Ahad, 9 Jun 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Lelaki bunuh bapa, abang

Posted: 08 Jun 2013 04:01 PM PDT

Los Angeles: Lima orang terbunuh dalam kejadian amuk terbaru di Amerika Syarikat semalam termasuk seorang penyerang yang berpakaian serba hitam.

Polis menembak mati penyerang di sebuah perpustakaan kolej, kata pihak berkuasa.

Serangan bermula dengan suspek membunuh bapa dan abangnya sebelum melepaskan tembakan secara rambang di Santa Monica, tidak jauh dari sebuah majlis yang dihadiri Presiden Barack Obama.Saksi berkata, penyerang adalah lelaki berkulit putih berusia 25 hingga 30 tahun membawa tali pinggang peluru dan senapang separuh automatik, menembak ke arah seorang pemandu kereta sebelum merampas kereta lain.

Lima lagi cedera, seorang daripadanya kritikal dan seorang lagi dalam keadaan serius tetapi stabil, kata Sarjan Richard Lewis.

Bebas suspek lain

Suspek lain turut ditahan tetapi kemudian dibebaskan selepas kejadian tembakan itu, yang berlaku ketika Obama menyampaikan ucapan pada majlis pungutan dana politik tidak jauh dari bandar itu di barat Los Angeles.
"Pada masa ini kami percaya ia hanyalah membabitkan seorang lelaki bersenjata," kata Lewis sambil menambah bahawa koroner masih lagi menyiasat untuk mengesahkan identiti suspek.

Cetus perdebatan

Kejadian itu adalah kejadian amuk dan tembak di Amerika yang mencetuskan perdebatan mengenai kawalan senjata api di negara itu.

Ia adalah berikutan kejadian bunuh beramai-ramai tahun lalu membabitkan 20 kanak-kanak sekolah di Connecticut dan pembunuhan 12 penonton filem di sebuah panggung wayang di Colorado.

Insiden terbaru ini bermula dengan tembakan di sebuah rumah yang kemudian dibakar. Los Angeles Times melaporkan, dua mayat ditemui dalam rumah itu adalah bapa dan abang penyerang.

Seorang saksi yang tinggal bertentangan memberitahu televisyen KTLA 5, dia mendengar tembakan dan bergegas keluar dari rumahnya sebelum melihat seorang lelaki baru melepaskan tembakan dari dalam atau ke arah rumah itu.

"Ada lelaki berdiri di jalan depan rumah, berpakaian SWAT, tali pinggang peluru dan senapang separuh automatik," kata Gerry Cunningham.

Katanya, lelaki terbabit berjalan ke persimpangan berhampiran dan menahan sebuah kenderaan dipandu seorang wanita.

"Wanita terbabit teragak-agak dan memperlahankan kenderaan dan suspek terus melepaskan tiga atau empat das tembakan ke arahnya," kata Cunningham.

Rampas kenderaan

Penyerang kemudian merampas kenderaan lain dan tidak lama selepas itu menembak sebuah bas dan kenderaan lain menyebabkan seorang maut dan seorang lagi cedera sebelum menuju ke Kolej Santa Monica.

Mangsa keempat adalah seorang wanita yang ditembak di hadapan perpustakaan kolej terbabit dan mati selepas dibawa ke hospital.

Suspek memasuki perpustakaan disusuli polis dan mereka berbalas tembakan sebelum dia ditembak mati. - AFP

Mandela tenat tetapi stabil

Posted: 08 Jun 2013 03:53 PM PDT

Johannesburg: Bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela masuk hospital semalam dengan keadaannya dilaporkan serius tetapi stabil kerana sekali lagi kena jangkitan paru-paru, masalah kesihatan terbaru ikon anti-aparteid itu.

Mandela yang berusia 95 tahun bulan depan, dimasukkan ke hospital di ibu negara Afrika Selatan, Pretoria, kali ke-4 dalam masa tujuh bulan.

Jangkitan paru-paru

"Sejak beberapa hari lalu jangkitan paru-paru kembali menyerang Mandela. Keadaannya semakin teruk pada kira-kira jam 1.30 pagi waktu tempatan menyebabkan beliau dipindahkan ke hospital Pretoria.

"Beliau dalam keadaan serius tetapi stabil," menurut kenyataan pejabat Presiden Jacob Zuma.

Pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu lama berdepan masalah dengan paru-paru dibenarkan keluar dari hospital April lalu berikutan rawatan selama 10 hari kerana radang paru-paru.

Pada Disember 2012, beliau dimasukkan ke hospital selama 18 hari kerana jangkitan paru-paru dan pembedahan baru karang, paling lama sejak bebas daripada hukuman penjara selama 27 tahun pada 1990.
Mac lalu, beliau dimasukkan ke hospital sehari untuk pemeriksaan susulan.

Dapat rawatan pakar

Pejabat Zuma berkata, bekas presiden itu menerima rawatan pakar dan doktor sedaya upaya memastikan beliau lebih baik dan selesa.

"Presiden Jacob Zuma, bagi pihak kerajaan dan rakyat berharap Madiba segera sembuh dan meminta media serta orang awam menghormati beliau dan keluarganya," tambah kenyataan itu, menggunakan nama gelaran Mandela.

Mandela disayangi sebagai presiden kulit hitam pertama Afrika Selatan dipilih secara demokrasi dan masih menjadi simbol kekuasaan penyatuan negara yang pernah berpecah, hampir 20 tahun selepas menjawat jawatan itu.

Namun, beliau tidak kelihatan di khalayak ramai sejak pusingan akhir Piala Dunia pada Julai 2010 apabila muncul di padang sebelum perlawanan bermula.

"Bagi orang Zulu, apabila seorang yang terlalu tua meninggal dunia, rakyat akan berkata beliau sudah pulang. Saya rasa itu antara perkara yang perlu kita fikirkan," katanya kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Cetus kemarahan

Berikutan kemasukannya ke hospital, April lalu, rakaman televisyen menunjukkan Mandela yang lemah dilawati oleh pemimpin parti Kongres Kebangsaan Afrika yang memerintah, mencetuskan kemarahan dan tuduhan ia mengeksploitasi Mandela. - AFP

Najib turut doa

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendoakan bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela yang dimasukkan semula ke hospital, cepat sembuh.

"Baru mendapat khabar Mandela berada di hospital di Afrika Selatan. Saya yakin semua rakyat Malaysia bersama-sama saya mendoakan agar beliau cepat sembuh," kata Najib dalam mesej Tweet terkini beliau.

Laporan media asing menyebut Mandela dimasukkan ke hospital untuk menjalani rawatan jangkitan paru-paru yang berulang, dilaporkan serius tetapi stabil'. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan