Sabtu, 18 Mei 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Barang kemas artis Cannes dicuri

Posted: 17 May 2013 09:42 AM PDT

Cannes (Perancis): Sejumlah barang kemas bernilai lebih RM3 juta yang sepatutnya dipakai selebriti di permaidani merah sempena Festival Filem Cannes hilang dilarikan penyamun, semalam.

Seluruh peti keselamatan yang berisi barang berharga itu dicuri selepas sekumpulan penjenayah memecah masuk bilik hotel digunakan seorang pekerja syarikat barang kemas eksklusif Switzerland, Chopard.


Sumber berkata, penjenayah terbabit menanggalkan peti keselamatan berisi barang kemas itu dari dinding hotel sebelum melarikan diri.

Antara isi peti keselamatan itu ialah rantai, gelang dan pelbagai barang kemas berhias batu permata.


Secara kebetulan, kejadian itu berlaku pada hari sama filem baru The Bling Ring ditayangkan di festival filem yang elit itu.


The Bling Ring mengisahkan sekumpulan remaja memecah masuk rumah selebriti yang dijadualkan membuat kemunculan di majlis gilang gemilang untuk melarikan barang kemas mereka.

Foto

ANTARA selebriti yang memakai barang kemas Chopar tahun ini ialah Cara Delevigne (kiri), Lana Del Rey (tengah) dan Cindy Crawford.

Chopard adalah satu daripada penaja utama festival filem yang dilangsungkan kali ini.


Sumber berkata, penyiasat giat mencari petunjuk di bilik terletak di tingkat dua Hotel Novotel itu dan pada masa sama menyoal siasat kakitangan syarikat berkenaan yang menyewa di situ.

"Ketika kejadian, bilik itu dikatakan kosong dan peti keselamatan berkenaan ditanggalkan dari dinding sebelum dipecahkan," katanya ketika ditemui, semalam. Pada festival kali ini, barang kemas Chopard turut dipakai aktres Julianne Moore, Cindy Crawford dan Cara Delevingne.


Tahun lalu, duta Chopard, termasuk Eva Herzigova, Jessica Chastain, Reese Witherspoon dan Marion Cotillard adalah antara nama yang memperagakan barang kemas berkenaan.


Kejadian semalam adalah insiden berprofil tinggi terbaru dilaporkan di Perancis.


Februari lalu, perompak bersenjata menyerbu kedai berlian De Beers di tengah Paris dan melarikan pelbagai barang kemas bernilai lebih RM11.5 juta. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Pelajar miliki empat buah pinggang

Posted: 17 May 2013 09:33 AM PDT

London: Seorang pelajar wanita yang menjalani pembedahan pada satu buah pinggangnya terkejut apabila diberitahu dia sebenarnya memiliki empat organ berkenaan.

Jessica Curphey, 20, dikejarkan ke hospital selepas mengalami kesakitan melampau pada bahagian kanan pinggangnya.


Hanya beberapa minggu sebelum ini, doktor mengesan berlaku jangkitan pada air kencingnya dan dia diberi antibiotik.

Bagaimanapun, imbasan di Hospital St Helier di Surrey menunjukkan ada imej 'gelembung' sebesar 17 sentimeter pada buah pinggang kanannya.


Sebelas hari kemudian, ujian lanjut menunjukkan gelembung itu sebenarnya adalah buah pinggang kedua di bahagian kanan Jessica.


Namun, ia telah rosak dan mesti dibuang.

Ketika pembedahan membuang buah pinggang rosak itu dijalankan, doktor terkejut apabila mendapati ada satu lagi buah pinggang lain.


Jurucakap hospital berkata, penemuan itu menjadikan Jessica sebenarnya memiliki empat buah pinggang.

"Kejadian begini sangat jarang berlaku," katanya. Selepas berjaya menjalani pembedahan membuang buah pinggang rosak itu Jun tahun lalu, Jessica kini aktif dalam kegiatan amal bagi mengumpul dana untuk badan kebajikan.


Kata Jessica, sebelum ini dia tidak tahu bagaimana mahu memberi reaksi apabila dimaklumkan memiliki empat buah pinggang. "Kini agak seronok melihat reaksi orang lain apabila saya memberitahu saya ada buah pinggang tambahan," katanya ketika ditemui. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/18

Tiada ulasan:

Catat Ulasan