Sabtu, 25 Ogos 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Breivik kena 21 tahun

Posted: 24 Aug 2012 01:00 PM PDT

Mahkamah putus pembunuh 77 warga Norway tidak gila

Oslo: Mahkamah Norway semalam memutuskan lelaki yang membunuh 77 orang tahun lalu, Anders Behring Breivik (gambar), waras ketika melakukan jenayah itu, menamatkan perbahasan mengenai keganasan terburuk di negara itu sejak Perang Dunia Ke-2.

"Keputusan sebulat suara dicapai. Mahkamah menghukum penjara tertuduh selama 21 tahun," kata hakim Wenche Elizabeth Arntzen, ketika menolak gesaan supaya memutuskan Breivik gila dan membolehkan defendan dimasukkan ke wad psikiatrik.
Akui guna bom baja

Breivik mengaku menggunakan bom baja bagi meletupkan bangunan ibu pejabat kerajaan di Oslo menyebabkan lapan terbunuh sebelum menembak mati 69 lagi di khemah percutian belia.

Hukuman penjara 21 tahun itu adalah hukuman maksimum di Norway. Bagaimanapun, pegawai boleh menghalang dia dibebaskan jika didapati masih mengancam orang lain.

Breivik, 33, ditahan di bilik bersendirian di penjara luar Oslo tetapi mendapat kemudahan bersenam, komputer dan televisyen.
Nafi tak waras

Breivik menolak hujah pendakwa bahawa dia tidak waras dan sedia membuat rayuan jika mahkamah memutuskannya gila.

Breivik berkata, dia sedia menerima keputusan dirinya waras tetapi membidas hukuman penjara sebagai 'lemah' sebaliknya menuntut supaya dibebaskan atau dihukum mati.

Tindakannya membunuh menggemparkan Norway yang mempunyai lima juta penduduk selain menimbulkan persoalan mengenai berapa ramai orang memegang pendirian berhaluan kanan sepertinya.

Dia juga menjelaskan tindakannya membunuh puluhan orang itu disebabkan parti Buruh 'memusnahkan' negara dengan menggalakkan imigran Muslim masuk ke Norway.

Keputusan sudah dijangka

Bagi mangsa serangan yang terselamat, keputusan mahkamah sudah dijangka.

"Perkara paling utama bukannya dia dihantar ke hospital sakit jiwa atau penjara tetapi dia tidak lagi bebas hingga membahayakan keselamatan," kata mangsa yang terselamat, Vegard Groslie Wennesland, sebelum keputusan diumum mahkamah. - REUTERS

Samsung, Apple didapati bersalah

Posted: 24 Aug 2012 12:56 PM PDT

Mahkamah Korea Selatan memutuskan firma Apple Inc. dan Samsung Electronics Co. menggunakan paten lawan masing-masing dan mengenakan pengharaman terhadap sebahagian produk dua syarikat berkenaan di sini selain diarah membayar pampasan.

Mahkamah Daerah Pusat Seoul mengarahkan Apple menarik balik iPhone 3GS, iPhone 4, iPad 1 dan iPad 2 daripada kedai di Korea Selatan manakala produk Samsung yang diharamkan ialah GalaxyS2.

Produk iPhone 4S dan Galaxy S3 boleh terus dijual.
Samsung diarah membayar 25 juta won (RM66,000) kepada lawannya manakala Apple diarah membayar pesaingnya, 40 juta won (RM109,353). - AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan