Isnin, 22 April 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Maraton Singapura pula diancam bom

Posted: 21 Apr 2013 05:36 PM PDT

Singapura: Seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan, di sini, berhubung satu ancaman bom online ke atas beberapa lokasi di republik ini, yang memperketat kawalan selepas dua letupan di Maraton Boston.

Nama dan kewarganegaraan lelaki itu, yang ditahan Khamis lalu tidak didedahkan. Dia ditahan selepas menulis ugutan itu dalam satu ulasan artikel berita mengenai pengeboman di Boston, kata polis dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Hanya sekadar ugutan

Siasatan awal menunjukkan suspek tidak berhasrat atau berniat untuk meneruskan ugutannya, kata kenyataan itu.

Akhbar perdana The Straits Times melaporkan lelaki itu menghantar ulasannya dalam laman web Yahoo! Singapura.

Tindakan membuat ugutan melakukan serangan bom di republik ini adalah satu kesalahan.

Jika sabit kesalahan, ia membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda sehingga S$100,000 (RM245,412) atau kedua-duanya sekali.
Dalam satu lagi kenyataan berasingan, polis berkata, mereka juga sedang menyiasat satu ancaman untuk mengebom Maraton Singapura pada Disember depan tetapi belum ada sesiapa ditahan setakat ini.

Kenyataan polis memberitahu, pihak berkuasa memandang serius sesiapa, yang mengambil kesempatan atas kebimbangan keselamatan terbaru.

Polis menekankan, sebarang langkah menakut-nakutkan orang ramai dengan membuat ugutan palsu akan menyebabkan pihak berkuasa mengesan mereka yang bertanggungjawab.

Selain itu, sebuah pesawat Singapore Airlies (SIA) membawa 280 penumpang dari Manila diperiksa polis selepas insiden keselamatan dilaporkan berlaku.

Penumpang dibenarkan keluar pada jam 3 pagi waktu tempatan, empat jam selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di sini.

Panggilan bom palsu

Polis berkata, tiada siapa ditahan dan enggan mendedahkan butir-butir kes, namun sumber memberitahu, ia berpunca daripada panggilan bom palsu.

Jumaat lalu, polis Amerika Syarikat menahan seorang remaja etnik Chechen disyaki meletakkan bom ketika Maraton Boston.

Tiga orang terbunuh dan 180 lagi cedera. Seorang suspek diburu dan ditahan selepas tembak menembak berlaku manakala seorang lagi mati ditembak polis.

Korban gempa China meningkat

Posted: 21 Apr 2013 05:33 PM PDT

Lushan: Angka korban dan hilang akibat gempa bumi di Sichuan meningkat semalam kepada 203 dengan lebih 11,500 lagi cedera, 960 daripadanya tenat.

Pada masa sama, anggota penyelamat dilaporkan bertungkus-lumus ke tempat kejadian bagi mencari mangsa termasuk yang hilang.

Doktor dan jururawat terpaksa memberi rawatan di tempat terbuka di sini atau di bawah khemah dekat hospital yang penuh dengan kaca pecah dan runtuhan konkrit. Bekalan air dan elektrik juga terputus selepas gempa magnitud 6.6 melanda Lushan di bandar Ya'an, wilayah Sichuan, barat daya China.

Usaha bantuan sukar kerana jalan raya agak sempit dan tanah runtuh berlaku selain tindakan menyekat akses bagi mengelak kesesakan.

Bekalan sukar dihantar kerana kesesakan yang berlaku untuk ke sana. Kebanyakan bekalan masih dalam perjalanan.

Keperluan utama ialah tempat perlindungan dan bahan keperluan asas, kata jurucakap Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit.
Anggota penyelamat di Lushan menarik keluar 91 mangsa yang terselamat daripada bawah runtuhan, lapor Xinhua.

Di perkampungan paling dekat dengan pusat gegaran, hampir semua kediaman musnah.

Runtuhan berulang

Persatuan Meteorologi China memberi amaran kemungkinan tanah runtuh akan berulang di Lushan selepas 1,097 gegaran susulan berlaku.

Yaan mempunyai 1.5 juta penduduk dan salah satu lokasi kelahiran budaya teh China selain antara pusat utama melindungi beruang panda.

Sichuan juga adalah antara empat wilayah pengeluar gas di China dengan menghasilkan 14 peratus daripada keseluruhan pengeluaran negara itu.

Sinopec Group, antara pemilik loji penapis minyak terbesar Asia, berkata telaga gas besarnya di Puguang tidak terjejas. - REUTERS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan