Utusan Online - Luar Negara |
Mugabe gelar PM Britain 'syaitan' Posted: Mugabe gelar PM Britain 'syaitan'HARARE 25 Nov. - Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe menggelar Perdana Menteri Britain, David Cameron sebagai 'syaitan' selepas bantuan dari Britain mungkin disekat ekoran negara Afrika itu tidak menghormati hak golongan gay. Mugabe dalam ucapannya berkata, tindakan Cameron sangat teruk dan tidak ubah seperti syaitan kerana mahu negara lain menerima golongan gay jika ingin mendapatkan bantuan dari Britain. "Ia merupakan tawaran yang bodoh dengan syarat-syarat yang tidak masuk akal," katanya ketika berucap di sebuah pekan perlombongan di Shurugwi, 300 kilometer di selatan Harare, kelmarin. Pada sidang kemuncak Komanwel pada Oktober lalu, Cameron berkata, negara-negara yang menerima bantuan dari Britain perlu menghormati hak asasi manusia termasuk golongan gay. Isu tersebut timbul ketika Zimbabwe merangka Perlembagaan baru, yang menimbulkan perdebatan, sama ada mengikut model negara jirannya Afrika Selatan dan termasuk hak golongan gay. Mugabe menentang kegiatan homoseksual sejak berpuluh-puluh tahun lalu dan dalam ucapan terbarunya, beliau turut memberi amaran untuk menghukum golongan gay di Zimbabwe. "Jangan terjerumus dengan golongan tersebut (homoseksual). Anda semua merupakan golongan muda dan jika didapati terlibat, kami akan menghukum kamu. "Ia merupakan perbuatan terkutuk. Malah ia lebih teruk daripada khinzir dan anjing," katanya. - AFP |
Masyarakat Indonesia jangan cepat melenting Posted: Masyarakat Indonesia jangan cepat melentingDaripada SAHARUDIN MUSTHAFA JAKARTA 25 Nov. - Masyarakat Indonesia tidak seharusnya berasa gusar dan bimbang seandainya budaya kesenian negara itu berkembang ke luar negara termasuk di Malaysia. Menurut Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Marzuki Alie, dalam konteks globalisasi hari ini, tiada mana-mana individu yang dapat menyekat perkembangan budaya. Lebih penting lagi, kata beliau, jangan sesekali ada pihak dengan mudah melenting dan mencari salah pihak lain sebelum terlebih dahulu mengkaji sejarah bagaimana budaya itu berkembang. "Pertukaran budaya adalah hal biasa di seluruh dunia. Budaya barat juga memasuki negara Indonesia. "Sementara di Malaysia pula terdapat ramai masyarakat Indonesia di sana. Sudah tentu bila berlaku migrasi penduduk, budaya juga tentunya ikut berkembang," katanya kepada wartawan selepas menerima rombongan Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) dari Parlimen Malaysia di pejabatnya di sini hari ini. Marzuki berkata demikian sebagai menjelaskan sikap segelintir pihak di Indonesia yang sering menuding jari ke arah Malaysia sehingga dilabel sebagai Maling (pencuri) khazanah negara itu. Pada pertemuan dengan rombongan BNBBC yang diketuai Timbalan Pengerusi majlis itu, Datuk Bung Moktar Radin, beliau turut menjelaskan pelbagai isu yang selama ini mencetuskan salah faham kepada rakyat Malaysia. Ini termasuk penganjuran demonstrasi di hadapan bangunan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta yang hampir setiap tahun diadakan khususnya bila tercetus isu antara dua negara jiran itu. Menurut beliau, budaya demonstrasi yang sering dianjurkan sebagai menyatakan rasa tidak senang dengan Malaysia bukanlah pendirian rasmi kerajaan Indonesia. Sebaliknya, penganjuran demonstrasi itu hanya mewakili segelintir rakyat Indonesia yang kurang jelas hubungan akrab antara dua negara itu. Pemerintah Indonesia katanya, sering tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah pertubuhan bukan kerajaan di negara ini yang menganjurkan demonstrasi secara berlebih-lebihan seperti membaling najis ke bangunan Kedutaan Besar Malaysia di sini pada tahun lalu. Menurut Marzuki, Indonesia sedang menyuburkan amalan demokrasi dan sekali gus membenarkan amalan kebebasan bersuara. "Sebagai negara demokrasi kita tidak boleh menghalang sesiapa untuk berdemonstrasi. Bahkan Presiden (Indonesia) juga sering berdepan dengan demonstrasi. "Namun, jangan sesekali terpengaruh dengan 'suara-suara kecil' yang mengadakan demonstrasi kerana ia bukan mewakili pemerintah," kata Marzuki. Bung Moktar pula merumuskan pertemuan dengan Ketua DPR itu memberi manfaat yang cukup besar pada rombongan BNBBC. Menurut Bung Moktar, Marzuki banyak menjelaskan kepada anggota rombongan mengenai dasar dan pendirian kerajaan Indonesia berhubung isu-isu yang sering mencabar hubungan baik dua negara. "Justeru, saya dan anggota rombongan menyampaikan mesej untuk merapatkan lagi hubungan ahli Parlimen dari kedua-dua negara menerusi penganjuran pelbagai aktiviti pada masa depan," kata Bung Moktar. - Utusan Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan