Jumaat, 23 September 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Abbas kemuka permohonan

Posted: 23 Sep 2011 02:45 PM PDT

Dunia

Palestin serah dokumen jadi ahli PBB kepada Setiausaha Agung

NEW YORK: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, semalam memohon Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf negaranya meskipun Israel terus menjajah wilayahnya dan Amerika Syarikat pula berikrar menggunakan kuasa veto terhadap langkah berkenaan.

Abbas, 76, menyerahkan permohonan rasmi itu kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, dalam pertemuan yang dijadualkan pada 11.35 pagi waktu tempatan semalam untuk diputuskan selepas ini oleh Majlis Keselamatan, kata duta Palestin ke badan dunia, Riyad Mansour.

Langkahnya itu menunjukkan pihak Palestin sudah hilang kepercayaan terhadap proses damai anjuran Amerika sejak 20 tahun lalu yang tidak pernah membawa kemajuan. Sebaliknya, pemimpin Palestin melihat Israel yang juga sekutu Amerika memperluaskan kawasan penempatan Yahudi dengan lebih besar dan pantas dalam tempoh itu yang meliputi tanah untuk membina negara Palestin.

Perkara itu mengurangkan lagi pengaruh Washington di rantau yang digegarkan oleh kebangkitan penduduknya sekali gus menyebabkan Israel semakin terpencil akibat pendirian pemerintah baru.

Abbas akan berucap di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) sebelum meninggalkan New York dan pulang ke wilayah Palestin untuk mengadakan rundingan mengenai langkah seterusnya.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang pada saat akhir baru mahu meminta Abbas bersemuka dengannya di New York, juga akan berucap di UNGA.
Permintaan Palestin itu kemudian akan dibentangkan kepada anggota Majlis Keselamatan. Ia memerlukan sokongan sembilan daripada 15 anggotanya. Amerika sudah menyatakan kesediaan menggunakan kuasa veto terhadap usul itu.

Penasihat diplomatik Abbas, Majdi al-Khaldi pula berkata, perunding Palestin percaya mereka akan memperoleh undi diperlukan.

Tetapi, beliau juga mendedahkan: Tiga anggota badan itu kini menghadapi tekanan Amerika iaitu Bosnia, Gabon dan Nigeria. Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy mencadangkan pemimpin Palestin diberi status sementara pemerhati bukan anggota dan jadual rundingan baru mengenai keahlian penuh dalam tempoh setahun.

Presiden Kesatuan Eropah (EU), Herman Van Rompuy, pula menggesa pemimpin Israel dan Palestin menyambung rundingan ketika memberi ucapan di PBB. Reuters/AFP


Ahmadinejad gelar AS, Eropah penjajah angkuh

Posted: 23 Sep 2011 02:44 PM PDT

Dunia

NEW YORK: Diplomat Amerika Syarikat dan delegasi 30 negara lain bertindak keluar dewan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) selepas Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menyifatkan kuasa besar itu dan sekutunya di Eropah Barat sebagai kuasa angkuh yang tamak dan suka campur tangan ketenteraan di negara lain.

Langkah dua diplomat Amerika yang pakar dalam Asia Barat diikuti perwakilan lain daripada lebih 30 negara termasuk Kesatuan Eropah (EU), Australia, New Zealand, Somalia, Liechtenstein, Monaco, San Marino dan Macedonia. Israel turut memboikot ucapan terbabit.

Ucapan berapi-api Ahmadinejad yang anti-Amerika dan anti-Israel perkara biasa dalam UNGA. Beliau mengecam Amerika dan kuasa besar Eropah kerana menculik berjuta-juta rakyat Afrika dan menjadikan mereka hamba, menggugurkan beribu-ribu butir bom di negara lain dan menguasai Majlis Keselamatan PBB.

Beliau juga mengutuk Amerika kerana menggunakan bom nuklear terhadap Jepun dalam Perang Dunia Kedua dan melaksanakan dan menyokong pemerintahan diktator tentera dan rejim kuku besi di Asia, Afrika dan Amerika Latin.

Ketua hamba dan kuasa penjajah yang sama menghasut dua perang dunia mencetuskan kesengsaraan besar dan huru-hara di seluruh dunia.

Adakah kuasa angkuh ini benar-benar mempunyai kecekapan dan keupayaan untuk memerintah dunia, sindir Ahmadinejad.
Beliau menjawab soalan itu dengan menggesa perkongsian dan pengurusan bersama dunia untuk menamatkan masalah pada masa ini termasuk diskriminasi seluruh dunia.

Tahun lalu beliau berkata, masa depan adalah milik Iran dan mencabar Amerika Syarikat untuk menerima hakikat bahawa negaranya ada peranan penting di dunia.

Tahun lalu, Ahmadinejad turut menyebabkan perwakilan Amerika, EU dan beberapa lagi keluar dewan apabila berkata majoriti penduduk di Amerika dan seluruh dunia percaya kerajaan Amerika sendiri melakukan serangan 11 September 2011 (9/11) dalam usaha untuk memastikan keselamatan Israel.

Ahmadinejad turut menyalahkan Amerika sebagai kuasa di sebalik sekatan Majlis Keselamatan PBB terhadap Iran berikutan keengganan Tehran menangguhkan pengkayaan uranium. AP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan