Ahad, 16 September 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Nakoula disoal pihak berkuasa AS

Posted:

Nakoula disoal pihak berkuasa AS

NAKOULA yang menutup mukanya dengan kain diiringi keluar oleh para pegawai pejabat syerif dari rumahnya di Cerritos, California semalam.


LOS ANGELES – Seorang pembikin filem, Nakoula Basseley Nakoula yang menghasilkan skrip filem menghina Nabi Muhammad SAW, Innocence of Muslims disoal oleh beberapa pegawai perunding cara di sebuah pejabat syerif di Cerritos sini semalam.

Beberapa pegawai persekutuan berkata, mereka menyiasat aktiviti Nakoula, 55, yang sebelum ini didapati bersalah melakukan jenayah kewangan.

Nakoula yang mengaku dia membocorkan sebahagian filem itu bagaimanapun tidak ditangkap.

Lelaki itu disoal oleh pegawai perunding cara tersebut kerana dia telah dibebaskan secara bersyarat pada Jun 2011 selepas menjalani hukuman penjara selama 21 bulan.

Dia didapati bersalah menipu bank dengan menggunakan identiti palsu dengan membuka 600 akaun bank.

Berdasarkan syarat pembebasannya, Nakoula tidak dibenarkan untuk menggunakan komputer serta internet selama lima tahun tanpa kebenaran daripada para pegawai perunding cara.

Hakim mungkin mengarahkan dia kembali dipenjarakan kerana melanggar syarat pembebasannya itu.

Nakoula yang merupakan penganut Kristian Koptik berketurunan Mesir menutup muka dengan kain semasa dia menaiki sebuah kereta bersama beberapa pegawai daripada pejabat syerif dari rumahnya.

Dia dibawa ke pejabat syerif di sini.

Seorang timbalan syerif, Don Walker berkata, Nakoula pergi ke pejabat tersebut secara sukarela.

Nakoula memberitahu agensi berita AP bahawa dia merupakan pengurus logistik untuk filem itu.

Keganasan akibat penyiaran sebahagian filem itu di laman YouTube telah menyebabkan Duta Amerika Syarikat (AS) ke Libya, Chris Stevens terbunuh di Libya pada Selasa lalu.

Di bandar Tripoli, Lebanon kelmarin, seorang penunjuk perasaaan terbunuh selepas pertempuran berlaku antara kumpulan penunjuk perasaan dengan polis.

Keganasan itu menyebabkan Ketua Gereja Roman Katolik, Pope Benedict XVI yang berada di Lebanon meminta penduduk Kristian, Yahudi dan Islam melakukan perdamaian.

Tunjuk perasaan bagi membantah filem tersebut juga menyebabkan Kedutaan Jerman di Khartoum, Sudan diceroboh dan sebahagian bangunan dibakar.

Seramai tiga orang mati semasa Kedutaan Jerman dan Britain di Khartoum diserbu para penunjuk perasaan.

Para penunjuk perasaan turut berhimpun bagi membantah filem berkenaan di beberapa negara lain di depan Kedutaan AS.

Sementara itu, agensi berita AFP melaporkan filem itu dihasilkan oleh sebuah kumpulan agama Kristian di AS yang dikenali sebagai Media for Christ.

Agensi berita itu melaporkan filem tersebut diarahkan oleh seorang pengarah filem lucah, Alan Roberts yang berusia 65 tahun.

Roberts pernah mengarahkan filem lucah seperti Young Lady Chatterley II.

Filem bajet rendah itu yang mana para pelakonnya bertutur dengan menggunakan loghat AS, menampilkan orang Islam sebagai tidak bermoral dan ganas.

Ia memperlekehkan Nabi Muhammad dan menyentuh tentang tema homoseks serta fidofilia.

Filem tersebut menunjukkan Nabi Muhammad tidur bersama beberapa wanita, bercakap mengenai pembunuhan kanak-kanak dan merujuk keldai sebagai "haiwan Islam yang pertama". – Agensi

Psy rayu datuk bandar ambil semula pekerja dipecat

Posted:

Psy rayu datuk bandar ambil semula pekerja dipecat

LOS ANGELES – Penyanyi rap dari Korea Selatan yang kini terkenal dengan tarian kuda, Psy meminta supaya 13 anggota penyelamat di sebuah kolam renang di bandar El Monte yang dipecat diambil semula bekerja, lapor akhbar Los Angeles Times kelmarin.

Semua anggota penyelamat itu dipecat kerana mereka menari tarian kuda berdasarkan muzik video Gangnam Style yang dipopularkan Psy.

Salah seorang anggota penyelamat itu yang dipecat, Michael Roa menyunting dan menghantar klip video yang menunjukkan mereka menari tarian kuda tersebut ke laman YouTube.

Pihak pentadbir kolam itu menyatakan 13 anggota penyelamat tersebut dipecat kerana mereka menggunakan pakaian dan kolam renang awam milik pihak pentadbiran bandar El Monte ketika menghasilkan video tersebut.

Psy membuat rayuan kepada Datuk Bandar El Monte, Andre Quintero dengan berkata: "Saya merayu anda tidak pecat (mereka), tolonglah."

Menurut Psy, anggota-anggota penyelamat itu berkongsi kebudayaan dengan mempersembahkan tarian tersebut.

Sementara itu, muzik video Gangnam Style yang menunjukkan Psy menari tarian tersebut telah ditonton lebih 175 juta kali sejak dimuat naik pada Julai lalu.

– Agensi

Empat renjer terbunuh di selatan Thai

Posted:

Empat renjer terbunuh di selatan Thai

BANGKOK – Empat renjer ditembak mati dan mayat mereka dibakar dalam satu serangan hendap oleh para pemberontak di Muang, Yala semalam.

Ketua Polis Muang, Kolonel Akharin Busaman berkata, semua anggota renjer itu dalam perjalanan ke pekan Yala dengan menaiki sebuah pikap apabila mereka diserang hendap lima pemberontak di Satengnok, Muang pada pukul 6.30 pagi waktu tempatan.

Polis menemui 100 butir kelongsong peluru M16, AK47, senapang dan pistol di lokasi kejadian.

"Selepas kejadian tembak-menembak berakhir, pemberontak membakar pikap dan mayat keempat-empat mangsa," katanya.

Dalam perkembangan lain, seorang individu yang disyaki pemberontak ditembak mati ketika terbabit dalam satu pertempuran bersenjata dengan pihak berkuasa di Kampung Bangtan, Bangkhao, Nongchik, Pattani pada pukul 7.30 malam kelmarin.

Ketua Polis Nongchik, Kolonel Akom Bautong berkata, bertindak atas satu maklumat, sekumpulan askar mengepung sebuah rumah di kampung itu dan berlaku kejadian berbalas tembakan kira-kira 10 minit antara pihak berkuasa dengan individu tersebut yang turut mempunyai waran tangkap terhadapnya.

Beliau berkata, seorang anggota tentera cedera dalam kejadian itu.

Lebih 5,000 orang maut sejak puak yang disyaki kumpulan pemisah meneruskan kempen bersenjata mereka bagi memperjuang kemerdekaan tiga wilayah di selatan Thailand iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala sejak lapan tahun lepas. – Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan