Ahad, 1 Januari 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Katy, Brand sah berpisah

Posted: 31 Dec 2011 06:45 AM PST

LOS ANGELES: Rumah tangga Katy Perry dan Russell Brand berakhir hanya selepas 14 bulan mereka melangsungkan perkahwinan yang diduga bakal kekal bahagia.

Dalam kenyataan dikeluarkan Brand semalam, aktor dan pelawak Britain itu berkata, dia dan Katy "bersedih kerana terpaksa menamatkan perkahwinan" mereka.


Katanya, walaupun bercerai, dia tetap mengagumi dan bersahabat dengan Katy selepas ini.

Brand, 36, tidak memberikan maklumat lanjut, tetapi dokumen difailkan di mahkamah semalam menyatakan, mereka kini tidak lagi mempunyai persefahaman.


Brand dan Katy, 27, berkahwin pada Oktober 2010 di sebuah pusat percutian mewah di kawasan pemuliharaan harimau di India.


Sebelum itu, mereka mengumumkan pertunangan dalam majlis Anugerah Video Muzik MTV (VMA) pada Januari 2009.

Di majlis itu, Brand menjadi hos dan Katy menjadi seorang daripada penyanyi jemputan.


Brand - pernah bergelut mengatasi masalah ketagihan dadah dan seks - kelihatan sangat teruja memperkatakan projek terbarunya bersama Katy awal 2011.

Antara lain, Brand dipetik sebagai berkata, Kate memberinya kekuatan untuk melakukan yang terbaik.


Katy pula memuji Brand selepas dia memenangi tiga anugerah dalam VMA pada Ogos lalu.


"Saya sangat berbangga dengan Brand atas setiap apa yang dikatakannya, malah kadang-kala pertuturannya begitu berwarna-warni,.


"Itulah punca saya berkahwin dengan Brand. Dia pintar," katanya.


Khabar mengenai perceraian itu mula diperkatakan dalam dunia siber baru-baru ini selepas mereka dilihat bercuti tanpa cincin perkahwinan masing-masing. - AP



Full content generated by Get Full RSS.

Penyerang misteri sengaja bakar kereta di Hollywood

Posted: 31 Dec 2011 06:43 AM PST

LOS ANGELES: Pihak berkuasa giat memburu seseorang yang mencetuskan kekecohan di Hollywood dengan membakar banyak kenderaan orang awam, semalam.

Insiden selama empat jam itu bermula sejurus selepas tengah malam semalam (waktu tempatan), mendorong bomba bertungkus-lumus memadamkan api di 21 lokasi berbeza di Hollywood dan Hollywood Barat.


Hampir dalam setiap kes, kebakaran bermula dari kereta yang diparkir berhampiran kawasan kediaman.

Bagaimanapun, pihak berkuasa menolak kemungkinan kejadian itu mempunyai kaitan dengan kegiatan pengganas.


Ketua Bomba Los Angeles, Brian Cummings, berkata pihaknya kini bersiap sedia menghadapi kemungkinan siri 'serangan' baru dimulakan hari ini.


"Bomba berharap kejadian ini ditamatkan, tetapi kami tetap bersedia menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Polis pula menggesa orang ramai lebih berhati-hati dan menyalurkan maklumat membantu menahan individu yang bertanggungjawab dalam kejadian itu.


Pihak berkuasa juga menawarkan imbuhan AS$35,000 (RM110,915) untuk sesiapa yang memberikan maklumat sehingga tertangkapnya suspek. - AP



Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan