Isnin, 7 Mei 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Suspek serangan bom Bali mohon maaf

Posted: 07 May 2012 03:23 PM PDT

Dunia

UMAR PATEK (tengah) memohon maaf di Mahkamah Jakarta Barat, semalam kepada ahli keluarga mangsa  serangan bom di Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 orang.

UMAR PATEK (tengah) memohon maaf di Mahkamah Jakarta Barat, semalam kepada ahli keluarga mangsa serangan bom di Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 orang.

Umar Patek dakwa terpaksa ikut arahan ahli lebih kanan

JAKARTA: Militan yang didakwa menghasilkan bom untuk serangan ke atas kelab malam Bali, Umar Patek, 42, buat kali pertama memohon maaf kepada mangsa serangan itu dan keluarga mereka semalam.

Pemimpin kanan rangkaian Jemaah Islamiyah itu kelihatan sebak manakala suaranya kedengaran gementar ketika memberi keterangan di mahkamah di Jakarta dan menyatakan bahawa sejak awal lagi dia menentang pengeboman yang mengorbankan 202 nyawa itu. Umar berkata dia takut untuk mencabar anggota yang lebih kanan di dalam kumpulannya.

"Saya masih berasa bersalah. Saya mengetahui rancangan itu. Saya membantu membancuh beberapa bahan kimia untuk bahan peledak itu. Kenapalah saya tidak memaklumkan kepada polis?" katanya.

Umar menafikan memainkan peranan besar menghasilkan bom kereta pada Sabtu 12 Oktober 2002 yang meletup di dua buah kelab malam dipenuhi pelancong asing.

Seorang pengebom bunuh diri meletupkan bom yang dipasang pada badannya menyebabkan ramai terbunuh, manakala yang terselamat berlari keluar di mana sebuah kenderaan dipenuhi bom diletakkan tidak jauh dari situ. Seorang lagi penyerang bunuh diri kemudian meletupkan bom itu.
Seramai 88 orang yang terbunuh adalah warga Australia manakala tujuh lagi rakyat Amerika.

Indonesia melaksanakan kempen besar-besaran menentang keganasan, berikutan kejadian itu.

Sejak itu beberapa serangan menyasarkan kepentingan Barat termasuk hotel, restoran dan kedutaan berlaku, tetapi tidak begitu dahsyat seperti serangan di Bali.

Penganalisis berkata, usaha berterusan kerajaan Indonesia berjaya menghalang kumpulan militan memperluaskan kegiatan mereka.

Umar yang ditangkap di Pakistan setahun lalu, memberitahu pengeboman di Bali bertujuan membalas dendam berikutan dasar Barat ke atas wilayah Palestin.

"Pada pandangan saya serangan itu adalah satu kegagalan. Saya tidak melihat hubung kait antara serangan bom itu dengan tindakan keras ke atas saudara seislam kami di Palestin," katanya. – AP


Penyelam bina masjid pertama di bawah air

Posted: 07 May 2012 03:22 PM PDT

Dunia

PENYELAM bersolat jemaah di masjid pertama bawah air yang mereka bina.

PENYELAM bersolat jemaah di masjid pertama bawah air yang mereka bina.

JEDDAH: Sekumpulan penyelam persendirian Arab Saudi berkata mereka berjaya membina sebuah masjid di bawah air baru-baru ini dan bersolat di dalamnya.
Masjid pertama dalam sejarah pernah dibina di dalam air.
Akhbar harian Almadina melaporkan, penyelam berkenaan menggunakan batang paip plastik besar yang diisi pasir untuk membina masjid di kawasan perairan di barat laut Tabuk dan berhampiran sempadan Jordan. Seorang penyelam, Hamadan bin Salim Al Masoudi, berkata seorang rakannya mendapat idea untuk membina masjid berkenaan pada musim panas lalu dan mereka mengambil keputusan untuk melakukannya.
"Masjid ini adalah satu simbolik untuk menjelaskan bahawa walau di mana sekalipun kita berada, kewajipan solat hendaklah ditunaikan," katanya.

Al Masoudi berkata, pembinaan masjid itu selesai ketika waktu Zuhur dan beliau bersama rakannya segera menunaikan solat Zuhur berjemaah. – Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan