Berita Harian: Dunia |
Ahli perniagaan sogok pelacur untuk Berlusconi Posted: 16 Sep 2011 01:50 PM PDT Dunia 30 wanita diupah bermesra dengan PM ItaliROME: Seorang ahli perniagaan Itali memilih 30 wanita cantik dan muda termasuk pelacur untuk menghadiri parti di kediaman Perdana Menteri, Silvio Berlusconi dan mengupah sebahagian daripada mereka untuk melakukan hubungan seks dengan pemimpin itu, menurut dakwaan terbaru pendakwa raya. Selepas memilih mereka, Gianpaolo Tarantini memberitahu apa yang perlu dipakai dan bagaimana cara bergaul di parti itu antara September 2008 dan Mei 2009, menurut dokumen yang baru difailkan di mahkamah. Pendakwa raya sudah menamatkan siasatan mereka terhadap kegiatan Tarantini. Berlusconi tidak disiasat dalam kes itu tetapi ia sekali lagi memalukannya.Dakwaan itu diketahui ketika sokongan awam kepada Berlusconi berada di tahap paling rendah. Hanya 24 peratus rakyat Itali mengatakan 'amat' atau 'terlalu' mempercayai ahli perniagaan berusia 74 tahun itu. Pendakwa raya membentangkan keputusan siasatan dua tahun mengenai tuduhan bahawa Berlusconi menjadikan kediamannya di sini sebagai tempat pelacuran model muda, aktres dan bintang baru. Di kalangan wanita itu termasuk dari Amerika Selatan dan Eropah Timur, dijemput untuk menghadiri parti itu termasuk ramai pelacur untuk berdamping bersama perdana menteri sebagai balasan mendapat wang tunai atau hadiah lain. Identiti sesetengah wanita itu dibocorkan oleh media Itali sebelum ini namun ini adalah kali pertama penyiasat membentangkan satu senarai berdasarkan perbualan 100,000 panggilan telefon yang dipintas pihak berkuasa. Lapan orang disiasat kerana didakwa membantu dan bersubahat menjalankan kegiatan pelacuran Tarantini, ahli perniagaan dari pelabuhan Adriatic di Bari. Dia membekalkan wanita kepada Berlusconi dengan harapan memajukan kepentingan perniagaan, kata pendakwa raya Bari. Orang lain termasuk Sabina Began, model kelahiran Jerman yang sering digambarkan sebagai 'ratu lebah' di kalangan peminat wanita Berlusconi. Tarantini, 36, dan isterinya ditahan awal bulan ini kerana disyaki memeras lebih £500,000 (RM2.44 juta) daripada perdana menteri sebagai balasan berdiam diri mengenai bekalan gadis pengiring. Berlusconi mengakui mengadakan parti persendirian di kediamannya di Rome, Milan dan Sardinia namun menegaskan beliau tidak tahu jika ada tetamunya adalah pelacur. Senarai wanita termasuk Patrizia D'Addario, pelacur yang membuat pendedahan suasana parti di kediaman Berlusconi dan menulis buku mengenai dakwaan hubungan seksnya dengan perdana menteri itu; Ioanna Visan, gadis pentas Romania; Francesca Lana, model pakaian dalam; Camille Cordeiro Charao, model majalah lelaki serta Barbara Montereale, Sara Tommasi dan Barbara Guerra. Kejatuhan teruk populariti Berlusconi ditunjukkan dalam satu tinjauan yang dijalankan sebelum dakwaan itu muncul dan kemungkinan hasil pakej penjimatan bernilai 54 bilion euro (RM230.32 bilion) yang amat tidak popular yang diluluskan kerajaan Rabu lalu, mencetuskan pertempuran antara polis anti rusuhan dan penunjuk perasaan. Rakyat Itali yang mempunyai 'sedikit' atau 'tiada kepercayaan' terhadap Berlusconi meningkat daripada 60 peratus kepada 64 peratus, menurut tinjauan IPR dijalankan oleh akhbar tengah-kiri Repubblica, satu daripada pengkritik tetap perdana menteri. Kedudukan sokongannya merudum kepada 24 peratus berbanding 62 peratus sejurus selepas dipilih semula pada 2008. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan