Kosmo Online - Dunia |
- Pewaris takhta Arab Saudi meninggal dunia
- Kecoh lagi pasal Lohan
- Nik Wallenda berjalan di atas tali menyeberangi Jeram Niagara
Pewaris takhta Arab Saudi meninggal dunia Posted: Pewaris takhta Arab Saudi meninggal dunia
RIYADH - Putera Mahkota Arab Saudi, Nayef bin Abdul Aziz Al-Saud meninggal dunia di Geneva, lapor stesen televisyen negara berkenaan semalam. Putera Nayef yang merupakan Menteri Dalam Negeri sejak 1975 dan dipercayai berusia 78 tahun, merupakan pewaris pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah II. Beliau dilantik Putera Mahkota pada Oktober lalu berikutan kematian abangnya, Putera Mahkota Sultan. Stesen televisyen Arab Saudi melaporkan jenazah anggota keluarga diraja itu akan dikebumikan di Kota Mekah selepas solat Maghrib hari ini. Beliau dilaporkan meninggal dunia di Geneva tetapi punca kematian pewaris takhta berkenaan tidak didedahkan. Kematian Putera Nayef bermakna Raja Abdullah, 89, perlu melantik bakal penggantinya untuk kali kedua dalam tempoh tidak sampai setahun. Setakat ini, Menteri Pertahanan, Putera Salman, 76, dilihat calon utama dan putera paling kanan bagi menggantikan Putera Nayef. Putera Salman dipercayai akan meneruskan dasar pembaharuan yang dilaksanakan oleh Raja Abdullah, berbeza dengan pendirian abangnya. Nayef sebelum ini memiliki reputasi sebagai pentadbir berfahaman konservatif yang menentang dasar reformasi Raja Abdullah. Beliau turut bertanggung jawab menghapuskan penentangan rangkaian Al-Qaeda di Arab Saudi. Putera Nayef, Raja Abdullah dan Putera Salman adalah antara hampir 40 anak lelaki pengasas Arab Saudi, Abdul Aziz Ibn Saud yang mengasaskan negara berkenaan pada 1935. Salman yang berkhidmat sebagai Gabenor Riyadh, dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada November tahun lalu. Pada Mei lalu, Putera Nayef berkunjung ke Switzerland bagi menjalani ujian perubatan. Beliau pernah berada di luar negara beberapa kali pada tahun ini bagi tujuan perubatan termasuk ke Algeria, Amerika Syarikat dan Switzerland. Namun, penyakit yang dihidapi oleh putera tengah daripada tujuh adik beradik itu tidak dihebahkan. Putera Nayef merupakan anak lelaki Raja Abdul Aziz bersama isteri yang paling disayanginya, Puteri Hassa Al- Sudairi. - Agensi | ||
Posted: Kecoh lagi pasal Lohan
LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Lindsay Lohan sekali lagi diselubungi drama apabila pasukan kecemasan dipanggil ke sebuah hotel di sini kelmarin untuk merawat aktres berkenaan yang dilaporkan keletihan dan mengalami dehidrasi. Namun, seorang jurucakapnya kemudian memberitahu, Lohan sebenarnya 'sihat' Insiden tersebut menggemparkan media AS, laman web selebriti dan Twitter yang melaporkan Lohan, 25, kini dirawat di sebuah hospital selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri. Namun, jurucakap berkenaan, Steve Honig dalam satu kenyataan memberitahu bahawa laporan tersebut tidak benar. Kata Honig, Lohan sebenarnya tertidur di bilik hotelnya selepas semalaman bekerja di set penggambaran sebuah filem televisyen. Menurutnya, penerbit produksi berkenaan mula bimbang apabila dia tidak keluar dari biliknya pagi kelmarin lalu menghubungi pasukan paramedik sebagai langkah berjaga-jaga. "Lohan kemudian diperiksa dan didapati sihat tetapi dia agak lesu dan kurang air dalam badan," ujar Honig. "Dia tidak pernah dibawa ke hospital seperti yang dilaporkan. Lohan sedang berehat dan berharap dapat kembali ke set penggambaran tengah hari ini," katanya. Pada 2007, Lohan ditangkap kerana memiliki dadah dan memandu semasa mabuk, di samping terlibat dengan beberapa kesalahan lain. Namun, pelakon filem Freaky Friday bangkit semula sejak Mac lalu apabila dia dibebaskan daripada tempoh pengawasan polis kerana kesalahan mencuri barang kemas pada 2011. - Reuters. | ||
Nik Wallenda berjalan di atas tali menyeberangi Jeram Niagara Posted: Nik Wallenda berjalan di atas tali menyeberangi Jeram NiagaraNik Wallenda berjalan di atas tali menyeberangi Jeram Niagara dari sebelah Amerika Syarikat kelmarin. JERAM NIAGARA, Kanada - Pelagak ngeri, Nik Wallenda menjadi orang pertama berjalan di atas tali menyeberangi Jeram Niagara yang memisahkan Amerika Syarikat dan Kanada sejauh 548.64 meter. "Saya sungguh gembira," katanya kepada wartawan selepas menamatkan aksi merbahaya itu di hadapan 112,000 penonton yang berkumpul di kedua-dua belah sempadan berkenaan. Wallenda, 33, berjalan dalam cuaca cerah di atas kabel tergantung setinggi 60 meter di tebing Jeram Niagara yang belum pernah dilalui sebelum ini. Dia mengambil masa 25 minit untuk melintasi air terjun terbesar di rantau Amerika Utara itu. Disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen AS, ABC, percubaan Wallenda ditonton oleh berjuta-juta orang di kaca televisyen. Wallenda merupakan ahli generasi ketujuh keluarga pelagak ngeri terkenal, Flying Wallendas. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan