Rabu, 14 Disember 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Pita aksi seks pemimpin Teluk

Posted: 14 Dec 2011 12:11 PM PST

Dunia

Syria sedia dedah rakaman di internet ketika hadapi tekanan antarabangsa

DAMSYIK: Penasihat Presiden Syria, Buthaina Shaaban bersedia mendedahkan pita seks membabitkan pemimpin dari negara Teluk ketika negaranya menghadapi tekanan antarabangsa mengenai kekerasan pentadbiran Bashar al-Assad terhadap penentangnya.

Shaaban memberi taklimat kepada delegasi masyarakat Syria yang tinggal di rantau itu selepas satu mesyuarat diadakan dengan Bashar. Akhbar The Kuwait Times melaporkan, Shaaban memberitahu mesyuarat itu: "Kita akan tunjuk rahsia mereka selepas mendedahkan pita seks mereka di internet."

Beliau memberi amaran itu menjelang mesyuarat tergempar Menteri Luar Liga Arab di Kaherah Sabtu ini bertujuan memberi maklum balas terhadap cadangan Syria menerima pemantau sebagai pertukaran menamatkan sekatan serantau.

Mohammed Zaidi, penasihat ketua Liga Arab, Nabil al-Arabi, berkata pasukan khas peringkat menteri mengenai Syria akan berunding di ibu pejabat negara anggota 22 blok itu Sabtu ini, mesyuarat tergempar bermula.

Ahad lalu, Syria berkata, ia membenarkan pemantau masuk ke negara itu sebagai sebahagian pelan damai Arab bagi menamatkan keganasan sejak beberapa bulan lalu dalam cubaan mengelak sekatan baru Liga Arab ke atasnya.
Menteri Luar Syria, Walid Muallem, dalam sepucuk surat kepada Arabi, berkata Syria akan menerima pemantau mengikut syarat tertentu, termasuk penarikan balik sekatan Liga Arab pada 27 November lalu.

Sementara itu, Damsyik bertindak mendakwa seorang blogger Amerika Syarikat kelahiran Syria cuba mencetuskan pergaduhan mazhab, sementara tentera melepaskan tembakan ke arah satu majlis pengebumian di satu kawasan barat laut menjadikan angka korban pertumpahan darah di situ mencapai 28 orang.

Razan Ghazzawi antara berpuluh aktivis, wartawan dan blogger yang ditahan sejak pemberontakan menentang Bashar bermula sembilan bulan lalu.

Ia memaksa Damsyik melancarkan tindakan balas yang mengorbankan lebih 5,000 orang selain menyaksikan beribu-ribu lagi ditahan di penjara, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ghazzawi, 31, sedang mengumpul butir-butir kes pencabulan hak asasi manusia sejak beberapa bulan lalu dan ditahan 4 Disember lalu di sempadan ketika dalam perjalanan ke Jordan untuk menyertai sidang mengenai kebebasan media.

Isnin lalu, dia didakwa pihak berkuasa Syria cuba menghasut pertikaian mazhab, menyebarkan maklumat palsu dan melemahkan sentimen nasional, satu dakwaan yang biasanya dituduh ke atas mereka yang mencabar rejim Syria, menurut aktivis hak asasi. Dakwaan itu boleh membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun. – Agensi

Full content generated by Get Full RSS.

Yingluck yakin tentera Thailand tidak akan rampas kuasa

Posted: 14 Dec 2011 12:07 PM PST

Dunia

Yingluck Shinawatra

Yingluck Shinawatra

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra yakin pihak tentera tidak akan menumbangkan kerajaannya seperti yang mereka lakukan terhadap pentadbiran abangnya, Thaksin Shinawatra pada 19 September 2006.

Ketika melawat Ibu Pejabat Tentera Diraja Thailand di Chaeng Watthana Road, semalam, pemberita bertanya sama ada beliau bimbang rampasan kuasa kerana pegawai kanan tentera yang menggulingkan Thaksin masih bertugas.

"Saya yakin lakukan terbaik untuk rakyat yang percaya kepada keupayaan saya dan saya akan lakukan yang terbaik untuk Thailand. Saya percaya, saya akan dapat layanan adil daripada semua pihak kerana mereka tahu niat saya itu," kata Yingluck dalam The Bangkok Post ketika sidang media bersama komander tertinggi dan pemimpin tentera. Katanya, angkatan bersenjata tidak sepatutnya ada masalah dengan beliau kerana mereka sama-sama mempunyai matlamat kerja yang sama iaitu menjaga keamanan negara, berusaha supaya rakyat makmur dan melindungi raja.

Sekalipun berulang kali ditanya pemberita bahawa beliau benar-benar yakin tidak akan ada rampasan kuasa ke atas pentadbirannya, Yingluck berkata, beliau amat yakin mengenainya.

Beliau kemudian meminta Komander Thanasak Patimaprakorn menjawab soalan yang sama.

"Kami mengesahkan, tentera bersedia melakukan yang terbaik bagi menyokong dasar kerajaan ke arah penyatuan dan pembangunan. Setiap orang akan mendapat kepastian kami menyokong kerajaan sepenuhnya," kata Thanasak. – Agensi

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan