Isnin, 28 Mei 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Nasib Assange diketahui hari ini

Posted: 28 May 2012 02:22 PM PDT

Dunia

LONDON: Mahkamah Agung Britain akan memutuskan hari ini, sama ada pengasas WikiLeaks, Julian Assange, boleh diekstradisi dari negara itu ke Sweden selepas perbicaraan umpama maraton berakhir.

Mahkamah tertinggi Britain itu adalah tempat terakhir Assange mengemukakan rayuan untuk tidak diekstradisi ke Sweden yang mahu menyoalnya atas dakwaan merogol dan melakukan serangan seksual.

Assange, 40, yang berasal dari Australia ditahan di Britain sejak Disember 2010 atas waran tangkap Eropah dan sejak itu terbabit dalam pelbagai rayuan hingga ke Mahkamah Agung. Keputusan hakim akan dibuat dalam satu sesi selama 10 minit pada 9.15 pagi (4.15 petang di Malaysia) dan disiarkan serentak oleh Sky News dan laman web sebaik dibentangkan.

Presiden Mahkamah Agung akan memberi hujah ringkas mengenai perkara dikemukakan pihak yang merayu mengikut undang-undang sebelum menjelaskan keputusan mahkamah dan rasionalnya.

Mengambil kira tempoh penahanannya sehingga keputusan dibuat, Assange tinggal di bawah perintah kediaman terhad selama 540 hari.

Assange bergantung kepada satu alasan iaitu pendakwa Sweden yang mengeluarkan waran tangkap ke atasnya bukan pihak berkuasa yang sah.
Kes Assange bermula pada Ogos 2010 apabila dia dituduh merogol seorang wanita ketika mangsa sedang tidur dan melakukan serangan seksual ke atas seorang wanita lain di Sweden.

Bekas penggodam komputer itu, bagaimanapun, menafikannya dan menuduh dakwaan mereka bermotif politik.

Mahkamah rendah pada awalnya meluluskan ekstradisi Assange ke Sweden pada Februari 2011. Rayuan kepada mahkamah tinggi ditolak pada November tetapi Assange menang kebenaran untuk merayu kes di Mahkamah Agung.

Jika mahkamah itu juga menolak, Assange tidak ada jalan keluar lain daripada segi perundangan di Britain, tetapi masih boleh mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah di Strasbourg, Perancis.

Assange bimbang, ekstradisi ke Sweden akan membawa kepada penyerahannya kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Mahkamah tentera Amerika sedang membicarakan askar negara itu, Bradley Manning, mengenai dokumen yang diserahkannya kepada WikiLeaks. – AFP


Gillard, Yingluck cari pemimpin wanita

Posted: 28 May 2012 02:21 PM PDT

Dunia

CANBERRA: Wanita pertama menjadi Perdana Menteri di Australia dan Thailand mengumumkan ahli perundangan dua negara itu akan memulakan program pertukaran bertujuan menggalakkan wanita aktif dalam politik.

Pemimpin Australia, Julia Gillard berkata: "Sebagai orang pertama menjadi pemimpin, kami mahu ramai wanita lain untuk rasa apa yang kami rasa iaitu kemungkinan yang wujud bagi menjadi pemimpin."

Gillard berkata demikian di Parlimen ketika majlis makan tengah hari sempena lawatan Yingluck ke Australia, semalam. Tiga wanita muda dari Thailand akan berkunjung ke Australia bulan depan bagi memulakan program tukaran politik itu.

Duta Global bagi Wanita dan Perempuan Australia, Penny Williams, pula akan mengunjungi Thailand dalam tempoh setahun untuk mempromosi kempen menggalakkan kesedaran wanita dan kanak-kanak perempuan dari segi politik dan ekonomi.

Lawatan Yingluck selama empat hari mulai kelmarin dilakukan ketika kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik.

Pada hari pertama pertemuan di Sydney, kedua-dua pemimpin itu berbincang mengenai usaha menyekat penyeludupan manusia dan memuktamadkan perjanjian ekstradisi dua hala.
Mereka juga mengesahkan sekali lagi komitmen untuk memperluas hubungan dagangan dan pelaburan termasuk melalui kajian semula Perjanjian Perdagangan Bebas Thai-Australia 2012.

Thailand adalah rakan dagang ke-9 terbesar Australia. Nilai dagangan dua hala kini mencapai hampir AS$20 bilion (RM60 bilion) pada 2010-2011.

Mereka juga membincangkan isu pendidikan, standard keselamatan makanan, pengurusan bencana dan potensi meningkatkan kerjasama sektor tenaga.

Pertemuan itu diikuti dengan mesyuarat bersama menteri kabinet Australia dan Thailand.

Pada hari pertama, Yingluck sempat menghadiri majlis memasak bersama chef selebriti Australia menunjukkan cara memasak ala-Thai.

Yingluck mendapat tepukan gemuruh selepas membantu chef David Thomson menyediakan salad betik pedas yang sempat dirasa seorang tetamu. – Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan