Jumaat, 27 April 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Montalvo bukan lagi ‘budak penyu’

Posted: 26 Apr 2012 10:29 AM PDT

BOGOTA: Nasib 'budak penyu' yang mempunyai tahi lalat gergasi pada badannya kini berubah selepas dia menjalani pembedahan membuang ketumbuhan berkenaan, lapor media semalam.

Berasal dari Colombia, Didier Montalvo, 6, lahir dengan masalah itu - dikenali dalam istilah perubatan sebagai Congenital Melanocytic Nevus - dan berpotensi membahayakan dirinya.


Bagaimanapun, disebabkan keadaan ekonomi ibunya, Luz, tidak mengizinkan, mereka gagal mengumpul wang mencukupi bagi membolehkan dia menjalani pembedahan membuang tahi lalat berkenaan.

Hidup di kawasan pedalaman juga menyebabkan keluarga Montalvo terikat dengan kepercayaan tahyul.


Berdasarkan pandangan pawang, budak itu dipercayai mula menjadi janin ketika gerhana.


Mereka juga bimbang Montalvo mungkin diganggu roh jahat dan ia akan menghalangnya untuk bersekolah atau dibaptiskan.

Namun, sekumpulan doktor, diketuai pakar pembedahan plastik dari Britain, Neil Bulstrode, menawarkan diri membantu Montalvo secara percuma selepas mengetahui kisahnya.


Menurut Bulstrode, dia pergi ke Bogota untuk membantu sekumpulan pakar bedah negara itu membuang tanda lahir pada badan kanak-kanak terbabit.

Disebabkan tahi lalat itu terlalu besar, doktor terpaksa menjalankan siri pembedahan yang merangkumi beberapa tahap.


Kata Bulstrode, kejadian menimpa Montalvo adalah kes paling serius pernah dihadapinya.


"Kira-kira tiga per empat badan budak itu terjejas akibat tanda lahir berkenaan," katanya. Untuk membolehkan Montalvo membesar seperti kanak-kanak biasa, kata Bulstrode, budak itu perlu melalui sejumlah pembedahan menyakitkan.


"Tapi kami berpendapat, ia memang berbaloi," katanya. Setakat ini, pakar perubatan belum mengetahui dengan jelas bagaimana tanda lahir seumpama itu boleh berlaku, tetapi ia mungkin membabitkan perubahan sel kulit pada janin akibat mutasi gen. - DM


Kanak-kanak bawa tiga bungkusan ganja ke tadika

Posted: 26 Apr 2012 10:24 AM PDT

LONDON: Sekumpulan guru tadika terkejut apabila mendapati sebungkus ganja tiba-tiba terjatuh dari poket seorang budak lelaki ketika dia bermain-main, semalam.

Budak itu - identitinya dirahsiakan atas faktor perundangan - kemudian tidak ragu-ragu lagi turut menunjukkan kepada gurunya dua bungkusan lain yang berisi dadah sama tersimpan dalam poketnya. Apabila ditanya, budak itu berkata, ia adalah bahan untuk membuat rokok bapanya.


Dianggarkan dadah itu bernilai RM100 jika dibeli daripada pengedar.

Guru tadika terbabit kemudian menghubungi polis Salford bagi memaklumkan kejadian berkenaan. Hasil maklumat diberikan, polis menahan bapa tiri budak terbabit dan didakwa di Mahkamah Majistret Manchester.


Lelaki itu mengaku salah atas tuduhan memiliki dadah dan hukuman ke atasnya akan ditetapkan pada 21 Mei ini.


Sementara itu, peguam bela, Abigail Henry, berkata tertuduh menyesal dengan perbuatannya.

"Tertuduh sedar kesan buruk yang boleh menimpa anak tirinya jika dadah berkenaan ditelan atau diberi kepada kanak-kanak lain," katanya.


Jurucakap polis pula berkata, tertuduh mengaku budak terbabit dan ibunya bermalam di rumahnya kelmarin. Katanya, tertuduh mengaku menghisap ganja dan membiarkan bungkusan dadah itu di sebelah katilnya sebelum keluar bekerja.

"Lelaki itu mendakwa anak tirinya mungkin menemui bungkusan berkenaan dan membawanya ke sekolah tanpa mengetahui apa sebenarnya bahan itu," katanya. - TS


Tiada ulasan:

Catat Ulasan