Kosmo Online - Dunia |
- Google beli Motorola Mobility
- Rakyat Mesir pilih presiden baharu
- Mangsa serangan asid bimbang dipulaukan
Posted: Google beli Motorola Mobility
SAN FRANCISCO - Syarikat enjin carian Internet, Google Inc. menyempurnakan proses pembelian pembuat peranti, Motorola Mobility pada harga AS$12.5 bilion (RM39.2 bilion) kelmarin. Pembelian itu diselesaikan selepas sembilan bulan Google Inc. membuat pengumuman mengejutkan bahawa ia mahu mengembangkan portfolionya kepada perniagaan perkakasan yang disifatkan sebagai berisiko tinggi dan mahal. Langkah itu membuatkan Google kian aktif dalam perniagaan telefon bimbit yang diceburinya sejak empat tahun lalu menerusi pengenalan perisian Android keluarannya. Seperti yang dijangka, Ketua Pegawai Eksekutif Google, Larry Page menamakan orang kanannya, Dennis Woodside sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Motorola. Woodside, 43, yang merupakan Presiden Google untuk rantau Amerika terkenal kerana berjaya membawa perolehan sebanyak AS$17.5 bilion (RM55 bilion) kepada Google melalui pengiklanan secara talian dalam tempoh tiga tahun. Pengambilalihan itu direalisasikan selepas pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) berpuas hati bahawa ia tidak akan membantutkan persaingan dalam pasaran telefon pintar. Google dikatakan mahu memiliki Motorola kerana 17,000 paten telefon bimbit yang telah dihasilkannya. Selain itu, Google juga dilihat berminat untuk menghasilkan komputer tablet bagi menyaingi Apple iPad dan Kindle Fire keluaran Amazon.com. Tablet itu bakal dikuasakan oleh perisian Android. - AGENSI | |
Rakyat Mesir pilih presiden baharu Posted: Rakyat Mesir pilih presiden baharuCALON pergerakan Ikhwanul Muslimin, Mohammed Mursi menunjukkan dakwat hitam pada jari kelingkingnya selepas membuang undi di bandar Zagazig semalam. KAHERAH, Mesir - Rakyat Mesir keluar mengundi semalam dalam pilihan raya presiden pertama yang diadakan selepas kejatuhan diktator, Hosni Mubarak pada tahun lalu. Orang ramai berbaris panjang bagi menunaikan tanggungjawab mereka sejurus selepas pusat pembuangan undi dibuka tepat pukul 8 pagi (waktu tempatan ) di seluruh Mesir. "Ini merupakan hari indah untuk Mesir," kata seorang penduduk, Nehmedo Abdel Hadi yang membuang undi di sebuah sekolah di sini. "Hari ini bersejarah kerana kami sebagai rakyat, dapat memilih Presiden Mesir buat kali pertama," kata seorang pengundi wanita berusia 46 tahun, Rania yang keberatan mendedahkan calon pilihannya. Lebih 50 juta pengundi berdaftar dijangka memilih seorang daripada 12 calon yang bersaing untuk menggantikan Mubarak. Proses membuang undi dijadual berlangsung selama dua hari bermula semalam di 13,000 pusat pembuangan undi di seluruh Mesir manakala keputusan awal pilihan raya tersebut dijangka diketahui Ahad ini. Calon utama yang bertanding termasuk bekas Menteri Luar dan ketua Liga Arab, Amr Mussa yang dilihat sebagai ahli politik berpengalaman. Namun, seperti pesaingnya Ahmed Shafiq yang merupakan bekas Perdana Menteri, Amr juga dianggap memiliki fahaman lama rejim Mubarak. Selain mereka, calon pilihan Ikhwanul Muslimin, Mohammed Mursi ditentang hebat oleh bekas ahli pergerakan Islam berkenaan yang mendakwa mendapat sokongan lebih meluas di peringkat akar umbi. Ikhwanul Muslimin merupakan kumpulan Islam paling berpengaruh di Mesir. Pilihan raya tersebut diadakan oleh Majlis Tertinggi Angkatan Tentera Mesir yang mentadbir negara selepas kejatuhan Mubarak pada awal tahun lalu. Sementara itu, Mubarak, 84, yang jatuh sakit menyaksikan pilihan raya tersebut dari sebuah hospital tentera dekat sini. Bekas Presiden Mesir itu kini menunggu keputusan perbicaraan pada 2 Jun depan kerana pembabitannya dalam pembunuhan sekitar 850 penunjuk perasaan semasa kebangkitan rakyat Mesir awal tahun lalu. - AFP | |
Mangsa serangan asid bimbang dipulaukan Posted: Mangsa serangan asid bimbang dipulaukanNAILA (kanan) bersama seorang lagi mangsa serangan asid, Naziran Bibi ketika berada di hospital mata Al-Syifa di Islamabad, Pakistan. ISLAMABAD – Kalangan mangsa serangan asid yang menjadi fokus dalam dokumentari pendek Saving Face kini khuatir dipulau dan diancam jika filem itu ditayangkan di Pakistan.Pada Februari lalu, pengarah muda, Sharmeen Obaid-Chinoy, 33, mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Pakistan pertama memenangi Anugerah Academy menerusi filem tersebut di Hollywood. Filem berdurasi selama 40 minit itu mengisahkan tentang mangsa-mangsa serangan asid dan pakar bedah plastik kacukan Inggeris, Mohammad Jawad yang kembali ke Pakistan untuk membantu memulihkan wajah dan kehidupan mereka. Dokumentari pendek terbaik itu mendedahkan penderitaan yang ditanggung sejumlah wanita apabila wajah mereka dirosakkan akibat serangan asid. Bagaimanapun, kejayaan itu dilihat tidak bermakna apabila sesetengah mangsa kini khuatir tindak balas masyarakat negara itu yang amat konservatif. "Kami tidak tahu ia akan memenangi Oscar. Ia betul-betul salah. Kami tidak pernah mengizinkan mereka menayangkan filem ini di Pakistan. "Kami mungkin berada dalam keadaan lebih bahaya dan ketakutan. Kami mungkin berdepan insiden yang sama sekali lagi. Kami tidak mahu muka kami dilihat dunia," kata Naila Farhat, 22, yang turut muncul dalam dokumentari itu. Naila berusia 13 tahun semasa disimbah asid oleh seorang lelaki kerana menolak lamaran berkahwin sehingga mencacatkan sebelah matanya. – AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan