Berita Harian: Dunia |
Keluarga Bashar mafia: Amerika Posted: 10 Mar 2012 02:50 PM PST Dunia PENYOKONG Bashar menunjukkan sokongan dalam perarakan di Beirut. WASHINGTON: Amerika Syarikat semalam menyamakan pentadbiran Presiden Bashar al-Assad dengan keluarga mafia dan mendesak penyokong pemimpin Syria itu untuk berfikir dua kali sebelum patuh kepada arahan membunuh orang tidak bersalah. "Di bawah pemerintahan Bashar, kuasa politik di Syria dijalankan oleh keluarga jenayah ala mafia, bukan Parlimen atau parti mahupun Kabinet," dakwa jurucakap Jabatan Negara Amerika, Victoria Nuland. Bashar menggantikan bapanya, Hafez, pada tahun 2000, dan saudara lelakinya, Maher al-Assad, pula dituduh oleh pembangkang sebagai arkitek utama di sebalik tindakan ganas rejim itu menangani pemberontakan."Jika Bashar seperti keluarga mafia, siapa ketuanya di sini?" tanya seorang wartawan. Nuland menjawab: "Saya tidak akan membongkar kehidupan dalaman keluarga itu tetapi beliau adalah presiden negara ini. Beliau yang memikul tanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku." Beliau turut menyalahkan Bashar di atas keganasan yang berlaku dan dikatakan pembangkang sudah meragut 8,500 nyawa dalam masa setahun.
Peletakan jawatan dan tindakan berpaling tadah seorang timbalan menteri serta 12 pegawai tentera termasuk enam jeneral dan seorang leftenan wanita yang masuk ke Turki minggu ini dikatakan satu tamparan hebat kepada Bashar. Dari segi diplomatik, Russia, antara sekutu Syria bersama China, menyifatkan satu inisiatif pimpinan Amerika mengeluarkan resolusi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai tidak seimbang. Ketika mendedahkan wujud pertelagahan antara kuasa dunia mengenainya, Nuland berkata, Washington tidak yakin resolusi itu boleh diluluskan dalam masa terdekat. Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov menerangkan pendirian negaranya dalam rundingan dengan rakan negara Arabnya di Kaherah semalam. Tetapi, Lavrov akan berunding terlebih dulu dengan Annan di ibu kota Mesir itu sebelum wakil PBB berkenaan menuju Syria, kata jurucakap PBB. – AFP |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan