Khamis, 16 Februari 2012

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


Pemberontak Syria tolak tawaran

Posted:

Pemberontak Syria tolak tawaran

Pemberontak Syria tolak tawaran


Asap tebal kelihatan dari loji penapisan minyak di bandar Homs kelmarin selepas ia diletupkan oleh pemberontak walaupun ia dikawal ketat oleh tentera kerajaan. - REUTERS


AMMAN 16 Feb. - Pemimpin pembangkang Syria dan negara Barat, hari ini menolak tawaran baru Presiden Bashar al-Assad untuk mengadakan pilihan raya pelbagai parti, ketika tentera terus menggandakan serangan di kawasan yang dikuasai pemberontak.

Media Syria, semalam melaporkan, Bashar menawarkan referendum untuk membentuk Perlembagaan baru pada 26 Februari ini, sekali gus membentuk sistem pemerintahan berbilang parti di bawah Parti Baath yang memerintah sejak 1963.

Pilihan raya Parlimen itu akan diadakan dalam tempoh 90 hari, sebaik-baik sahaja draf itu diluluskan.

Parti-parti baru tidak boleh ditubuhkan berdasarkan kepentingan agama atau wilayah, sekali gus mengetepikan parti Ikhwan Muslimin atau parti puak Kurdis yang mencari peluang untuk mendapatkan kuasa autonomi.

Perlembagaan baru itu juga akan membolehkan Presiden yang dipilih memerintah selama dua penggal dalam tempoh tujuh tahun.

Ahli Majlis Kebangsaan Syria (SNC) dan Ikhwan Muslimin, Melhem al-Droubi berkata, Bashar perlu meletakkan jawatannya serta-merta.

Amerika Syarikat (AS) turut menolak pelan referendum tersebut, kata jurucakap White House, Jay Carney.

"Rejim Bashar hanya menunggu masa untuk jatuh," katanya.

Sementara itu, seramai 37 rakyat Indonesia, termasuk 18 pekerja asing dan 17 pelajar, bersama keluarga masing-masing dijadual tiba Jakarta hari ini selepas meninggalkan Syria.

Kementerian Luar Indonesia berkata, kedutaannya di Damsyik turut membantu mengeluarkan enam pekerja rakyat Indonesia dari kawasan konflik, termasuk di Homs yang menjadi medan pertempuran antara pasukan tentera dan pemberontak.

Katanya, sembilan pekerja warga Indonesia telah dihantar pulang awal bulan ini dan masih terdapat 90 pekerja di Kedutaan Indonesia di Damsyik yang masih menunggu permit dan pembayaran gaji. - REUTERS/DPA

Thai akan minta Malaysia ekstradisi lelaki Iran

Posted:

Thai akan minta Malaysia ekstradisi lelaki Iran

Thai akan minta Malaysia ekstradisi lelaki Iran


Polis Thai mengawal suspek pengganas warga Iran, Mohammad Khazaei (tengah) di pejabat Biro Imigresen di Bangkok, semalam. - REUTERS


BANGKOK 16 Feb. - Thailand meminta Malaysia mengekstradisi seorang lelaki Iran yang disyaki terbabit dengan komplot serangan bom yang didakwa disasarkan terhadap diplomat Israel di Bangkok.

"Mahkamah meluluskan waran tangkap terhadap suspek, dengan itu Pejabat Polis Negara akan merujuk kes ini kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut supaya dia diekstradisi.

"Kami akan mempercepatkan proses ini," kata Ketua Polis Thai, Phrewphan Damapong kepada wartawan, hari ini.

Polis Malaysia malam tadi mengumumkan suspek warga Iran dikenali sebagai Zedhaghat Zadech Masoud, 31 ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang petang semalam.

Thailand juga memperketatkan kawalan keselamatan di semua kedutaan dan kawasan tumpuan pelancong berikutan tiga kejadian letupan bom di Bangkok, kelmarin.

Dua lelaki Iran didakwa semalam berhubung insiden letupan bom yang ketiga menggegarkan ibu-ibu negara di dunia dalam tempoh kurang 24 jam, tetapi Iran menyangkal tuduhan Israel bahawa Teheran mendalangi kempen keganasan itu.

"Langkah keselamatan diperketatkan di seluruh negara ini sejak letupan itu, dengan tumpuan diberikan kepada kedutaan asing, tempat warga asing berkumpul dan kawasan tumpuan pelancong," kata jurucakap Polis Thailand, Mejar Jeneral Piya Uthayo, hari ini.

Phrewphan turut mengesahkan, diplomat Israel menjadi sasaran komplot serangan bom itu, yang terbongkar selepas satu letupan bom yang dipercayai tidak disengajakan berlaku di sebuah rumah di Bangkok, kelmarin.

Seorang suspek warga Iran yang lari dari rumah itu terputus kedua-dua belah kakinya apabila dia cuba melontar sebutir bom ke arah polis.

Suspek kedua ditahan ketika hendak menaiki penerbangan dari lapangan terbang antarabangsa di Bangkok menuju ke Kuala Lumpur, manakala suspek ketiga yang melarikan diri ke Malaysia ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia, kata polis.

Polis juga sedang memburu seorang wanita Iran, Rohani Leila, 32, yang dipercayai penyewa asal rumah yang berlaku letupan itu.

Pihak berkuasa, hari ini berkata, mereka meningkatkan rondaan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi iaitu pintu masuk utama ke negara ini.

"Kami meningkatkan pengawasan dan akan memberi fokus kepada penumpang yang berkelakuan mencurigakan serta beg atau bungkusan yang ditinggalkan," kata pengarah lapangan terbang, Somchai Sawasdeepon. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan