Selasa, 27 September 2011

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


Kereta api berlanggar, 290 cedera

Posted:

Kereta api berlanggar, 290 cedera

Kereta api berlanggar, 290 cedera


Pasukan menye;amat memindahkan penumpang-penumpang yang terselamat dari kereta api yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lagi kereta api laluan bawah tanah di tengah Shanghai, semalam. - AFP


SHANGHAI 27 Sept. - Lebih 270 penumpang cedera dan 20 dilaporkan cedera parah, apabila dua buah kereta api laluan bawah tanah bertembung di tengah Shanghai hari ini.

Agesi berita tempatan melaporkan, kemalangan berlaku pada pukul 2.10 tengah hari waktu Malaysia berpunca daripada kegagalan memberi isyarat.

Tiada kematian dilaporkan.

"Dua buah kereta api bertembung berhampiran stesen Yu Yuan di tengah Shanghai akibat kegagalan memberi isyarat dan operasi perkhidmatan antara stesen Hongqiao dan stesen Tiantonglu ditangguhkan buat sementara waktu,'' jelas kenyataan syarikat kereta api Shanghai Metro menerusi laman webnya.

Pihak keselamatan dikerah menjalankan operasi menyelamat.

Ini merupakan kemalangan kereta api kedua di negara ini selepas insiden pelanggaran kereta api di timur bandar Wenzhou pada Julai lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 40 penumpang yang disifatkan sebagai kemalangan kereta api paling buruk pada tahun ini. - AFP/REUTERS

Amalan rasuah menular di Iraq

Posted:

Amalan rasuah menular di Iraq

Amalan rasuah menular di Iraq

BAGHDAD 27 Sept. - Rasuah yang menular dalam seluruh jentera kerajaan Iraq menjejaskan pembangunan dan melembapkan usaha untuk meningkatkan perkhidmatan awam, menurut laporan Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG), semalam.

ICG yang beribu pejabat di Brussels memberi kritikan tajam itu kira-kira dua minggu selepas ketua agensi antirasuah Iraq, Rahim al-Uqailee meletakkan jawatan, dengan menyebut tentang campur tangan politik dalam tugasnya dan menggambarkan rasuah sebagai 'sebahagian perjuangan untuk merebut kuasa'.

Menurut laporan setebal 38 muka itu, kerajaan Baghdad berjaya mengurangkan keganasan di seluruh Iraq sejak beberapa tahun lalu, tetapi 'membiarkan rasuah berakar umbi dan menular dalam seluruh institusinya'.

"Perkhidmatan awam terus dibelenggu pelbagai kelemahan serius, terutamanya rasuah meluas yang merebak seperti virus dalam seluruh institusi kerajaan semasa tempoh huru-hara yang berlarutan sehingga 2008," lapor ICG.

Menurutnya, institusi antirasuah Iraq terjejas disebabkan campur tangan, manipulasi dan sikap enggan berkompromi kerajaan, kerangka undang-undang yang lemah dan ancaman keganasan yang berterusan.

ICG berkata, Parlimen berpecah mengikut puak, manakala sistem kehakiman 'terlalu mudah tunduk kepada tekanan politik'.

"Kesannya sangat ketara: berbilion dolar digelapkan daripada dana kerajaan, kebanyakannya disebabkan kelemahan dalam sistem pemerolehan kerajaan; parti-parti politik menganggap kementerian sebagai akaun bank persendirian; manakala nepotisme, rasuah dan penggelapan wang berlaku secara berleluasa," menurut laporan itu.

ICG menyifatkan masalah itu sebagai antara punca taraf hidup rakyat Iraq merosot, malah pada paras lebih rendah jika dibandingkan dengan situasi ekonomi sebelum ini.

"Keadaan itu mencakupi hampir seluruh aspek kehidupan, termasuk sektor kesihatan, pendidikan dan tenaga elektrik, yang kesemuanya menunjukkan prestasi tidak menggalakkan meskipun bajet ditingkatkan dengan ketara," menurut ICG.

Organisasi itu mengesyorkan Iraq mengukuhkan kerangka antirasuahnya, mewajibkan parti politik menyiarkan akaun tahunan yang menyenaraikan sumber pendapatan dan perbelanjaan, meminda undang-undang kecil Parlimen dan menyeragamkan proses perundangan. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan