Khamis, 15 September 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Obama mungkir janji kepada Palestin

Posted: 15 Sep 2011 01:50 PM PDT

Dunia

Presiden AS bekerjasama dengan pemimpin Eropah sekat dunia iktiraf anggota baru PBB

WASHINGTON: Setahun selepas membuat gesaan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penubuhan negara Palestin, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sudah hampir pasti menggunakan kuasa veto untuk menghalang ia menjadi kenyataan, dengan bantuan Perancis dan Britain.

Obama yang menghadapi tekanan politik di negaranya memberi amaran bahawa perisytiharan negara Palestin dianggap satu 'gangguan' dan tidak akan menamatkan konflik dengan Israel atau membawa kepada sebuah negara tulen. Ia berikutan keazaman pemimpin Palestin untuk mendapatkan pengiktirafan daripada Majlis Keselamatan PBB sebagai anggota penuh badan dunia selepas kecewa rundingan damai dengan Israel buntu dan proses menuju pembentukan negara terhenti.

Mengambil kira kata-katanya itu, tidak hairan pentadbiran Obama sedar kesan mengenakan veto terhadap permohonan Palestin dengan melancarkan usaha di saat akhir bagi mengelakkannya dibuat.

Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton, berkata bahawa usaha saat akhir itu bertujuan mendapatkan kerjasama ke arah mengadakan rundingan. Langkah lain termasuk mengelakkan permohonan itu dibuat di Majlis Keselamatan.

Jika pemimpin Palestin memilih meningkatkan status kepada negara pemerhati bukan ahli di Perhimpunan Agung PBB (UNGA), Washington boleh mengundi menentang langkah terbabit sambil mengelak kuasa veto digunakan dalam sesi Majlis Keselamatan.
Walaupun beberapa negara Eropah memihak kepada penubuhan negara Palestin, Washington dan Israel terus menentang.

Biarpun amaran Israel mengenai kesan buruk langkah itu dan kemungkinan Kongres Amerika akan menarik balik bantuan bernilai beratus juta dolar, Presiden Palestin Mahmoud Abbas sudah menetapkan pendirian meneruskannya.

Pegawai Rumah Putih enggan membincangkan kemungkinan kesan veto terhadap Amerika tetapi, langkah itu tentunya memalukan Obama selepas beliau menjadikan Palestin dan memulihkan kepercayaan kepada Amerika sasaran utama sebagai presiden.

Pada 2009, beliau ke Kaherah untuk berucap kepada dunia Islam dan mengisytiharkan: "Amerika tidak akan berpaling daripada aspirasi Palestin demi maruah dan sebuah negara mereka sendiri."

Setahun lalu, Obama menggesa Arab dan Israel serta Palestin di PBB supaya bersikap toleransi, amalan penganut Kristian, Islam dan Yahudi.

"Apabila kita kembali semula ke sini tahun depan, kita masih boleh capai perjanjian membawa kepada sebuah ahli baru PBB, sebuah negara berdaulat dan bebas, Palestin, tinggal dengan aman bersama Israel," kata Obama.

Harapan itu disusuli keengganan Israel untuk melanjutkan moratorium penyelesaian, mengakibatkan kemarahan Palestin dan terjejasnya hubungan Amerika dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Bekas menteri luar Jordan yang kini bersama Carnegie Endowment for International Peace, Marwan Muasher, berhujah kuasa veto boleh merosakkan kredibiliti Amerika kerana ia menolak reformasi di rantau yang baru dilanda kebangkitan rakyat.

"Ia tidak boleh mengatakan 'jika anda warga Libya atau Mesir atau Syria, kita adalah untuk kebebasan, kami bersama anda, tetapi tidak jika anda Palestin,' ini tidak boleh diterima," katanya. – AFP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan