orang ramai dan keluarga berkumpul. Sejurus selepas itu, tembakan dilepaskan dengan para pengunjung panik dan mula menjerit," katanya.

"Saya terjun ke dalam sebatang parit dan melihat peluru mengenai seorang bapa, anak lelaki dan isterinya yang duduk di sekeliling meja berhampiran. Saya tidak pasti sama ada mereka selamat," tambahnya.

Kementerian Dalam Negeri Afghanistan menyatakan serangan tersebut berakhir pada pukul 11 pagi semalam apabila penyerang keempat dibunuh. - AFP

Bunga mayat mekar selepas sembilan tahun

Posted:

Bunga mayat mekar selepas sembilan tahun


BEBERAPA pengunjung melihat Titan Arum atau bunga mayat mekar semalam.


COPENHAGEN, Denmark - Sejumlah pelawat yang mengunjungi Taman Botani di sini semalam dikejutkan dengan bau mayat mereput.

Bau busuk itu sebenarnya berpunca daripada tumbuhan Titan arum atau nama saintifiknya, Amorphophallus Titanum.

Spesies tersebut turut dikenali sebagai bunga mayat kerana mengeluarkan bau busuk apabila mekar.

Bunga tersebut berkembang sekali sejak sembilan tahun lalu. - Agensi

Pesawat solar rentas padang pasir

Posted:

Pesawat solar rentas padang pasir

PESAWAT Solar Impulse yang dikendalikan oleh Andre Borschberg berlepas dari Rabat, Maghribi kelmarin.


RABAT, Maghribi - Sebuah pesawat yang menggunakan tenaga solar berjaya menamatkan penerbangan merentasi padang pasir di Maghribi semalam selepas berlepas dari Rabat kelmarin.

Pesawat buatan Switzerland, Solar Impulse yang dikendalikan seorang juruterbang, Andre Borschberg selamat mendarat di Ouarzazate, Maghribi 26 minit selepas tengah malam.

Ia merupakan pengembaraan peringkat akhir Borschberg, 59, yang bermula dari negara asalnya, Switzerland sebelum terbang ke Sepanyol dan berakhir di Maghribi.

"Pengembaraan kami menunjukkan terdapat cara lain untuk menjimatkan tenaga, menyelamatkan alam sekitar serta planet," katanya.

Saiz sayap pesawat berteknologi tinggi itu menyamai panjang pesawat komersial Airbus A340. Namun, ia ringan seperti sebuah kereta.

Pesawat yang berada lebih 17 jam di udara itu dipacu empat motor elektrik yang dijana oleh 12,000 sel solar pada kedua-dua sayapnya. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan