Isnin, 1 Oktober 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Serangan meningkat di selatan Thailand

Posted: 30 Sep 2012 02:58 PM PDT

Bangkok: Enam orang terbunuh dan 44 lagi cedera di selatan Thailand akibat letupan bom dan tembakan selepas keganasan meningkat semula di rantau bergolak itu sejak kelmarin.

Dalam keganasan terbaru semalam, seramai 17 orang, seorang daripada mereka anggota polis, cedera apabila dua bom tangan M79 dibaling ke sebuah pesta tempatan di daerah Bacho, Narathiwat.

Polis berkata, bom tangan itu dilontar ke arah sekumpulan pekedai yang menjual barangan tempatan di kawasan bertentangan balai polis Bacho pada 7.20 malam.
Kelmarin, lima orang ditembak mati dalam keganasan di tiga wilayah majoriti penduduk Islam di selatan negara itu yang dilanda konflik selama lapan tahun meragut beribu-ribu nyawa.

Di Pattani, penyerang tidak dikenali menembak mati anggota polis Islam, warga tua Buddha berusia 74 tahun dan seorang sukarelawan keselamatan dalam serangan berasingan.

Kejadian tembakan di Yala menyasarkan pasangan suami isteri Buddha dalam perjalanan ke pasar, menyebabkan wanita itu meninggal dunia dan suaminya cedera.

Baling bom tangan
Kejadian sama di Narathiwat menyaksikan seorang lelaki dan isterinya - kedua-duanya sukarelawan keselamatan yang dalam perjalanan ke sesi latihan menembak - ditembak, menyebabkan wanita itu terbunuh manakala suaminya cedera.

Selain itu, suspek militan membaling dua bom tangan ke arah pasar sibuk, menyebabkan kecederaan kepada 23 pengunjung yang cedera ringan.

Di Yala, seorang remaja lelaki Islam berusia 18 tahun ditembak mati di Yala, manakala seorang wanita dan anak perempuannya juga diserang dan dicederakan oleh kumpulan bersenjata dalam kejadian berasingan.

Perjuangan menuntut kuasa autonomi lebih besar menggegarkan selatan Thailand sejak 2004 meragut lebih 5,300 nyawa penduduk Buddha dan Islam disebabkan serangan bom dan tembakan.

Pemisah tembak kedai

Dalam reaksi kepada peningkatan keganasan terbaru, pihak berkuasa Thai berkata mereka memperbaharui rundingan damai dengan pemimpin pemisah.

Serangan terbaru berlaku lebih seminggu selepas sekurang-kurangnya enam maut dan lebih 40 cedera apabila bom kereta meletup di kawasan beli belah sibuk di bandar Sai Buri, Pattani.
AFP

Hukum penghasut kebencian

Posted: 30 Sep 2012 02:51 PM PDT

New York: Pemimpin Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menggesa masyarakat dunia mengharamkan perbuatan menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW kerana ia adalah ucapan menghasut kebencian.

Pengharaman itu akan membolehkan masyarakat dunia menghormati budaya yang berbeza, kata Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu,

Jika dunia Barat gagal memahami sensitiviti dunia Islam, itu masalah besar. Provokasi seperti itu mengancam keamanan, keselamatan dan nyawa, Kami bukan suruh hentikan kebebasan berucap tetapi sekat ucapan menghasut kebencian, kata Ihsanoglu.
Beliau membuat kenyataan itu selepas bantahan meletus di berpuluh-puluh negara Islam selepas penyiaran filem Innocence of Muslims terbitan warga Amerika Syarikat menghina Nabi Muhammad,

Protes berterusan

Protes terhadap filem itu berterusan sehingga semalam di Bangladesh, Indonesia, Pakistan dan juga Amerika.

Menurut laporan dari Dhaka, beribu-ribu perusuh membakar lima kuil Buddha dan kediaman penduduk di tenggara Bangladesh berhubung gambar dianggap menghina Islam yang disiarkan di Facebook.
Pegawai berkata, kira-kira 25,000 orang membakar kuil Buddha dan berpuluh-puluh rumah di bandar Ramu dan kampung berhampiran, 350 kilometer dari Dhaka.

Perusuh mendakwa gambar menghina al-Quran dimuat naik ke Facebook oleh seorang lelaki Buddha di kawasan itu, kata pentadbir tempatan, Joinul Bari.

Serang rumah penduduk Buddha

Mereka marah dan menyerang rumah penduduk Buddha, membakar dan merosakkan kuil sejak tengah malam hingga pagi semalam. Sekurang-kurangnya 100 rumah rosak. Kami menghubungi tentera dan pengawal sempadan untuk mengawal keganasan, katanya sambil menambah pihak berkuasa mengharamkan perhimpunan di kawasan itu buat sementara untuk mengelakkan pertempuran seterusnya.

Di Jakarta, beribu-ribu penduduk Islam berarak ke kedutaan Amerika bagi membantah filem oleh Nakoula Basseley Nakoula.
AFP/AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan