Selasa, 27 September 2011

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bandar raya terapung

Posted: 26 Sep 2011 08:42 AM PDT

SOUTHAMPTON: Ia kelihatan seperti sesuatu yang pernah digunakan dalam filem James Bond.

Bagaimanapun, sebuah syarikat Britain percaya, bangunan terapung ini boleh menjadi sebahagian daripada kehidupan masa depan di laut.

Dengan 11 dek yang boleh digunakan sebagai kediaman, kawasan meninjau 360 darjah, empat tempat tempat helikopter mendarat, tempat berlabuh sendiri, beberapa kolam renang dan ruang yang sama besar dengan sebuah kapal peranginan mewah, ia boleh diangap sebuah bandar raya terapung.

Meskipun ia tidak sesuai untuk digelar kapal mewah, rekaan itu yang dinamakan 'Projek Utopia, didedahkan kepada pengunjung Pameran Kapal Layar Monaco baru-baru ini.


Perekanya, BMT Nigel Gee, dari Southampton, masih belum meletakkan harga pulau terapung itu atau menentukan jenis pelanggan yang mungkin berminat untuk membelinya.


Ia direka untuk terapung pada empat platform, setiap satu dilengkapi dengan penujah bagi membolehkan keseluruhan pulau terapung ini stabil, walaupun di laut yang bergelora.

Mampu untuk bergerak dengan perlahan, ia terbentang selebar 65 meter di atas permukaan laut, menyediakan dek meninjau 13 tingkat untuk pelawat dengan pemandangan panoramik.

Di bawahnya, dek ruang utama penempatan dan perkhidmatan, yang boleh menempatkan kedai, bar dan restoran, akan dilitupi dengan kanopi yang boleh ditutup dan dibuka.

Pengarah Yatch Design, James Roy percaya, rekaan ini mencabar kepercayaan terhadap seni bina tradisional mengenai pengangkutan laut.

Beliau berkata: "Wawasan mengenai masa depan sentiasa dikekang oleh kebiasaan dengan yang ada ketika ini atau gambaran pada yang lalu.

"Banyak yang dihasilkan dalam masyarakat pereka hari ini bermula di atas sekeping kertas kosong. Tetapi banyak, jika tidak semua konsep kapal mewah merujuk kepada bentuk tradisional.

"Kerana tanggapan bahawa sebuah kapal mewah mesti berbentuk pengangkutan, ia serta merta mengekang ilham pereka.

"Utopia bukan objek pengangkutan. Ia sebaliknya adalah tempat, sebuah pulau yang diwujudkan untuk sesiapa saja, yang ada wawasan untuk mencipta tempat seumpama itu."

James berkata, rekaan itu yang dihasilkan bersama dengan Yacht Island Design, mempamerkan bagaimana syarikat itu, yang tertumpu kepada pembinaan kapal mewah, kapal komersial dan tentera laut, menggunakan teknologi canggih bagi membawa sesuatu yang baru ke dalam industri itu.

"Dengan merintis idea rekaan seperti Utopia adalah jenis projek yang menjadi kemahiran kumpulan kami.

"Pendekatan pemikiran ke hadapan dan pengalaman kejuruteraan canggih yang tidak ada tandingan membolehkan kami bekerjasama rapat dengan pereka dan syarikat membuat kapal serta menjelmakan idea ini menjadi realiti. - Agensi

Kasih ibu selamatkan anak

Posted: 26 Sep 2011 08:38 AM PDT

DALAM keadaan nyawanya terancam selepas jatuh di lurah yang curam, anak singa ini mengharapkan bantuan yang dapat menyelamatkannya daripada maut.

Ibunya tiba di tebing lurah itu dengan tiga singa betina dan seekor jantan.
Keempat-empat singa betina itu meninjau ke bawah tetapi berundur kerana bimbang dengan kecuraman lurah itu.


Akhirnya, satu-satunya faktor yang menentukan siapa di antara mereka yang sanggup menggadai nyawa untuk menyelamatkan anak singa malang itu ialah kasih sayang ibu.

Dengan perlahan dan penuh dengan kesukaran, singa berkenaan menuruni bukit, menuju ke arah si anak, menggunakan kukunya yang kuat untuk mencengkam tebing yang curam itu.

Andai kata dia tergelincir, ibu dan anak singa itu pasti terjatuh ke dalam gaung dan mati.

Ketika anak singa itu yang keletihan hampir jatuh, si ibu mengelilinginya dari bawah dan menyambar dengan rahangnya.

Ibu singa itu kemudian memulakan pendakian yang sama mencabar. Beberapa minit selepas itu, mereka tiba di atas dan dia mententeramkan si anak yang kelihatan masih ketakutan dengan menjilat kepalanya.

Gerakan menyelamat itu, yang dirakam oleh jurugambar hidupan liar, Jean-Francois Largot, di Taman Hidupan Liar Masai Mara, Kenya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan