Jumaat, 26 Julai 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bergaduh sampai bogel

Posted: 25 Jul 2013 01:32 PM PDT

Beijing: Sepasang kekasih muda China bergaduh dengan menanggalkan pakaian dan berbogel di tengah jalan raya yang sibuk, semalam.

Sambil berdiri di tengah jalan dan menjerit ke arah satu sama lain si lelaki bertindak menanggalkan pakaian terlebih dulu sebelum diikuti teman wanitanya.


Insiden memalukan itu berlaku di jalan raya di Dongguan, wilayah Guangdong. Yang peliknya, pengguna jalan raya dan orang yang lalu lalang di situ tidak mempedulikan kelakuan mereka walaupun wanita terbabit bertelanjang bulat di tengah jalan. Saksi, Jiang Dayu sempat merakam aksi pasangan berkenaan dengan menggunakan telefon bimbitnya. "Pasangan itu mula bergaduh di tepi jalan sebelum beralih ke tengah jalan.

"Mereka tidak mengendahkan kesesakan jalan raya walaupun pemandu membunyikan hon dan terpaksa mengelak daripada melanggar mereka," katanya.


Walaupun pergaduhan agak sengit, tetapi pasangan terbabit akhirnya berdamai dan saling berpelukan sebelum beredar dari tempat itu.


Wanita terbabit dilihat masih tidak berpakaian ketika meninggalkan tempat berkenaan. - Agensi

Foto

SI lelaki mula menanggalkan pakaian sebelum diikuti oleh teman wanitanya.

Foto

PASANGAN itu akhirnya berdamai dan saling berpelukan sebelum beredar.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/26

William, Kate namakan anak George Alexander Louis

Posted: 25 Jul 2013 09:45 AM PDT

London: Putera William dan isteri, Kate semalam menamakan anak mereka George Alexander Louis.

George, nama enam raja Britain sebelum ini menjadi pilihan ketika spekulasi beredar mengenai nama putera itu.

Nama itu diberikan kepada putera berkenaan mungkin juga sebagai penghormatan terhadap nama bapa Ratu Elizabeth iaitu Raja George VI yang memerintah dari 1936 hingga kematiannya pada 1952.

Bayi baru dilahirkan itu yang juga pewaris ketiga takhta Britain kini secara rasminya dikenali sebagai Prince George of Cambridge sempena bapa dan ibunya, Duke dan Duchess of Cambridge.


Pengumuman itu dibuat hanya beberapa jam selepas ratu bertemu dengan cicitnya di Istana Kensington buat kali pertama selepas dilahirkan Isnin lalu.


Ia mendorong kepada spekulasi bahawa Elizabeth merestui nama itu.

Kate dan William, masing-masing berusia 31 tahun dan putera cilik mereka berlepas ke kediaman ibu bapa Kate di Berkshire, pinggir London selepas singgah di Istana Kensington sebaik keluar dari hospital.

"Duke dan Duchess of Cambridge gembira untuk mengumumkan bahawa mereka menamakan anak lelaki mereka George Alexander Louis.

"Bayi itu akan dikenali sebagai Prince George of Cambridge," menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Kensington.

Media Britain menyokong keputusan William dan Kate, dengan Daily Telegraph semalam berkata, nama itu menandakan "kuasa mutlak raja".

Bayi itu secara automatik tidak akan menjadi Raja George VII apabila menaiki takhta, kerana terdapat laporan bahawa bapa William, Putera Charles akan menggunakan gelaran itu apabila dia menggantikan Ratu Elizabeth kelak. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/26

Tiada ulasan:

Catat Ulasan