Jumaat, 3 Ogos 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Beruang mangsa pemburu haram

Posted: 01 Aug 2012 02:32 PM PDT

NOVOSIBIRSK: Satu kubur beruang perang yang dibunuh dan dipotong anggota tubuh mereka oleh pemburu haram ditemui di Siberia, lapor media semalam.

Beruang itu dilaporkan dipancung sebelum sebahagian daripada organ haiwan liar itu dieksport ke China untuk dihidangkan sebagai makanan atau menjadi ubat-ubatan. Seorang pakar yang dihubungi untuk memeriksa kubur di Buryatia itu mengesahkan semua haiwan yang ditemui adalah beruang.


Siberian Times melaporkan, ada antara haiwan itu masih muda ketika dibunuh selepas diperangkap.

Pakar biologi, Bimba Yumov, berkata semua beruang itu ditembak pada kepala dari jarak dekat selepas terperangkap dalam umpan dipasang pemburu haram. "Haiwan ini dibunuh secara paling kejam ketika ia tidak mampu berbuat apa-apa," katanya. Katanya, dia yakin 100 peratus pembunuhan itu dilakukan pemburu haram.


Jika tidak, katanya, bagaimana semua sembilan tengkorak beruang itu mempunyai kesan tembusan peluru yang sama. Siberian Times melaporkan, kulit beruang itu disiat dan kakinya dipotong, manakala lemak dan hempedunya dikeluarkan. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/02


Remaja ditahan kerana miliki pistol pegun telefon bimbit

Posted: 01 Aug 2012 02:30 PM PDT

LONDON: Seorang remaja ditahan selepas polis menemui pistol pegun dengan kekuatan 1.2 juta volt dan dalam bentuk telefon bimbit ditemui dalam keretanya, semalam.

Polis berkata, senjata itu 24 kali lebih berkuasa berbanding alat digunakan pihak berkuasa dan boleh membawa maut. Sumber berkata, suspek berusia 19 tahun ditahan dalam kereta Ford Focus yang dipandu tanpa perlindungan insurans di Edgware, London Utara.


"Apabila ditahan, polis memeriksa kenderaan itu dan menemui pistol pegun berkenaan yang kelihatan seperti telefon Nokia yang mempunyai elektrod di atasnya," katanya.

Dengan menekan butang pada sisi alat itu, senjata berkenaan boleh melumpuhkan mangsa dengan kekuatan elektrik yang tinggi.


Sumber itu berkata, suspek ditahan kerana disyaki memiliki senjata larangan dan diikat jamin sehingga bulan depan.


Katanya, ketika ditahan suspek ditemani seorang wanita tetapi dia tidak ditahan. "Senjata itu kini diperiksa pasukan forensik untuk mendapatkan lebih maklumat mengenainya," katanya.

Seseorang yang memiliki pistol pegun di Britain boleh dipenjara sehingga 10 tahun serta denda yang tidak dihadkan. Februari lalu, polis mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan kemasukan secara haram senjata seumpama itu yang dihasilkan menyerupai telefon bimbit. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/02


Tiada ulasan:

Catat Ulasan