Jumaat, 17 Februari 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


4 tahun hidup di katil

Posted: 16 Feb 2012 07:51 AM PST

LONDON: Brenda Flanagan-Davies kini menjadi wanita paling gemuk di Britain dan masalah itu menyebabkan dia tidak pernah meninggalkan rumahnya sejak empat tahun lalu.

Di kediaman yang dibiayai pembayar cukai itu, Brenda, 43, juga tidak pernah sekali pun duduk di ruang tamu kerana dengan berat 254 kilogram, dia tidak mampu berjalan dari katil ke situ.


Berasal dari Gateshead, Brenda kini menjadi wanita paling berat di Britain disahkan selepas kematian Sharon Mevsimler pada 2010.

Ketika meninggal dunia, berat Sharon ialah 286 kilogram.


Media semalam melaporkan, Brenda memakan lebih 6,000 kalori sehari, termasuk sembilan bar coklat dan tiga liter minuman berkarbonat.


Jumlah kalori yang disarankan bagi wanita dewasa hanya 2,000.

Saiz badan yang besar melampau itu memaksa Brenda terperap di katil dan disebabkan ketagihannya untuk makan, sebuah peti sejuk padat berisi coklat dan minuman ringan ditempatkan di sebelahnya.


Kini, Brenda merayu bantuan selepas doktor memberinya amaran supaya mengubah sikap atau berdepan dengan maut dalam waktu terdekat.

Kata Brenda, dia menghabiskan masanya di atas katil semata-mata.


"Tetapi itu bukanlah hidup sebenar," katanya.


Menurut Brenda, dia mencuba pelbagai disiplin pemakanan tetapi ia tetap gagal menghalangnya untuk makan.


"Saya tak mampu berjalan ke bilik mandi yang terletak hanya enam meter dari katil tanpa tercungap-cungap," katanya.


Menyedari serba terbatas, Brenda berkata, dia benci hidup begitu dan bercadang mahukan anak sementara masih mampu.


Masalahnya, kata Brenda, dia tidak cukup sihat untuk hamil.


Pemeriksaan doktor mendapati, tabiat pemakanan Brenda mengancam nyawanya kerana berat badan bekas pembantu kedai itu menekan pelbagai organ dalamannya.


"Bagaimanapun, saya mahu makan terus-terusan dan tak mampu melawan ketagihan itu. Saya perlukan bantuan," katanya.


Brenda dimaklumkan, jantungnya begitu terbeban dan amat berisiko untuk dibedah.


Kata Brenda, dia tidak mahu mengalami nasib sama seperti Sharon - ibu kepada empat anak - yang meninggal dunia hanya 13 bulan selepas menjalani pembedahan mengikat saluran perut.


Kini, katanya, dia terlalu takut untuk keluar rumah kerana bimbang terjatuh dan tidak mampu berdiri semula.


"Saya juga sukar untuk keluar masuk kereta, sentiasa bimbang jika kerusi tempat saya duduk akan patah dan terasa sangat malu apabila semua orang memandang," katanya. - DM



Pemancing amatur tangkap ikan kod 20kg

Posted: 16 Feb 2012 07:48 AM PST

LONDON: Seorang pemancing bertuah mencipta rekod menangkap ikan kod terbesar di Selat Inggeris, lapor media semalam.

Lebih menarik, Chris Proctor melakar kejayaan itu dalam percubaan pertamanya memancing.


Menurut Proctor, 31, mula-mula dia menyangka mata kailnya tersangkut pada bangkai kapal kerana berat beban pada jorannya.

"Hanya selepas kekili saya berpusing ligat, barulah saya sedar sebenarnya ada ikan memakan umpan," katanya.


Proctor bertungkus-lumus 30 minit sebelum ikan berkenaan berjaya ditewaskan.


Dengan bantuan rakannya, Proctor mengangkat ikan berkenaan ke dalam bot.

Selepas dibawa ke darat dan ditimbang, ikan itu didapati seberat 19.9 kilogram, mengatasi rekod sebelum ini, 15.9 kilogram yang dicatat pada 2000.


Ikan kod Proctor dianggar bernilai RM1,500 jika dijual.

Berasal dari Stokr Gabriel, Proctor berkata, dia nyaris tidak menyertai rombongan itu kerana terlalu banyak tugas perlu dibereskan.


"Nampaknya, ajakan rakan-rakan memang berbaloi," katanya. - ST



Tiada ulasan:

Catat Ulasan