Khamis, 5 April 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Malaysia,Thai perketat kawalan sempadan

Posted: 04 Apr 2012 05:44 PM PDT

Dunia

Militan lebih profesional lakukan serangan bom terbaru di selatan Thailand

PHNOM PENH: Malaysia dan Thailand bersetuju meningkatkan kerjasama dan memperketat kawalan keselamatan di sempadan selepas letupan bom berlaku di Yala dan Songkhla dengan siasatan mendapati penyerang menggunakan pendekatan lebih profesional dalam keganasan terbaru. Menteri Luar Thailand, Surapong Tovichakchaikul, berkata Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra dan Datuk Seri Najib Razak yang bermesyuarat di sidang ASEAN di sini, mempersetujui kerjasama itu khususnya dalam memeriksa identiti individu dan kenderaan yang memasuki kawasan sempadan dua negara.

Jurucakap Kementerian Luar, Thani Thongphakdi berkata Yingluck juga memberitahu pemimpin ASEAN bahawa kerajaannya akan memberi penjagaan sepenuhnya kepada mereka yang cedera dalam serangan Sabtu lalu selain menghadapkan pihak bertanggungjawab ke pengadilan, lapor akhbar Bangkok Post.

Seorang pelancong Malaysia maut dalam serangan itu, Low Tsian Hock dan beberapa lagi cedera kerana bom kereta di Hotel Lee Gardens di Hatyai.

Di Pattani, polis menahan seorang suspek yang dituduh terbabit dalam serangan bom itu di sebuah restoran di depan balai polis Mae Lan.

Suspek dikenali sebagai Samlee Huluduerae dan dia menafikan terbabit dalam keganasan itu.
Seorang lagi lelaki yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam serangan di Yala ialah Anuwat Tohjeh yang turut menafikan terbabit dalam kejadian itu.

Pegawai polis berkata, Anuwant dikenal pasti sebagai orang dalam rakaman kamera keselamatan memandu kereta di belakang sebuah kenderaan yang membawa bahan letupan dalam serangan itu.

"Kami lihat cara mereka lakukan serangan kali ini lebih profesional," kata Surapong mengenai letupan bom yang meragut 15 orang dan mencederakan beratus-ratus lagi termasuk pelancong.

"Agensi keselamatan yang menjaga situasi di selatan perlu lebih berhati-hati dan berusaha lebih baik," katanya.

Surapong, bagaimanapun, menolak dakwaan bahawa keganasan di selatan semakin meningkat selepas kejadian terbaru itu.

"Kami melihat keadaan di rantau selatan sentiasa begitu," katanya.

Berikutan kejadian serangan di Hatyai dan Yala, kawalan keselamatan akan diperketatkan di semua kawasan berisiko sepanjang tiga bulan akan datang.

Di Songkhla, askar diminta untuk membantu polis mengawal sekatan jalan raya dan melakukan rondaan di kawasan utama, kata komander kanan polis, Leftenan Jeneral Jakthip Chaijinda yang mengakui bahawa kehadiran tentera mungkin akan menakutkan pelancong asing.

Dalam perkembangan berkaitan, polis juga cuba menjejaki kenderaan yang dilaporkan hilang kerana bimbang ia boleh digunakan dalam serangan akan datang.
Beliau berkata, antara suspek yang dikenal pasti dua mempunyai nama yang sama iaitu Jehmah Wani.

"Mereka adalah dua orang dalam kumpulan usia berbeza disyaki terbabit tetapi saya tidak boleh katakan siapa yang lebih disyaki pada masa ini," katanya. – AFP/Agensi

Sekatan terhadap Yangon patut ditarik balik: ASEAN

Posted: 04 Apr 2012 05:42 PM PDT

Dunia

SEORANG pekerja membawa matawang Myanmar di sebuah bank di Yangon ketika ekonomi negara itu semakin maju.

SEORANG pekerja membawa matawang Myanmar di sebuah bank di Yangon ketika ekonomi negara itu semakin maju.

Pemimpin Asia Tenggara kemuka permohonan kepada Barat

PHNOM PENH: Pemimpin ASEAN semalam dijangka mengeluarkan permohonan rasmi kepada negara Barat supaya menarik balik sekatan terhadap Myanmar pada akhir persidangan pertubuhan Asia Tenggara itu di sini. Pemimpin 10 anggota ASEAN turut melahirkan kebimbangan terhadap rancangan Korea Utara melancarkan roket nuklearnya, kata Setiausaha Agung ASEAN, Surin Pitsuwan.

Perbincangan dua hari di ibu negara Kemboja, memberi tumpuan kepada pilihan raya kecil di Myanmar, bekas negara yang dikenali sebagai Burma, ketika pemimpin pro demokrasi Aung San Suu Kyi bertanding kerusi Parlimen buat kali pertama.

Pegawai kanan berkata, pemimpin ASEAN memuji pembaharuan dilaksanakan Myanmar, yang dilihat tentera melonggarkan genggaman terhadap kuasa dan membenarkan pemenang Anugerah Nobel yang juga bekas tahanan politik, Suu Kyi, menyertai politik.

Presiden Myanmar, Thein Sein berucap kepada pemimpin semasa sesi penutup berkata, pilihan raya itu bebas dan adil serta beliau menerima keputusannya.
Beliau kemudian memberitahu wartawan, pilihan raya berjaya dijalankan.
Surin menjangkakan pemimpin supaya mengeluarkan satu kenyataan formal semalam, meminta Barat segera menarik balik sekatan, yang dikenakan sejak 1990-an disebabkan penderaan hak asasi manusia tentera Myanmar.

Presiden Filipina, Benigno Aquino memberitahu wartawan: "Kita perlu tunjuk pihak yang membuat pembaharuan di Myanmar memilih jalan adalah betul. Hadiah perlu diberi."

Ditanya jika sekatan Amerika dan Eropah perlu ditarik balik, Menteri Luar Indonesia Marty Natalegawa berkata: "Tentunya, ya, jika tidak sekarang, bila?"
Ketegangan dengan China terhadap pertelingkahan pulau yang berpotensi dengan sumber kekayaan Laut China Selatan, laluan perkapalan strategik, sudah menjadi isu hangat di persidangan ASEAN, kata diplomat.

Setiausaha Luar Filipina, Albert del Rosario, berkata ramai yang tidak bersetuju untuk menjemput China membantu merangka kod perilaku yang dibuat untuk menghalang kejadian kecil di laut daripada mencetuskan konflik.

Kemboja yang menduduki kerusi ASEAN pada 2012, tidak sabar membawa China merangka proses tetapi Filipina, Thailand dan Vietnam berkata, anggota blok perlu merangka kod di kalangan mereka sebelum mengemukakannya kepada Beijing.

"ASEAN perlu buat keputusan terlebih dulu sebelum berbincang dengan China," kata Menteri Luar Thailand, Surapong Tovichakchaikul.

Presiden China, Hu Jintao melawat Kemboja pada petang persidangan yang dilihat ramai penganalisis sebagai tekanan kepada Phnom Penh untuk menggunakan statusnya sebagai pengerusi bagi memperlahankan rundingan Laut China Selatan. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan