Sabtu, 3 Mac 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Si Lanun cacat kembali beraksi

Posted: 02 Mar 2012 10:38 AM PST

BARCELONA: Seorang matador Sepanyol yang hilang mata kirinya akibat dirodok lembu akan kembali bertarung semula di gelanggang hujung minggu ini dengan memakai penutup mata.

Juan Jos Padilla yang kini digelar sebagai "Si Lanun" akan mempertaruhkan nyawanya selepas lima bulan dia dilihat terhoyong-hayang keluar dari gelanggang Zaragoza dengan berlumuran darah sambil menjerit "saya tidak dapat melihat".


Walaupun dia berkata, dia sudah "bersedia sepenuhnya", dia mengakui mungkin terdapat elemen bahaya tambahan kerana dia tidak dapat melihat jika lembu itu berada di sebelah kirinya.

Padilla, 38, cedera Oktober lalu selepas dia jatuh ke tanah sebelum tanduk lembu merodok rahangnya dan keluar melalui matanya.


Penonton perlawanan lembu Fiesta Del Pilar Zaragoza di gelanggang Misericordia terkejut dengan insiden itu. Dia kemudian menjalani pembedahan selama lima jam untuk memulihkan kerosakan teruk pada mata, tulang, otot dan kulit manakala wajahnya diperbetulkan semula menggunakan plat titanium dan jaring. Padilla akan melakukan perlawanan profesionalnya yang pertama esok sejak insiden itu di bandar Olivenza di barat Sepanyol. Dia berkata: "Ahad ini bagaikan impian menjadi nyata selepas beberapa bulan yang sukar dan saya sedar sepenuhnya tiada siapa menyangka saya akan kembali ke gelanggang," katanya. Isteri Padilla, Lidia dan dua anaknya dikatakan menjadi penyebab di sebalik kemunculan semula itu tetapi dia berkata: "Ibu bapa saya tidak faham mengapa saya ingin kembali ke gelanggang," katanya. Dia juga mendedahkan dia berasa sudah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan itu dan telah membunuh 10 ekor lembu di ladang persendirian sebagai latihan. Ia bukan kali pertama Padilla, matador popular yang memenangi hati ramai peminat kerana ketabahan dan kerelaannya untuk menghadapi lembu paling liar, cedera dirodok.


Pada 2001, penduduk asal Jerez itu mengalami kecederaan parah di lehernya ketika perlawanan di Pamplona.

Kemunculannya semula ke gelanggang dilakukan ketika perdebatan sengit mengenai sukan lawan lembu di Sepanyol berterusan dengan penyokong berkata, ia adalah kunci utama budaya negara itu dan pengkritik pula mendakwa ia satu kekejaman terhadap haiwan.


Keadaan itu mendapat tekanan sejak bermula krisis ekonomi pada 2007, apabila pembiayaan awam untuk mempromosikan sukan lawan lembu itu dipotong dan wilayah Catalonia mengharamkannya pada tahun lalu.



Wajah bengkak seperti bola selepas guna pewarna rambut

Posted: 02 Mar 2012 10:35 AM PST

LONDON: Seorang wanita muda yang gemarkan gaya wajah baru mengalami kecacatan penglihatan buat sementara waktu dan dirawat di hospital selama tiga hari ekoran tindak balas pewarna rambut yang dibelinya di pasar raya.

Wajah Carmen Rowe membengkak seperti "bola" selepas menggunakan pewarna rambut hitam Clairol "Nice n Easy" yang dibelinya di sebuah pasar raya tempatan di Asda. Dia dimasukkan ke Hospital Morriston Swansea keesokan harinya selepas mengalami wajah bengkak menyebabkan dia tidak dapat melihat. Bagaimanapun, wanita berusia 25 tahun itu berkata, dia menjalankan ujian pada kulit 48 jam sebelum menggunakan pewarna itu tanpa menghadapi sebarang masalah dan telah mewarnakan rambutnya sejak dia berusia 13 tahun.


Carmen akhirnya dibenarkan keluar dari hospital selepas tiga hari rawatan apabila bengkak di wajahnya surut dengan pengambilan steroid dan antibiotik. Namun, dia dimasukkan semula ke hospital sebanyak empat kali bulan seterusnya selepas mengalami sakit dan bengkak di wajahnya. Doktor akhirnya mengesan tindak balas alahan terhadap Paraphenylenediamine di dalam pewarna rambut itu.

Carmen dari Swansea berkata: "Saya bangun dan kepala saya bengkak hingga sya tidak dapat melihat. Saya sudah menjadi buta.


"Saya lihat ke cermin dan separuh daripada wajah saya sudah bengkak. Kelihatannya separuh daripada kepala saya bagaikan telah dipam menjadi sebiji bola. "Saya terus ke hospital dan ketika sampai di sana, kepala saya makin membengkak, malah telinga saya juga menjadi besar. Doktor menahan saya di wad serta-merta.


"Perkara paling teruk ialah apabila kepala saya mula keluar nanah. Saya terpaksa membungkus kepala dengan tuala, ia cukup teruk dan baunya seperti anjing basah," katanya.

"Saya tahu remaja sering mewarnakan rambut mereka pada usia 13 atau 14 tahun dan ia mungkin bahaya untuk mereka.


"Saya hanya ingin memberi amaran kepada ibu bapa apa yang mungkin terjadi. Ia adalah alahan yang boleh berlaku bila-bila masa saja," katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan