Ahad, 22 April 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Presiden Perancis diramal kalah

Posted: 22 Apr 2012 03:17 PM PDT

Dunia

Tinjauan dapati Sarkozy di belakang Hollande, ramai tak keluar mengundi

PARIS: Rakyat Perancis keluar mengundi semalam, bagi pusingan pertama pilihan raya presiden yang dijangka menjadi penamat kepada kepemimpinan Presiden Nicolas Sarkozy.

Ramalan mengenai kadar ketidakhadiran tinggi dan bantahan keras membuatkan hasil pengundian masih tidak pasti tetapi tinjauan sebelum ini menunjukkan Sarkozy berada di belakang pencabarnya daripada Parti Sosialis, Francois Hollande.

Kedua-dua veteran politik berusia 57 tahun itu berada dalam landasan bersaing sesama sendiri untuk pusingan kedua pada 6 Mei ini yang akan menentukan siapa bakal menerajui apa dianggap kuasa kelima terbesar dunia untuk lima tahun lagi. Pengundian bermula kelmarin, di wilayah pedalaman dan diteruskan pada jam 8.00 pagi waktu tempatan semalam.

Ia berterusan sehingga 6.00 petang di kebanyakan bahagian negara itu dan 8.00 malam di bandar raya besar.

Agensi pengundian Perancis dibenarkan mengambil contoh secara langsung dari kotak undian yang membolehkan anggaran tepat pengundian diberitahu sebaik ditutup.

Lebih 44 juta pengundi berdaftar tetapi ramalan menganggarkan 25 peratus tidak akan keluar mengundi menjadi kebimbangan calon terutama Hollande.
Jumlah yang keluar mengundi bagi St Pierre di pulau Atlantik menunjukkan kadar penurunan enam peratus berbanding persaingan pada tahun 2007.

Undian juga berkurangan satu peratus di Martinique, tetapi meningkat dua peratus di Guyana.

Perancis berbangga dengan tradisi demokratiknya dan akhbar meraikan hari pengundian dengan rayuan supaya rakyat keluar mengundi.

"Ke pusat pengundian!" Menurut akhbar Ouest de France dan Voix du Nord. – AFP

Pertempuran baru di Bahrain

Posted: 22 Apr 2012 03:15 PM PDT

Dunia

PENUNJUK perasaan antikerajaan melarikan diri selepas membakar tayar di Manama, semalam. - Foto Reuters

PENUNJUK perasaan antikerajaan melarikan diri selepas membakar tayar di Manama, semalam. - Foto Reuters

Puak Syiah desak kerajaan bebas aktivis, pulau perlumbaan F1

MANAMA: Pertempuran baru tercetus di Bahrain semalam antara beratus-ratus penunjuk perasaan antikerajaan dan pihak polis, kata saksi hanya beberapa jam sebelum negara Teluk itu menganjurkan perlumbaan Formula One (F1).

Polis melepaskan gas pemedih mata dan bom air ke arah penunjuk perasaan daripada puak Syiah yang membalas dengan balingan batu dan bom api sambil melaungkan "Jatuhlah Hamad", merujuk kepada Raja Sunnah negara itu, kata saksi kepada AFP.

Penunjuk perasaan turut menggesa pembebasan aktivis Syiah terkenal, Abdulhadi al-Khawaja, yang mogok lapar sejak awal Februari lalu. Laporan menyatakan keadaan kesihatannya semakin merosot meningkatkan kebimbangan dia akan mati di penjara. Dalam satu mesej dihantar di Twitter, kementerian dalam negeri Bahrain berkata semalam bahawa Khawaja berada dalam keadaan sihat dan akan bertemu duta Denmark hari ini." Khawaja memiliki dua kerakyatan Bahrain dan Denmark.

Kawalan keselamatan di sekitar perkampungan Syiah di sini diperketatkan kelmarin, sebagai langkah berjaga-jaga berikutan gesaan kumpulan yang menggelar diri mereka Pergerakan Belia 14 Februari, agar mengadakan tunjuk perasaan dan memulaukan perlumbaan sempena acara Grand Prix itu.

Sementara itu, litar Sakhir, tempat perlumbaan diadakan ditutup sepenuhnya. Saksi berkata penunjuk perasaan hanya berupaya menyekat seketika beberapa jalan menuju ke trek, membakar tayar dan sampah sarap.

Di ibu kota ini, polis menghalang bantahan dirancang di pasar utama, kata penduduk dan saksi.
Pertempuran terbaru berlaku sehari selepas seorang penunjuk perasaan ditemui mati di perkampungan Syiah di Sakhura, ketika pergerakan pembangkang Al-Wefaq berkata pasukan keselamatan malam Jumaat lalu "menyerang penunjuk perasaan secara aman dan memukul sebilangan mereka dengan pelbagai alat dan senjata."

Kementerian dalam negeri berkata satu siasatan sedang dijalankan terhadap kematian Salah Abbas Habib, 36, yang dianggap sebagai pembunuhan.

Penunjuk perasaan diketuai puak Syiah semakin hebat di Bahrain, tapak kebangkitan maut selama sebulan yang dihancurkan tahun lalu, namun pemerintah diraja berkeras supaya perlumbaan diteruskan mengikut jadual. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan