Jumaat, 11 Januari 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


125 terbunuh kena bom di Baluchistan

Posted: 11 Jan 2013 01:32 PM PST

Quetta: Seramai 125 orang terbunuh dalam tiga letupan, dua daripadanya serangan bunuh diri di sebuah dewan snuker yang biasa digunakan penduduk Syiah, di sini, semalam.

Ia antara peristiwa pertumpahan darah terburuk sejak bertahun-tahun lalu di Pakistan.

Sekurang-kurangnya 92 orang terbunuh dan 121 cedera apabila dua penyerang meletupkan bom di kelab snuker di barat daya Quetta, kawasan majoriti penduduk Syiah.

Angka korban itu diberi Setiausaha Dalam Negeri Baluchistan, Akbar Hussain Durrani.

Penyerang meletupkan bom dalam bangunan snuker itu dan 10 minit kemudian seorang lagi penyerang dalam kereta meletupkan bom ketika polis, pekerja media dan pasukan penyelamat menghampiri tempat kejadian, kata pegawai polis, Mir Zubair Mehmood.

Sembilan pegawai polis, tiga wartawan tempatan dan beberapa pekerja penyelamat antara yang maut.

Ia serangan paling buruk di Pakistan sejak dua pengeboman membunuh 98 orang di luar pusat latihan polis di Shabqadar pada 13 Mei 2011.
Ia dipercayai sebagai membalas tindakan komando Amerika Syarikat membunuh pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden.

Dalam serangan pertama awal kelmarin, sebutir bom diletupkan di bawah kenderaan pasukan keselamatan di Quetta, mengorbankan 11 orang dan mencederakan berpuluh lagi.

Dalam satu lagi serangan, sebutir bom meletup ketika perhimpunan keagamaan berlangsung di Swat.

Ia menyebabkan 22 terbunuh lebih 80 lagi cedera dalam kejadian terburuk di daerah itu sejak tentera bertempur dengan militan Taliban pada 2009.
Pengeboman merosakkan beberapa kedai dan bangunan berhampiran. Sekurang-kurangnya empat ambulans musnah dan orang ramai dilihat meraung bersebelahan mayat di atas tanah.

Kumpulan Lashkar-e-Jhangvi mendakwa bertanggungjawab atas serangan terburuk ke atas penduduk minoriti berkenaan, sekitar 20 peratus daripada 180 juta penduduk Pakistan.

Lashkar-e-Jhangvi menghubungi wartawan tempatan menerusi telefon dan mendakwa bertanggungjawab.

Kumpulan berkenaan ada kaitan dengan al-Qaeda dan Taliban serta turut terbabit dalam penculikan dan memenggal kepala wartawan Daniel Pearl pada Januari 2002.

AFP

Barack Obama pro kulit putih

Posted: 11 Jan 2013 01:30 PM PST

Washington: Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat, Barack Obama dibidas termasuk juga anggota Parti Demokrat kerana memilih lebih ramai lelaki kulit putih ke jawatan kanan pentadbirannya bagi penggal ke-2.

Obama kelmarin menamakan Jack Lew ke jawatan Setiausaha Perbendaharaan, lelaki kulit putih ke-4 dinamakannya ke dalam Kabinet sejak beberapa minggu lalu.

Pencalonan Lew diikuti dengan pengumuman bahawa Obama memilih Senator John Kerry bagi menggantikan Hillary Clinton ke jawatan Setiausaha Negara.

Jika diluluskan, Kerry akan menjadi ahli politik kulit putih pertama memegang jawatan itu dalam tempoh satu dekad.

Obama juga menamakan bekas Senator Chuck Hagel ke jawatan Setiausaha Pertahanan dan John Brennan sebagai ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Memang sangat memalukan, kata salah seorang anggota Kongres paling kanan, Charles Rangel, ahli Demokrat dari New York, mengenai pelantikan Obama.

Lebih-lebih lagi Obama kehilangan wanita Hispanik pertama menyertai sesi Kabinet, Hilda Solis yang meletakkan jawatan, Rabu lalu.
Bulan lalu, seorang lagi wanita kulit hitam meletak jawatan iaitu Lisa Jackson yang mengetuai Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA).

Senator Demokrat dari New Hampshire, Jeanne Shaheen, menyifatkan pelantikan ke jawatan kanan oleh Obama sebagai mengecewakan.

Lebih-lebih lagi hanya New Hampshire negeri yang menghantar perwakilan wanita tunggal ke Kongres.

Kita perlu kerajaan semua golongan supaya dapat menangani isu secara menyeluruh, katanya lagi.

Kepelbagaian politik di Amerika biasanya merujuk kepada wanita, minoriti etnik khususnya Hispanik dan warga Afrika-Amerika.
REUTERS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan