Kosmo Online - Dunia |
- PM Pakistan dihukum berada dalam kamar mahkamah
- Petani kahwin dua wanita satu malam
- Serpihan tahi bintang ditemui di California
PM Pakistan dihukum berada dalam kamar mahkamah Posted: PM Pakistan dihukum berada dalam kamar mahkamah
ISLAMABAD - Perdana Menteri Pakistan, Yousuf Raza Gilani didapati bersalah kerana menghina mahkamah semalam tetapi beliau terlepas daripada dikenakan hukuman penjara, lapor sebuah stesen televisyen rasmi Pakistan. Yousuf didakwa kerana enggan mematuhi perintah sebuah mahkamah tempatan untuk menulis surat kepada pihak berkuasa di Switzerland bagi meminta kes rasuah terhadap Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari dibuka semula. Tujuh panel hakim Mahkamah Agung memutuskan beliau bersalah menghina mahkamah. Para hakim itu mengarahkan supaya Yousuf ditahan dalam kamar mahkamah sehingga hakim beredar sebagai hukuman terhadapnya. Stesen televisyen Pakistan Television melaporkan, Yousuf ditahan di mahkamah berkenaan di sini sehingga perbicaraan selesai sebagai hukuman bagi kesalahan tersebut. Beliau dilihat keluar dari mahkamah berkenaan tidak lama kemudian sambil tersenyum kepada sejumlah penyokongnya. Yousuf berdepan hukuman penjara enam bulan dalam kes berkenaan yang berisiko mencetuskan ketidakstabilan politik di Pakistan. Sementara itu, peguam Yousuf, Aitzaz Ahsan berkata, anak guamnya akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah tersebut. - Agensi | |
Petani kahwin dua wanita satu malam Posted: Petani kahwin dua wanita satu malamABDUL RAHMAN duduk diapit dua isterinya, Intidhar (kiri) dan Suad di Samarra kelmarin. SAMARRA, Iraq - Seorang petani berusia 22 tahun, Abdul Rahman Nayef al-Obeidi jatuh cinta dengan dua wanita. Namun, daripada memilih salah seorang gadis itu untuk dijadikan isteri, dia melangsungkan perkahwinan dengan mereka pada hari yang sama di sebuah kampung di tengah Iraq. Majlis perkahwinan Abdul Rahman dan dua wanita yang merupakan sepupunya, Intidhar, 17, dan Suad, 22, berlangsung pada 6 April lalu. Ia diadakan di rumah keluarga lelaki itu di kampung Al-Laqlaq, utara Tikrit. Majlis itu dihadiri oleh keluarga kedua-dua pengantin wanita, saudara-mara dan rakan-rakannya yang terkejut dengan perkahwinan tersebut. Abdul Rahman yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik berkata, dia memberitahu ibu bapanya tentang niat untuk berkahwin dengan dua sepupunya dalam satu malam. Ibu bapa lelaki itu bersetuju walaupun kebanyakan saudara-maranya menentang idea berkenaan. "Saya mengambil masa kurang sebulan untuk membuat keputusan muktamad kerana dua keluarga itu ialah saudara-mara saya dan saya menyintai dua gadis tersebut," katanya. Langkah paling penting yang perlu dibuatnya adalah dengan berusaha memujuk dua wanita muda tersebut. Intidhar berkata: "Abdul Rahman memberitahu, dia akan berkahwin dengan saya dan Suad dalam satu malam. Apakah yang anda mahu katakan? "Saya memberitahunya, ia sesuatu yang baik jika anda melayan kami dengan adil." Agama Islam membenarkan lelaki berkahwin dengan empat wanita namun mensyaratkan isteri-isteri perlu dilayan dengan adil. Suad berkata, dia terkejut apabila Abdul Rahman memberitahunya tentang hasratnya itu. Namun, katanya, Abdul Rahman memujuknya supaya dia bersetuju. Abang sulung pengantin lelaki itu, Salman berperanan sebagai orang tengah dengan berunding dengan dua keluarga gadis itu. Dia kemudian berjaya menjadikan impian adiknya itu sebagai satu realiti. Bapa Abdul Rahman, Nayef Hamid berkata, dia berasa bangga terhadap anaknya itu. Dia merupakan satu-satunya anak lelaki yang berkahwin dengan dua wanita serentak. Ibu Abdul Rahman, Rasmiya Mohammed mempunyai pendapat yang sama seperti suaminya dan dia tidak mahu anaknya berasa sedih kerana menyintai dua gadis. Idea Abdul Rahman berkahwin dua itu disokong ramai lelaki yang memberi komen dalam laman Facebook mengenai gambar mereka manakala kaum wanita menentangnya. "Lelaki ini seorang hero. Tiada seorang pun yang pernah melakukannya sebelum ini dan namanya patut dimasukkan dalam Guinness World Records," komen Ali Bassi Abbar. Namun, Sara Yasser memberikan komen dengan sinis. "Kasihan lelaki itu, dia tidak mahu melukakan hati salah seorang daripada mereka. Dia seorang lelaki yang baik," katanya. Seorang lagi wanita, Sara Saad mengkritik dua pengantin baharu wanita tersebut dengan menyatakan bahawa setiap wanita yang bersetuju dengan perkahwinan itu adalah seperti tidak mempunyai perasaan dan maruah. - AFP | |
Serpihan tahi bintang ditemui di California Posted: Serpihan tahi bintang ditemui di CaliforniaWARD menunjukkan dua serpihan batu tahi bintang. RENO, Amerika Syarikat (AS) - Dua batu kecil yang ditemui di kaki bukit Sierra, barat California merupakan serpihan daripada tahi bintang yang meletup pada minggu lalu, kata beberapa saintis semalam. Letupan itu sekuat lima kiloton, satu pertiga lebih kuat daripada bom atom yang meletup di Hiroshima, Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Kedua-dua batu itu ditemui oleh seorang pemburu tahi bintang, Robert Ward pada Selasa lalu. Menurut pakar tahi bintang di Institut Geofizik dan Fizik Planet, Universiti California Los Angeles, Profesor John T. Wasson, berat setiap batu itu sekitar 10 gram. Pakar-pakar berkata, saiz asal tahi bintang itu kemungkinan sebesar sebuah van kecil semasa ia memasuki atmosfera Bumi dengan mengeluarkan bunyi yang kuat pada awal Ahad lepas. Pergerakan tahi bintang itu dapat dilihat di Sacramento, California sehingga ke Las Vegas dan sebahagian kawasan utara Nevada. Menurut seorang pakar tahi bintang di Pusat Penerbangan Angkasa Lepas Marshall, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan, ia kemungkinan seberat 70,000 kilogram. Beliau berkata, semasa tahi bintang itu berkecai, ia kemungkinan meletup dengan kekuatan lima kiloton. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan