Khamis, 15 September 2011

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Sekolah tegah pelajar mekap

Posted: 14 Sep 2011 08:16 AM PDT

LONDON: Sebuah sekolah yang bosan dengan pelajar yang melanggar peraturan larangan bersolek bertindak menanggalkan semua cermin di tandas.

Langkah tegas itu dilaksanakan serentak dengan pengharaman menyeluruh terhadap mekap bagi mengekang pelajar berusia 14 hingga 16 tahun daripada memenuhi tandas untuk bersolek.


Dasar tiada tolak-ansur sekolah itu terhadap perbuatan bersolek turut menyaksikan guru diberi peralatan mencuci mekap bagi memastikan pelajar mematuhi peraturan.

Pelajar perempuan di Shelley College di Huddersfield, West Yorkshire, kini diperiksa setiap hari bagi memastikan mereka tidak bersolek.


Beberapa pelajar dikatakan berang terhadap peraturan berkenaan sambil mendakwa bermekap membantu memberikan mereka keyakinan.


Bagaimanapun, Pengetua, John McNally, berkata, kebanyakan pelajar dan ibu bapa menyokong tindakan itu.

"Sudah tiba masanya anda perlu menghentikan guru daripada menghabiskan setengah jam sehari untuk bercakap kepada pelajar mengenai mekap. "Kami menanggalkan cermin kerana beberapa pelajar memasuki tandas pada waktu makan dan menghabiskan masa di situ sambil makan bekalan mereka.


"Pelajar itu menjadi taksub kepada cermin dan apabila kami menurunkannnya, masalah itu selesai. Ramai yang menerima dasar itu memandangkan sebahagian besar pelajar tidak bersolek dan mereka yang mengenakan sedikit mekap gembira kerana berhenti berbuat demikian.

"Yang membuat kecoh hanyalah lima atau enam pelajar. Mereka yang bermekap paling tebal.


"Kami mendapat banyak sokongan daripada ibu bapa. Sudah pasti ada pelajar yang cuba melanggar arahan," kata McNally. - Agensi

Polis temui berlian dalam perut pencuri

Posted: 14 Sep 2011 08:15 AM PDT

MARBELLA: Seorang pencuri di Sepanyol yang mencuri berlian milik seorang wanita Britain dan kemudian menelannya, ditangkap apabila polis menahannya di sekatan jalan raya dan memaksanya menjalani imbasan-X.

Kecurian berlaku apabila dua wanita memasuki sebuah restoran di Marbella, pusat peranginan mewah Sepanyol dan seorang daripada mereka meninggalkan beg tangan di lantai di sebelah kerusi.


Menurut laporan polis: "Dua lelaki berpakaian kemas masuk. Seorang duduk di bar dan seorang lagi di sebelah wanita berkenaan. "Apabila kedua-dua lelaki itu keluar, wanita itu mendapati beg tangannya mengandungi 2,000 euro (RM8,500) dan 400 paun (RM2,000), telefon bimbit, loket dengan berlian bernilai 12,000 euro (RM50,500) serta barangan berharga lain, hilang.

Beberapa jam kemudian, polis menahan sebuah kereta di sekatan jalan raya dan mendapati empat orang di dalamnya mempunyai rekod jenayah.


Polis juga menemui beg tangan serta barangan berharga dan wang tunai, yang kemudian mereka sahkan milik wanita Britain terbabit.


Yang tidak ditemui ialah berlian itu.

"Ketika operasi, pegawai menyedari seorang lelaki terbabit meletakkan tangan pada mulutnya.


"Ia membuat polis mengesyaki lelaki itu menelannya. Untuk mengesahkannya, semua lelaki yang ditahan diarah menjelani imbasan-X dan berlian itu dikesan dalam perut seorang daripada mereka, yang kemudian mengaku menelannya. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan