Kosmo Online - Dunia |
- Jamalul Kiram mahu pengikutnya dibantu
- Rekod beli pesawat Airbus
- Pelajar universiti Filipina baling kerusi, monitor komputer
Jamalul Kiram mahu pengikutnya dibantu Posted: Jamalul Kiram mahu pengikutnya dibantu
MANILA - Pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III meminta bantuan Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) bagi menyediakan khidmat undang-undang kepada para pengikutnya yang telah ditahan pihak berkuasa Malaysia di Sabah. Menurut portal berita GMA News, jurucakap Hal Ehwal Luar, Raul Hernandez (gambar kecil) semalam berkata, keluarga Jamalul Kiram melalui seorang anak perempuannya telah meminta khidmat Pejabat Peguam Awam untuk menghantar surat kepada Setiausaha Luar Negara, Albert del Rosario bagi memohon bantuan. "Ia sedang dipertimbangkan untuk tindak balas," Hernandez memberitahu para wartawan. Menurutnya, ia merupakan sebahagian daripada mandat jabatan itu bagi memberi bantuan guaman kepada warga Filipina yang menghadapi masalah di luar negara. Hernandez berkata, pemerintah Filipina perlu mengetahui pertuduhan yang dihadapi mereka terlebih dahulu dan bentuk bantuan diperlukan. Hernandez berkata, pemerintah memerlukan akses ke atas pengikut Jamalul Kiram. Pemerintah Filipina mendakwa hanya 10 warganya ditahan oleh kerajaan Malaysia dalam pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu. "Kami selalu berkata yang kami sedia membantu orang kita untuk apa jua bantuan yang diperlukan," kata Hernandez. Hernandez berkata, langkah seterusnya bergantung kepada penilaian DFA terhadap kes itu. Para penceroboh itu menuntut tanah yang didakwa milik Kesultanan Sulu di Lahad Datu menyebabkan pertempuran berlaku antara mereka dengan pasukan keselamatan Malaysia bulan lalu. - Agensi | |
Posted: Rekod beli pesawat AirbusRUSDI (kiri) dan Bregier memegang replika pesawat Airbus A320 sambil diperhatikan Holland (tengah) di Istana Elysee, Paris semalam. PARIS - Pembuat pesawat Eropah, Airbus semalam mengumumkan rekod pesanan tertinggi bernilai 18.4 bilion euro (RM74.7 bilion) daripada Syarikat Lion Air, Indonesia untuk 234 buah kapal terbang keluaran syarikat berkenaan. Syarikat Lion Air merupakan syarikat penerbangan swasta terbesar Indonesia. Ia adalah salah sebuah syarikat penerbangan terpantas yang berkembang di dunia dan merupakan pelanggan terbaharu Airbus. Sebelum ini kebanyakan pesawat yang digunakan syarikat itu dibekalkan oleh syarikat Boeing. Presiden Perancis, Francois Hollande menyifatkan ia sebagai perjanjian yang terbesar dalam sejarah penerbangan awam yang akan mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan di Perancis dalam tempoh 10 tahun akan datang. Perjanjian yang dianggap bersejarah oleh Hollande itu ditandatangani di kediaman rasmi beliau di Istana Elysee oleh Ketua Airbus, Fabrice Bregier dan rakan sejawatannya dari Lion Air, Rusdi Kirana. Syarikat Lion Air akan membeli 60 pesawat Airbus A320 dan bakinya merupakan pesawat jimat minyak iaitu Neo. Menurut kenyataan Elysee, pesawat A320 dalam proses pengeluaran dan akan diserahkan pada tahun hadapan manakala pesawat Neo dijangka dikeluarkan pada tahun 2016. - AFP | |
Pelajar universiti Filipina baling kerusi, monitor komputer Posted: Pelajar universiti Filipina baling kerusi, monitor komputerSEJUMLAH pelajar melihat barang yang dibaling oleh para pelajar itu. MANILA - Sekumpulan pelajar membaling sejumlah kerusi lama dan monitor komputer dari bangunan Universiti Politeknik Filipina di sini semalam. Mereka turut membakar barang itu bagi menuntut keadilan untuk seorang pelajar baharu, Kristel Tejada yang berusia 16 tahun. Tejada membunuh diri empat hari lalu selepas dia tidak dibenarkan meneruskan pengajian di Kolej Sastera dan Sains universiti tersebut kerana gagal membayar yuran pengajian. Dia mula memasuki universiti itu pada Mei 2012. Tejada membunuh diri di rumahnya di Tayuman, Manila pada 15 Mac lalu. Pelajar itu tidak dapat melunaskan baki bayaran pengajiannya sebanyak 10,000 peso (RM771) pada semester pertama tahun lalu. Bapanya yang merupakan pemandu teksi sambilan membuat rayuan kepada pihak pengurusan universiti berkenaan tetapi permintaannya untuk menangguhkan bayaran itu ditolak. Tejada dilaporkan membunuh diri dengan meminum bahan pencuci barangan logam. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan