Jumaat, 23 Mac 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Askar AS tidak ingat serangan

Posted: 23 Mar 2012 02:44 PM PDT

Dunia

Peguam bela dedah strategi selepas tentera hadapi 17 tuduhan jenayah

KANSAS: Askar Amerika yang terbabit menembak mati orang awam di selatan Afghanistan, Staf Sarjan Robert Bales, 38, semalam didakwa dengan 17 pertuduhan membunuh, selain enam dakwaan melakukan serangan dan cubaan membunuh.

Bales dipercayai meninggalkan pangkalannya, Kem Belamby di Kandahar pada 11 Mac lalu, menuju ke dua buah kampung, Balandi dan Alkozai, menyerbu beberapa rumah dan melepaskan tembakan hingga mengorbankan 17 orang termasuk wanita dan kanak-kanak, sebelum membakar mayat mereka.

Dia ditahan sejurus melakukan pembunuhan selepas dipercayai menyerah diri. Tentera Amerika memindahkan Bales ke sebuah pangkalannya di Kuwait sebelum diterbangkan kembali ke Amerika. Dia kini ditahan di penjara tentera Fort Leavenworth di sini. Bales tidak mengaku salah dengan atas dakwaan itu, manakala peguamnya John Henry Browne, berkata anak guamnya tidak ingat kejadian itu.

Pegawai Amerika memberi jaminan untuk melakukan siasatan segera dan terperinci .
Setiausaha Pertahanan Amerika, Leon Panetta, berkata Bales boleh dikenakan hukuman mati jika didapati sabit kesalahan.

Penganalisis undang-undang, David Rivkin berkata pihak pendakwa akan mendesak hukuman maksimum ke atas Bales.
"Kes ini mempunyai kesan besar dari sudut strategi dan kesan politik. Hukuman mati adalah yang paling sesuai, walaupun saya ragu jika ia akan dilaksanakan. Saya berpendapat Bales mungkin dikenakan hukuman penjara antara 20 hingga 50 tahun," katanya.

Sementara itu, ketika ditemuramah dalam rancangan This Morning, stesen televisyen Sistem Penyiaran Columbia (CBS), Browne berkata, beliau menghabiskan masa kira-kira 11 jam bersama Bales minggu ini di Fort Leavenworth.

Peguam berkenaan juga berkata Bales sebelum ini pernah mengalami gegaran otak serius dan ia tidak dirawat atas beberapa sebab, tetapi tidak memberi butiran lanjut mengenai perkara itu.

Laporan menyatakan Bales yang pernah berkhidmat tiga kali di Iraq sebelum dihantar ke Afghanistan Disember lalu, mengalami kecederaan otak serius dalam kemalangan jalan raya. Namun pegawai tentera dan pakar berkata tiada bukti saintifik menunjukkan bahawa kecederaan otak boleh mendorong seseorang bertindak ganas.

"Reaksi saya kepada dakwaan yang dikenakan ialah kerajaan perlu membuktikannya. Saya percaya kerajaan akan menghadapi kesukaran untuk membuktikan kes ke atas Bales.

"Tiada lokasi jenayah, manakala bukti fizikal penting amat kurang. Saya boleh meneruskan kes ini berdasarkan ketiadaan bukti kukuh dan masalah jiwa yang dialami Bales," kata Browne.

Bagaimanapun seorang penduduk Afghanistan yang kehilangan cucu perempuan, adik dan sepupunya dalam serangan terbabit, Haji Noor Mohammad tidak berpuas hati dengan kenyataan Browne.

"Jika dia benar-benar gila dan hilang ingatan, mengapa dia dilantik sebagai askar Amerika? Mengapa dia tidak dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan?" katanya.

Sementara itu di Kabul, seorang pegawai kanan Amerika berkata pihak sudah memutuskan untuk membicarakan Bales di Amerika, tetapi keluarga mangsa yang marah dengan keputusan itu, mendesak perbicaraan diadakan di Afghanistan. – AP/AFP

RM50,057 pampasan keluarga mangsa bunuh renjer Thai

Posted: 23 Mar 2012 02:42 PM PDT

Dunia

BANGKOK: Kerajaan Thailand memberi pampasan awal 500,000 baht (RM50,057) kepada setiap keluarga empat penduduk kampung yang ditembak mati renjer tentera di Pattani dan mempertimbangkan memberi tambahan tujuh juta baht (RM700,804) kepada saudara mangsa, kata Kementerian Pertahanan.

Jurucakap kementerian itu, Kolonel Thanathip Sawangsaeng, berkata Majlis Pertahanan semalam mengakui laporan berasaskan fakta bahawa renjer separa tentera tersilap membunuh empat orang awam tidak bersalah di daerah Nong Chik di wilayah Pattani, Januari lalu.

Pampasan ditawarkan kepada saudara mara setiap penduduk kampung yang dibunuh. Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) pada mulanya memberi 500,000 baht kepada setiap keluarga. Thanathip berkata, SBPAC dan jawatankuasa kerajaan dalam strategi pembangunan untuk wilayah sempadan selatan akan membuat pertimbangan jika renjer tentera yang membunuh penduduk kampung mengambil langkah tidak wajar dan melampau serta melanggar hak mangsa.

Jika mereka didapati berbuat demikian, setiap seorang mangsa yang terbunuh akan mendapat tambahan tujuh juta baht.

Dua jawatankuasa mengumpul fakta diketuai pegawai kanan Arahan Operasi Keselamatan Dalaman dan pengerusi jawatankuasa Islam Pattani membuat kesimpulan bahawa penduduk kampung yang terbunuh dan cedera dalam kejadian itu tidak bersalah dan pihak yang menjadi mangsa layak menerima pampasan.

Panel mencadangkan renjer tentera yang menembak mangsa perlu berdepan tuduhan jenayah.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Sukumpol Suwanatat berkata tambahan kepada pampasan awal akan dipertimbangkan berdasarkan peraturan sedia ada.

Sementara itu, seorang penduduk kampung cedera parah akibat sebutir bom meletup di daerah Cho Airong, Narathiwat pagi Rabu dan meninggal dunia semalam di sebuah hospital tempatan.

Ahama Jehma cedera parah apabila serpihan bom mengenai kepalanya ketika minum teh di sebuah kedai berhampiran lokasi letupan bom di perkampungan Ban Buera-ngae.

Pihak berkuasa sedang memeriksa sebutir bom yang diletakkan dalam sebuah kotak besi apabila ia meletup, mengorbankan seorang renjer tentera serta merta. – Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan