Selasa, 11 Disember 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Belum jalan dah pandai berenang

Posted: 10 Dec 2012 07:38 AM PST

GLOUSTERSHIRE: Mereka terlalu muda untuk berjalan dan bercakap tetapi bayi kembar, William dan Ellenita Trykush boleh berenang sejauh 25 meter pada usia hanya sembilan bulan.

Kembar berkenaan gemar berenang sambil menendang kaki mereka di dalam air.


Dan gambar menarik ini memaparkan mereka tersenyum sambil berenang.

Pencapaian itu menjadi lebih menarik memandangkan kedua-duanya dilahirkan secara caesarean enam minggu lebih awal. Bakat luar biasa pasangan kembar itu mula dilihat ketika bercuti bersama keluarga di Cyprus Oktober lalu apabila mereka mula berenang tanpa bantuan.


Sekembalinya ke Cirenster, Gloustershire, ibu mereka, Charlotte, 3,5 membawa pasangan berkenaan ke kolam bayi tempatan apabila mereka tiba-tiba berenang. "Ia amat mengejutkan. Mulanya mereka berenang lima meter dan kemudian tujuh meter sebelum berenang sepanjang 12 meter," kata Charlotte, wanita kelahiran Perancis yang juga bekas jurulatih renang.


"Memandangkan tidak ada orang di kolam dewasa, saya mencadangkan guru mereka mencuba di kolam renang besar itu.

"Mereka begitu riang. Mereka mula berenang sepanjang kolam itu dengan saya berenang di bawah mereka bagi memastikan kedua-duanya tidak menghadapi masalah dan memandu mereka jika tersalah arah.


"Ellie adalah yang pertama. William kelihatan meniru kakaknya. Kami sungguh gembira. Penyambut tetamu dan jurulatih renang datang melihat dan turut kagum.

Seorang jurulatih yang sudah mengajar selama 20 tahun berkata, ini kali pertama dia melihat keadaan seperti itu.


"Saya yakin ia semula jadi kerena mereka terlalu kecil untuk belajar berenang." kata Charlotte. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10



Pengacara radio kesal sebabkan jururawat bunuh diri

Posted: 10 Dec 2012 07:35 AM PST

SYDNEY: Dua pengacara radio yang panggilan palsu mereka menyebabkan seorang jururawat diraja di sebuah hospital di London membunuh diri, semalam meluahkan perasaan kecewa terhadap kejadian itu dalam satu wawancara.

Mel Greig dan Michael Christian berkata, mereka berhajat menghantar ucapan takziah kepada suami dan keluarga Jacintha Saldanha.


"Ia satu kejadian tragik yang tidak diramalkan oleh sesiapa. Anda tahu peranan kami dalam kejadian itu dan kami amat kesal," kata Christian.

Mel yang kelihatan menangis dan jelas terkejut menambah: "Saya juga begitu kecewa dengan apa yang berlaku." Kedua-dua pengacara berkenaan meluahkan kesedihan mereka buat kali pertama dalam wawancara berkenaan dan mengaku mereka tersentak dan terlalu kecewa.


Mereka mungkin tidak akan meminta maaf berhubung panggilan ke hospital Duchess of Cambridge selepas ketua stesen radio tempat mereka bekerja menganggap tindakan itu mungkin keterlaluan.


Jacintha, 46, ibu dua anak yang juga dikenali sebagai Jess, ditemui mati di kuarters jururawat di Hospital King Edward VII, tengah London, Jumaat lalu. Dia dipercayai menggantung diri.

Selasa lalu, dia menerima panggilan daripada Mel, 30 dan Christian yang menyamar sebagai Ratu Elizabeth dan Putera Charles. Jururawat itu yang tidak mengesyaki apa-apa, menyambungkan mereka ke wad tempat isteri Putera William, Kate, 30, dirawat.


Mel memberitahu rangkaian televisyen Australia mengenai bagaimana dia mendapat berita mengenai kematian jururawat itu. "Saya masih ingat saat itu dan tidak dapat melupakannya sejak ia berlaku. Saya ingat soalan pertama saya, 'Adakah dia seorang ibu?'" "Saya sentiasa terkenang peristiwa berkenaan. Saya hanya mahu menghubungi keluarganya, memeluk mereka dan memohon maaf," kata Mel.

Christian menambah: "Saya hanya berharap keluarganya mendapat kasih sayang, sokongan dan penjagaan yang mereka perlukan." Di tanya bagaimana perasaannya, dia menjawab: "Amat kecewa." Kedua-dua pengacara itu kelihatan sebak ketika bercakap.


Stesen radio Sydney, 2Day FM semalam berkata, kedua-dua petugas mereka itu berusaha untuk mencari cara terbaik bagi menghubungi keluarga Jacintha.


Tetapi apabila ditanya sama adakah mereka akan memohon maaf, jurucakapnya, Sandy Kaye berkata: "Tidak. Itu mungkin langkah yang keterlaluan. Mereka sudah pasti mahu mengucapkan takziah. Tetapi ia isu yang begitu sensitif di banyak peringkat." Tetapi pagi semalam, pengacara itu bertindak memohon maaf menerusi televisyen Australia. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10



Tiada ulasan:

Catat Ulasan