Khamis, 20 Disember 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Militan sasar petugas kempen antipolio

Posted: 19 Dec 2012 10:26 AM PST

PESHAWAR: Penyerang bersenjata meningkatkan serangan baru ke atas pekerja kesihatan yang membawa vaksin polio, semalam, menjadikan korban keganasan itu meningkat kepada sembilan orang.

Kejadian terbaru itu turut mendorong Unicef dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggantung kempen yang dibantah Taliban itu. Serangan semalam membabitkan seorang petugas wanita dan pemandunya yang ditembak mati di Charsadda, dekat Peshawar.


Pegawai polis Peshawar, Wajid Khan, berkata sebelum itu, seorang lagi pekerja kesihatan dalam keadaan kritikal selepas ditembak ketika memberikan titisan vaksin polio kepada orang awam "Dua lagi pasukan penyedia vaksin dijadikan sasaran di bandar Nowshera dan Charsadda, tetapi mereka tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Pakistan adalah satu daripada tiga negara di dunia yang masih berdepan wabak polio, tetapi usaha mengekang penyakit itu selalu diganggu akibat bantahan Taliban.


Beberapa kawasan yang dikuasai militan itu mengharamkan vaksin berkenaan diberi kepada orang awam. Sejak kempen disokong PBB dijalankan di seluruh Pakistan Isnin lalu, sembilan orang pekerja kesihatan terbunuh dalam serangan yang berlaku setiap hari. Seorang kakitangan maut ditembak di Karachi pada Isnin dan empat lagi dibunuh di bandar itu kelmarin.


Seorang lagi mangsa dibunuh di Peshawar. Khabar angin kononnya vaksin polio itu adalah taktik Barat meracuni umat Islam menghalang usaha mengatasi wabak berkenaan di Pakistan.

Kecurigaan program itu semakin menebal apabila seorang doktor membantu Agensi Perisikan Pusat (CIA) mengesan Osama bin Laden dengan berselindung di sebalik kempen membasmi hepatitis pada 2011. Kes polio menurun kepada 28 pada 2005 tetapi meningkat ketara kepada 198 pada 2011 - angka tertinggi sepanjang tempoh lebih sedekad. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20



Gangnam Style picu kiamat?

Posted: 19 Dec 2012 10:10 AM PST

NEW YORK: Apakah hubungan antara ramalan kiamat akan berlaku esok dengan fenomena Gangnam Style milik penyanyi Korea Selatan, Psy?

Menurut ramalan kontroversi Nostradamus, jika angka klip video Gangnam Style mencecah satu bilion penonton, maka kiamat akan berlaku.


Siapa sebenarnya Nostradamus? Dia ialah penyair, peramal astrologi yang lahir di Perancis pada 1503. Namanya sangat terkenal selepas beberapa ramalannya menjadi kenyataan.

Beberapa ramalannya yang terkenal dan terbukti tepat ialah Revoulsi Perancis, Kebakaran di London, kematian Puteri Diana, kematian John F Kennedy dan tragedi pengeboman di Nagasaki, malah tragedi serangan 11 September di New York.


Berdasarkan turutan rekod itulah, dunia mulai cemas dengan ramalan dunia akan berakhir atau kiamat yang dijangka berlaku ketika penonton Gangnam Style di YouTube mencecah angka satu bilion. Mengapa Gangnam Style dan mengapa angka satu bilion? Berikut ialah ramalan Nostradamus mengenai akhir zaman.


"From the calm morning, the end will come when of the dancing horse the number of circles will be nine," Nostradamus, 1503.

"From The Calm Morning dirujuk oleh peramal sebagai negara Korea Selatan sebagaimana negara itu mendapat jolokan Calm Morning dalam bahasa Inggeris.


"Dancing Horse? Jelas sekali yang dimaksudkannya ialah Gangnam Style yang sememangnya berasal dari Korea Selatan. Bagaimana dengan maksud "Circle Will Be Nine?" Ungkapan ini masih diperdebatkan. Beberapa peramal berkata maksudnya ialah angka kosong iaitu jumlah penonton YouTube yang mengakses klip video Gangnam Style. Ia bermakna angka satu bilion yang memiliki sembilan kosong (bulatan) sama dengan ungkapan Nostradamus. Dalam erti kata lain apabila diterjemahkan kesimpulannya dalam bahasa Melayu, ramalan Nostradamus bermaksud: "Dari Korea Selatan, kiamat akan berlaku ketika tarian kuda menunjukkan bulatan hingga sembilan." Jadi, apakah ramalan Nostradamus bakal terbukti? Apa pun, ketika ini klip video Gangnam Style sudah ditonton sebanyak 971,518,818 dan kelihatan terus bertambah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20



Tiada ulasan:

Catat Ulasan