Jumaat, 12 April 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Vaksin virus H7N9 beberapa bulan lagi

Posted: 12 Apr 2013 08:52 AM PDT

Shanghai: Usaha menghasilkan vaksin virus selesema burung H7N9 yang membunuh 10 penduduk di timur China, akan mengambil masa beberapa bulan lagi, kata pakar kesihatan Amerika Syarikat.

Pihak berkuasa China mengesahkan 38 kes jangkitan berpunca daripada virus H7N9 selepas mengumumkan penemuannya hampir dua minggu lalu khususnya jangkitan terhadap manusia.

Keputusan agak lemah

Vaksin awal menyasarkan virus yang hampir sama menghasilkan keputusan agak lemah, kata dua pakar influenza Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, (CDC) dalam Jurnal Perubatan New England.

"Meskipun teknologi pembuatan terbaru menghasilkan vaksin digunakan, bermula dengan pemprosesan hingga membangunkan vaksin itu mungkin akan mengambil masa beberapa bulan," kata Timothy Uyeki dan Nancy Cox.

Walaupun usaha dilakukan di seluruh dunia untuk membangunkan sejenis vaksin mula dibangunkan berdasarkan kes awal, ujian klinikal masih perlu dijalankan, kata artikel mereka yang disiarkan dalam laman web jurnal itu.

Kerajaan China berkata, mereka menjangka sejenis vaksin dapat disediakan dalam masa tujuh bulan, lapor media tempatan.
Sementara itu, Kementerian Sains dan Teknologi China serta Kementerian Kesihatan bekerjasama dalam menghasilkan vaksin itu, lapor agensi berita Xinhua.

Edar kit kepada hospital

China sudah mempunyai teknik untuk menguji H7N9 dengan mengedarkan kit kepada hospital selain pusat pemantauan lain, kata Xinhua.

Artikel jurnal itu memuji China kerana mampu mengenal pasti virus dengan cepat selain menggesa supaya pemantauan lebih rapat dilakukan terhadap penduduk yang menghadapi masalah pernafasan dan memantau hubungan pesakit yang dijangkiti.

Pihak berkuasa China berkata, mereka tidak tahu bagaimana virus itu merebak tetapi setakat ini ia tidak berjangkit antara manusia, satu pemerhatian yang disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
AFP

Jepun letak misil Patriot di Okinawa

Posted: 12 Apr 2013 08:48 AM PDT

Tokyo: Jepun akan menempatkan peluru berpandu Patriot di Okinawa secara kekal mulai bulan ini sebagai sebahagian usaha meningkatkan keupayaan pertahanan berikutan kebimbangan ancaman peluru berpandu Korea Utara.

Menteri Pertahanan Jepun, Itsunori Onodera, berkata pihaknya akan meletakkan kelengkapan sistem 'Patriot Advanced Capability 3' atau PAC-3 di dua pangkalan tentera di pulau selatan Jepun seawal April.

PAC-3 bertindak sebagai pemintas peluru berpandu. Kementerian itu sebelum ini merancang menghantarnya bermula Mac 2015.

"Kami menimbang untuk mempercepat pelan melindungi nyawa dan harta benda penduduk daripada serangan peluru berpandu balistik," kata Onodera kepada media.

Kemungkinan perang

Negara itu masih berwaspada penuh menjelang kemungkinan pelancaran peluru berpandu jarak sederhana oleh Korea Utara.

Agensi perisikan Korea Selatan berkata, Korea Utara menyiapkan dua peluru berpandu jarak sederhana untuk dilancarkan segera di pantai timurnya meskipun diberi amaran oleh sekutunya China supaya mengelak melakukan provokasi.
Sebagai tambahan kepada PAC-3, kapal pemusnah Aegis dilengkapkan dengan pemintas peluru berpandu dihantar ke Laut Jepun.

Agensi perisikan tentera Amerika Syarikat menyatakan Pyongyang ada keupayaan untuk melancarkan senjata nuklear peluru berpandu antara benua.

Bagaimanapun, laporan Agensi Risikan Pertahanan (DIA) disangkal Jabatan Pertahanan yang menegaskan bahawa Korea Utara tidak mempunyai peluru berpandu nuklear.

Jurucakap Pentagon, George Little, berkata ia mungkin tidak tepat untuk mengatakan bahawa Korea Utara sudah membuat ujian penuh, membangun atau menunjukkan keupayaan nuklear seperti dinyatakan dalam laporan DIA.

Kenyataan itu dibuat selepas seorang ahli perundangan membaca laporan DIA yang menunjukkan perubahan pandangan Washington terhadap program nuklear Korea Utara.

DIA berkata, penganalisis Amerika yakin Korea Utara memiliki senjata nuklear yang berupaya menghantar peluru berpandu balistik, tetapi kewujudan senjata itu adalah 'rendah'.

Laporan risikan itu menandakan kali pertama kerajaan Amerika memperakui Korea Utara berjaya untuk mengecilkan bom nuklear supaya boleh dimasukkan dalam peluru berpandu.

AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan