Jumaat, 12 April 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Wajah 'ngeri' Triny kembali normal

Posted: 11 Apr 2013 04:22 PM PDT

London: Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang hampir hilang mukanya akibat ketumbuhan bersaiz bola sepak berjaya diselamatkan oleh sekumpulan pakar bedah Britain.

Triny Amuhirwe dari Uganda kini memperoleh wajahnya semula hasil usaha badan kebajikan Britain 'Facing The World' dan pasukan perubatan yang menjalankan pembedahan ke atas mukanya dengan percuma.


Ketika muncul dalam rancangan televisyen This Morning semalam, ibunya Sarah memuji kumpulan yang menyelamat anaknya itu. "Terima kasih kepada pakar bedah dan badan kebajikan itu kerana menyelamat nyawa Triny. Anak saya mungkin mati jika tidak kerana usaha mereka," katanya.

Menurut Sarah, dia mula menyedari ketumbuhan itu pada bahagian kanan muka Triny ketika dia berusia empat tahun.


"Saya sangka ia akan hilang. Sebaliknya ketumbuhan itu semakin membesar. Saya kemudian ke hospital. Tetapi doktor berkata, mereka perlu menunggu dan melihat apa yang akan terjadi," kata Sarah.


Ketumbuhan itu mula membesar dan apabila Triny berusia tujuh tahun, Sarah membawanya semula ke hospital dan doktor memutuskan sudah tiba masanya untuk melakukan pembedahan.

Foto

WAJAH Triny sebelum dibedah.

Foto

Triny dibedah oleh sekumpulan pakar bedah Britain.

Mulanya pembedahan itu kelihatan berjaya. Tetapi, ia tumbuh semula dalam masa dua minggu saja.


Pembedahan kedua juga gagal dan ketumbuhan itu kembali, lebih besar daripada sebelumnya.

"Ia lebih besar daripada yang pertama sehingga meliputi seluruh muka Triny," kata Sarah.


Dalam pada itu, Triny yang menghidap masalah yang dinamakan fibrous dysplasia, mengalami kesakitan yang teruk, termasuk pening, sukar makan dan bernafas serta akhirnya gagal melihat menerusi mata kanannya.


Untuk menjadikan keadaan lebih buruk, dia diminta berhenti sekolah kerana gurunya tidak dapat menangani keadaan yang dihadapi kanak-kanak itu.


Bagaimanapun nasib Triny akhirnya berubah apabila seorang jiran menemui jururawat warga Amerika Syarikat yang bekerja di Uganda dan menceritakan keadaan kanak-kanak itu.


Jururawat berkenaan berhubung dengan 'Facing The World' yang membantu mengumpulkan dana untuk membawa Triny ke Britain bagi menjalani pembedahan.


November lalu, Triny tiba di London dan menjalani pembedahan selama 15 jam bagi membuang ketumbuhan itu.


Kali ini doktor percaya mereka berjaya membuang sama sekali ketumbuhan itu.


Ditanya apa akan terjadi jika pembedahan itu tidak dilakukan, seorang pakar bedah terbabit, Jonathan Collier memberitahu rancangan berkenaan, "Lebih baik kita tidak berbincang mengenai perkara itu." - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/12

Paul McCartney pemuzik paling kaya

Posted: 11 Apr 2013 04:15 PM PDT

London: Sir Paul McCartney menguasai carta muzik semula menduduki tangga teratas dalam Senarai Pemuzik Jutawan akhbar Sunday Times yang diterbitkan di Britain.

Bekas anggota Beatle itu berkongsi harta berjumlah £680 juta (RM3.2 bilion) bersama isteri Nancy Shevell, menurut penyelidik yang menyediakan senarai berkenaan.


Dia menduduki senarai pemuzik paling kaya sejak senarai itu disediakan pada 1989 apabila hartanya dianggar berjumlah £80 juta (RM374 juta).

Sebahagian kekayaannya adalah harta milik isterinya, pewaris sebuah syarikat pengangkutan Amerika Syarikat yang dikatakan bernilai £150 juta (RM701 juta).


McCartney bukan satu-satunya orang yang harta mereka meningkat hasil daripada perkongsian dengan isteri atau suami masing-masing. Gabungan harta Victoria dan David Beckham yang berjumlah lebih £200 juta (RM934 juta) meletakkan mereka dalam senarai 10 teratas. Sharon dan Ozzy Osbourne serta Chris Martin dan Gwyneth Paltrow turut tersenarai.


Andrew Lloyd Webber menduduki tangga kedua dalam carta itu dengan harta berjumlah £620 juta (RM2.9 bilion), diikuti oleh rocker Ireland, U2 yang memiliki harta sebanyak £520 juta (RM2.4 bilion).

Lima anggota One Direction mengumpul harta sebanyak £5 juta (RM23 juta) setiap seorang tahun lalu.


Bagaimanapun, perjalanan kumpulan itu masih jauh untuk menyaingi Adele yang menduduki tempat teratas Senarai Pemuzik Muda paling kaya dengan harta berjumlah £30 juta (RM140 juta).

Penyanyi itu meraih pendapatan £10 juta (RM47 juta) tahun lalu meskipun menghabiskan sebahagian besar masa pulih daripada pembedahan tekak dan melahirkan anak.


Harta Cheryl Cole dianggar berjumlah £14 juta (RM65 juta) sementara Leona Lewis dan Katie Melua masing-masing £12million (RM56 juta).


Nama baru dalam senarai jutawan muzik berusia 30 dan ke bawah termasuk Emeli Sande dan Ed Sheeran yang masing-masih bernilai £5 juta (RM23 juta). - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan