Berita Harian: Dunia |
Usaha cari mangsa gempa diteruskan Posted: 24 Oct 2011 01:40 PM PDT Dunia PASUKAN penyelamat mengusung seorang mangsa yang terselamat dari bawah runtuhan bangunan di Ercis, semalam. ERCIS: Pasukan penyelamat Turki menjalankan usaha mencari mangsa gempa bumi di wilayah Van di timur negara itu sepanjang malam dengan menggali di celah bangunan ketika anggota keluarga mangsa, sebahagiannya dengan linangan air mata menanti di luar. Kren dan peralatan berat lain mengangkat bongkah konkrit dan penduduk mencari orang tersayang menggunakan penyodok. Beratus-ratus penduduk yang tinggal di wilayah Van, merayu bantuan melalui laman Twitter, sambil memberikan alamat bangunan runtuh dan jumlah mereka yang terperangkap di dalam runtuhan bangunan. Ramai pelajar dipercayai tertimbus hidup-hidup di Ercis, sebuah bandar yang paling teruk terjejas akibat bencana alam itu, apabila sebuah asrama dan beberapa kediaman mereka runtuh.Empat orang berjaya diselamatkan dari runtuhan sebuah bangunan apabila seorang daripada mereka meminta bantuan menggunakan telefon bimbitnya dalam kejadian yang setakat ini sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 270 orang, manakala kira-kira 1,000 orang lagi dikhuatiri masih terperangkap. Yalcin Akay ditarik keluar dari runtuhan bangunan enam tingkat dengan kecederaan di kaki selepas dia menghubungi talian hotline polis dan memberitahu lokasinya, lapor agensi berita Anatolia. Berpuluh-puluh mangsa masih terperangkap di bawah timbunan serpihan tetapi pihak berkuasa berkata angka kematian mungkin tidak setinggi yang dikhuatiri pada awalnya.
Pegawai berkata, beratus-ratus rumah di kampung dan bangunan konkrit di dua bandar raya ranap dalam kejadian yang berlaku berhampiran sempadan Iran itu, kelmarin. Paling teruk terjejas ialah Ercis, bandar raya di timur Turki dengan 75,000 penduduk yang dekat dengan sempadan Iran dan antara bandar di negara itu yang rawan gempa bumi, dengan kira-kira 80 bangunan runtuh. Sementara itu, di Kuala Lumpur, Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbunuh atau cedera dalam kejadian gempa bumi berukuran skala 7.3 Richter yang menggegarkan Turki petang kelmarin hingga mengorbankan lebih 1,000 orang. Jurucakap Wisma Putra yang dihubungi Berita Harian semalam memaklumkan, mereka belum menerima sebarang laporan atau maklumat adanya rakyat negara ini terbabit dalam gempa bumi di wilayah Van dan Ercis di timur Turki itu. Berita Harian dimaklumkan tiada pelajar Malaysia berada di dua wilayah terbabit kerana universiti tempat mereka menyambung pengajian berada di luar kawasan gempa bumi. Pihak berkuasa Turki melaporkan kebanyakan mangsa yang cedera dan terbunuh akibat tertimbus dalam runtuhan bangunan yang runtuh dan kerja menyelamat kini giat dijalankan anggota penyelamat dan orang ramai. – Agensi |
Posted: 24 Oct 2011 01:33 PM PDT Dunia SEBUAH pasar raya terbakar sejurus letupan bom di wilayah Narathiwat, semalam. Petang kelmarin, sekumpulan lelaki bersenjata yang memakai pakaian wanita dan menaiki tiga trak pikap, melepaskan tembakan di pusat pemeriksaan di Narathiwat yang membunuh dua anggota renjer. Tidak lama selepas itu, sebutir bom meletup berhampiran pasar raya berhampiran, diikuti bom kedua di sebuah pasar raya lain yang terletak kira-kira 300 meter, menyebabkan kebakaran merebak ke rumah kedai dan mengambil masa tiga jam untuk dipadam. Polis berkata, mereka menemui dua mayat rentung, seorang pemilik kedai lelaki dan seorang guru perempuan dalam kedai pertama, manakala mayat seorang budak lelaki dan ibu bapanya ditemui di dalam sebuah lagi kedai.Tujuh lagi mengalami kecederaan dalam serangan itu, yang berlaku dalam masa setengah jam, terbaru dalam siri peningkatan serangan oleh kumpulan pemisah. Wilayah paling selatan negara itu digegarkan dengan konflik sejak lapan tahun lalu yang sudah meragut lebih 4,800 nyawa penduduk Islam dan Buddha. Lewat bulan lalu, lebih 12 pemisah menyerang sekolah di Narathiwat, membunuh empat anggota tentera dan mencederakan seorang kanak-kanak. Guru yang bertugas di sekolah awam kerap menjadi sasaran kerana dilihat sebagai simbol kekuasaan kerajaan dan sistem pendidikan dilihat sebagai usaha Bangkok melaksanakan budaya Buddha.
|
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan