Jumaat, 12 Julai 2013

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


1,000 polis buru 240 banduan

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Sekumpulan anggota polis Indonesia yang dilengkapi senjata, berkawal di pintu masuk Penjara Tanjung Gusta yang dibakar para banduan dalam rusuhan di Medan, kelmarin. - AFP

MEDAN 12 Julai - Seramai 1,000 anggota polis dan askar Indonesia dikerah sejak semalam untuk memburu kira-kira 240 banduan, termasuk pesalah keganasan, yang melarikan diri dari sebuah penjara di sini.

Dalam kejadian semalam, lima orang terbunuh apabila banduan yang ditempatkan di Penjara Tanjung Gusta di Medan, Pulau Sumatera, bertindak mencetuskan kebakaran dan rusuhan kerana tidak berpuas hati dengan keadaan penjara itu yang sesak.

Mereka yang terbunuh terdiri daripada tiga orang banduan dan dua kakitangan penjara.

Kumpulan banduan yang marah kerana bekalan elektrik dipotong dan kekurangan bekalan air, turut bertindak melempar botol ke arah pengawal penjara.

Lebih 150 banduan berjaya meloloskan diri sebaik-baik rusuhan tercetus, namun 64 daripada mereka dapat ditangkap semula oleh polis dan tentera yang bertungkus-lumus menjejak mereka sejak malam semalam.

Antara banduan yang melarikan diri terdiri daripada enam yang mempunyai kesalahan keganasan dan pernah menerima latihan militan di Aceh serta merompak bank untuk membiayai aktiviti pengganas.

Setakat awal hari ini, kumpulan banduan masih menguasai penjara berkenaan.

Sementara itu, Pejabat Kedutaan Malaysia di Indonesia mengesahkan empat rakyat negara itu adalah antara 2,600 banduan yang berada di penjara tersebut.

Bagaimanapun, pihak kedutaan belum menerima maklumat berhubung status keempat-empat banduan berkenaan.

Polis terus memantau rapi keadaan itu menggunakan kenderaan berperisai untuk berkawal di keliling bangunan penjara tersebut.

Banduan hanya membenarkan anggota tentera untuk masuk, tetapi enggan menerima kehadiran polis.

"Kami tidak suka polis kerana mereka tidak berperikemanusiaan dan sering memukul kami," jerit seorang banduan terbabit.

Jurucakap Polis Wilayah Sumatera Utara, Heru Prakoso berkata, pegawai kerajaan akan mengadakan rundingan dengan banduan lewat petang ini bagi menyelesaikan krisis itu.

"Seramai tujuh tahanan akan mewakili banduan untuk berunding dengan seorang pegawai kerajaan dari Kementerian Keadilan dan Hak Asasi Manusia," katanya.

Penjara Tanjung Gusta hanya mampu menampung seramai 1,054 banduan, namun lebih 2,600 ditempatkan di kemudahan itu yang terdiri daripada pesalah dan suspek yang masih dalam perbicaraan. - AFP

Penyokong, penentang Mursi adakan demonstrasi

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Beribu-ribu penyokong Mursi membawa bendera gergasi Mesir ketika mengadakan demonstrasi selepas solat Jumaat di Nasr city, Kaherah, semalam. - AGENSI

KAHERAH 12 Julai - Penyokong dan penentang bekas Presiden Mesir, Mohammed Mursi menggesa pengikut masing-masing mengadakan demonstrasi, hari ini sempena hari Jumaat pertama di bulan Ramadan ketika ketegangan terus meningkat.

Ihkwanul Muslimin berikrar untuk terus mengadakan tunjuk perasaan sehinggalah tentera mengembalikan kuasa kepada Mursi.

Pergerakan itu menggesa perhimpunan bantahan diadakan di beberapa lokasi di Kaherah, meskipun keupayaan mereka diragui ekoran kebanyakan pemimpin kanannya telah ditahan, melarikan diri atau bersembunyi.

Sementara itu, lebih 500 pemuda Ikhwanul Muslimin mengumumkan keluar daripada pergerakan itu dan menubuhkan kumpulan baharu dikenali sebagai 'Ikhwanul Muslimin Tanpa Keganasan'.

Tindakan kumpulan pemuda itu cuba mengurangkan keyakinan orang ramai kepada pemimpin-pemimpin pergerakan tersebut, terutamanya kepada Pemimpin Agung Mohammad Badei dan Timbalannya, Khairat el-Shater.

Penyelaras kumpulan pemuda itu, Ahmad Yehia berkata, mereka kecewa dengan situasi Ikhwanul Muslimin ketika ini.

"Pemimpin Ikhwanul Muslimin telah mengheret pergerakan tersebut ke lubang yang amat dalam selepas lebih 80 tahun bergelut untuk bangkit," katanya kepada al-Arabiya, semalam.

Kumpulan anti-Mursi dalam pada itu turut menggesa pengikutnya mengadakan tunjuk perasaan, termasuk majlis berbuka puasa besar-besaran di Dataran Tahrir, hari ini.

Sementara itu di Sinai, seorang anggota polis maut dan seorang lagi cedera selepas kumpulan bersenjata menyerang sebuah pos pemeriksaan dengan roket, menurut pegawai perubatan dan keselamatan. - AFP/AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan