Selasa, 29 Mei 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Bendera Israel dikibar dalam al-Aqsa

Posted: 29 May 2012 02:51 PM PDT

Dunia

BAITULMAQDIS: Tentera Israel sengaja menimbulkan kemarahan penduduk Palestin dan umat Islam semalam apabila bertindak mengibar bendera kebangsaan negara Zionis itu dalam masjid al-Aqsa di timur Baitulmaqdis.

Provokasi terbaru askar Yahudi itu didedahkan oleh organisasi yang memantau kawasan itu, Yayasan Wakaf Islam. Agensi berita Barat, bagaimanapun, melaporkan tindakan askar Israel berlaku di luar masjid berkenaan.

"Lebih daripada 180 anggota tentera unit khas Israel hari ini mengibarkan bendera besar Israel bertentangan dengan Masjid Kubah Emas yang juga satu provokasi besar," kata Sheikh Azzam al-Khatib yang dipetik agensi berita Agence France Presse (AFP). Agensi berita Palestin pula melaporkan, anggota tentera Israel itu mengibarkan bendera yang panjangnya tiga meter sebelum mengambil gambar dalam masjidil Aqsa.
Sheikh Azzam berkata, seorang pengawal masjid itu menyuruh askar Yahudi menurunkan bendera negara mereka dan keluar dari situ tetapi mereka enggan dan sebaliknya memarahinya.

Ini kali pertama askar Israel bertindak mengibarkan benderanya dalam masjid al-Aqsa sejak menawan Baitulmaqdis lebih enam dekad lalu.

Kawasan bersiar-siar yang luas merangkumi Masjid al Aqsa yang bersebelahan masjid Kubah Emas di Kota Lama, Kota Suci ketiga umat Islam, selepas Makkah dan Madinah di Arab Saudi.
Ia turut menjadi kota suci bagi Yahudi yang merujuknya sebagai 'Temple Mount' atau Haram al-Sharif bagi penduduk Palestin, atas dakwaan ia terletak di Kuil Kedua yang dimusnahkan oleh tentera Rome pada 70 Selepas Masehi.

Sheikh Azzam memberitahu, tentera Yahudi memasuki al-Aqsa ketika melakukan lawatan di situ atas tujuan bersiar-siar yang dilulus dan dianjurkan polis Israel.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat laporan kepada polis Israel dan pihak berkuasa Jordan. Jordan yang mempunyai perjanjian perdamaian dengan Israel pada 1994, adalah penjaga Kota Suci Muslim di Baitulmaqdis.

Jurucakap polis, Luba Samri mengesahkan kejadian itu tetapi berkata ia hanya membabitkan bendera kecil dan pegawai kanan di tempat kejadian segera campur tangan untuk mengusir tentera dari kawasan itu.

Beliau juga memberitahu, anggota tentera berkenaan akan berdepan dengan tindakan disiplin. Israel menakluk di timur Baitulmaqdis ketika Perang Enam Hari 1967 sebelum mengisytihar wilayahnya, langkah yang tidak pernah diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Bagi warga Israel, Baitulmaqdis adalah ibu negara mereka tetapi rakyat Palestin mendakwa bahagian timur Baitulmaqdis sebagai ibu kota masa depan negara Palestin. – AFP/Agensi

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Empat lelaki jual ‘susu kumbahan’

Posted: 29 May 2012 02:50 PM PDT

Dunia

MUMBAI: Polis India semalam menahan dan mendakwa empat lelaki di Mumbai kerana menjual susu dicampur air kumbahan dalam paket plastik yang dipungut dari tong sampah.

Empat penjual terbabit ditahan kelmarin kerana disyaki melakukannya sejak enam bulan lalu dan didakwa mengancam pelanggan dari segi kesihatan apabila menjual bahan terbabit di pinggir bandar.

"Polis menangkap empat penjual terbabit ketika mereka menjual paket susu yang dicampur air kumbahan kepada pelanggan," lapor akhbar Mid Day. "Mereka memperjudikan nyawa pelanggan terutama kanak-kanak. Ini bukan sekadar campuran biasa tetapi racun yang secara perlahan akan memberi kesan buruk kepada pelanggan," kata seorang pegawai polis dari Vile Parle, tempat di mana lelaki itu ditahan, dipetik akhbar terbabit.

Mereka didakwa di hadapan majistret dengan beberapa tuduhan termasuk menjual bahan makanan dan minuman berbahaya dan direman untuk ditahan sehingga 31 Mei ini, kata jurucakap polis Mumbai, Nisar Tamboli, mengesahkan laporan Mid Day .

Polis merampas 181 paket susu bercampur dan 160 liter susu tercemar itu daripada penjual terbabit yang kini disiasat untuk memastikan sama ada ia dilakukan secara besar-besaran.

Mereka berkata, satu daripada kaedah penjual terbabit adalah mereka akan memungut paket susu kosong di tong sampah yang kemudian akan diisi dengan 60 peratus susu serta 40 peratus air kumbahan sebelum paket terbabit dibakar dengan lilin untuk dilekatkan semula.
Serbuan dibuat selepas mesyuarat penternak tenusu India bulan ini menggesa perundangan ketat bagi menghalang kegiatan menjual susu campuran.

Satu kajian dibuat pemantau kerajaan India pada Januari lalu menunjukkan lebih dua pertiga susu di negara itu tercemar dengan bahan seperti garam, serbuk pencuci pakaian, susu tepung skim, lemak, glukos dan air. – AFP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan